KISAH KEHILANGAN LARS MITTANK : Kes Orang Hilang Paling Popular di Youtube
Video di atas adalah sedutan rakaman kamera pengawasan di Lapangan Terbang Varna, Bulgaria. Dalam video itu, kelihatan seorang lelaki warganegara Jerman berlari keluar dari lapangan terbang tersebut. Dia sepertinya melarikan diri daripada sesuatu atau seseorang. Namun begitu jelas sekali apa atau siapa yang mengejar lelaki itu langsung tidak kelihatan. Jadi, apa sebenarnya yang telah berlaku? Kes ini yang kemudian digelar “most famous missing person on Youtube” terus menjadi bualan hangat dalam kalangan Youtuber dan Redditor di internet.
Lars Mittank
Pada 30 Jun 2014, Lars Mittank (28 tahun) bersama empat
orang lagi rakannya telah tiba di sebuah resort bernama Golden Sands, Bulgaria untuk
bercuti. Pada awalnya, percutian itu dinikmati sepenuhnya oleh Lars dan
rakan-rakannya. Mereka bersantai di pantai, bermain bola sepak dan berhibur di
kelab malam. Cumanya, Lars dilihat kurang menjamah makanan.
Golden Sands Beach, Varna, Bulgaria.
Hinggalah pada malam 6 Julai, berlakunya sedikit perbalahan
mulut antara Lars dengan beberapa orang pengunjung di sebuah bar. Walau
bagaimanapun, tiada sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku. Semasa dalam
perjalanan pulang ke hotel pada waktu kemudiannya, Lars dan rakan-rakannya sempat untuk singgah
ke restoran makanan segera McDonald. Pada waktu itu entah kenapa Lars tiba-tiba
menghilangkan diri semasa menunggu rakan-rakannya menempah makanan. Menyedari
kehilangan Lars, mereka yang lain menyangka bahawa Lars sudah pun pulang ke
hotel.
Sangkaan rakan-rakan Lars itu ternyata meleset sama sekali.
Lars hanya muncul di hotel pada keesokan paginya. Dia yang mengalami kecederaan
pada bahagian gegendang telinga dan rahang mendakwa telah diserang oleh
sekumpulan lelaki. Dakwa Lars lagi, kumpulan penyerang itu berkemungkinan
diupah oleh individu tertentu yang terlibat dalam insiden pergaduhan di bar pada
malam sebelumnya. Rakan-rakan Lars bagaimanapun enggan mempercayai cerita
tersebut. Tidak dapat dipastikan samada benar atau sebaliknya dakwaan Lars itu
kerana tiada siapa tahu ke mana dia menghilang semasa singgah di restoran McDonald.
Pada hari berikutnya adalah hari perjalanan pulang Lars ke
Jerman. Ekoran masalah pendengaran yang Lars alami, rakan-rakan Lars menasihatinya segera untuk pergi berjumpa dengan doktor tempatan. Hasil pemeriksaan yang
dilakukan oleh doktor pada kemudiannya mendapati gegendang telinga Lars telah
pecah. Disebabkan itu, Lars dinasihati untuk tidak meneruskan penerbangan.
Mendengar perkara tersebut, rakan-rakan Lars berniat untuk membatalkan penerbangan
pulang bagi menemani Lars sehingganya sembuh. Namun, niat mereka itu ditentang
sendiri oleh Lars. Mereka semua yang akur pun berangkat pulang seperti yang
telah dijadualkan.
Sementara itu, Lars yang kini bersendirian di Bulgaria
enggan melakukan pembedahan seperti yang dicadangkan oleh doktor. Jadi, Lars
pun diberikan preskripsi ubat Cefuroxime 500mg iaitu sejenis ubat yang biasanya
digunakan untuk mematikan bakteria. Lars juga berpindah ke hotel bajet iaitu
Hotel Color dengan anggaran $25 semalam. Saat ini, perangai pelik Lars telah
dikatakan semakin menjadi-jadi. Pertama sekali, dia menelefon ibunya dengan
nada suara yang ketakutan. Lars yang turut meminta agar kad kreditnya dibekukan
serta-merta sempat memberitahu bahawa dia telah diekori oleh sekumpulan lelaki.
Seperkara lagi, Lars ada menghantar teks mesej kepada ibunya untuk bertanyakan
tentang fungsi sebenar ubat Cefuroxime.
Pada 8 Julai, Lars pun menaiki teksi menuju ke Lapangan Terbang
Varna untuk perjalanan pulang. Setibanya di destinasi, dia menghubungi ibunya
untuk meminta sejumlah wang. Lars kemudian pergi berjumpa dengan doktor bagi mendapatkan
pemeriksaan susulan gegendang telinganya bagi memastikan dia betul-betul selamat untuk menaiki
pesawat. Semasa di bilik doktor tersebut, Lars tiba-tiba terkejut selepas melihat
kehadiran seorang pekerja buruh lelaki. Dia terus bangun berdiri dan melarikan
diri dari lapangan terbang itu dalam keaadaannya sehelai sepinggang termasuklah
tanpa passport, beg duit dan telefon pintar. Selepas menyeberangi tempat parkir
kereta, Lars bertindak memanjat pagar lalu memasuki ke dalam hutan yang
berhampiran. Sejak kejadian itu, Lars gagal untuk ditemui hingga ke hari ini.
Lapangan Terbang Varna, Bulgaria.
Tidak dapat dipastikan apa sebenarnya yang menimpa Lars
Mittank. Adakah kesan sampingan ubat? Kesan trauma malam pergaduhan di bar?
Mungkinkah sakit mental? Atau memang wujudkah sekumpulan lelaki yang telah meengekori dan menyerangnya?
Seorang pemandu trak mendakwa memberikan tumpangan kepada Lars
pada sekitar bulan April 2015. Bagaimanapun, dakwaan ini tidak pernah dapat
dibuktikan. Disember tahun berikutnya, seorang lelaki telah dijumpai dalam
keadaan tidak terurus di hutan liar Amazon Brazil. Dari segi paras rupa dan
saiz fizikal lelaki itu sememangnya hampir mirip dengan Lars Mittank. Namun
selepas pemeriksaan dijalankan, identiti lelaki itu dikenal pasti sebagai Anton
Pilippa, warga Kanada yang telah hilang dari rumahnya sejak tahun 2012.