Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH KEHILANGAN ASHA DEGREE

    

Asha Jaquilla Degree

    Pada bulan Februari tahun 2000, seorang kanak-kanak perempuan bernama Asha Degree yang berusia 9 tahun telah keluar dari rumah dengan menggalas sebuah beg. Sesudah itu, dia tidak pernah lagi kembali ke rumahnya. Hingga ke hari ini, tiada siapa pun yang tahu motif sebenarnya meninggalkan rumah pada malam kejadian.

     Asha Degree yang digambarkan sebagai seorang budak baik mempunyai minat dalam membaca dan menulis. Bahkan, dia langsung tidak mempunyai sebarang rekod disiplin buruk di sekolah.

     Pada 12 Februari 2000, Asha mewakili pasukan sekolahnya dalam satu perlawanan bola keranjang. Dalam perlawanan tersebut, Asha telah diperintahkan keluar gelanggang oleh pengadil kerana melakukan kekasaran. Perlawanan yang berakhir dengan kekalahan untuk pasukan Asha itu telah menyebabkan dirinya berasa sedih dan kecewa. Bagaimanapun, Asha cepat kembali bangkit daripada kekecewaan tersebut.

     Keesokan harinya, rutin harian keluarga Asha berjalan seperti biasa. Mereka pergi ke gereja untuk upacara keagamaan dan kemudian kembali ke rumah. Segalanya nampak normal. Tiada sebarang apa-apa yang mencurigakan.

     Menjelang pukul 8 malam, Asha dan abangnya iaitu O'Bryant masuk ke dalam bilik tidur. Sekitar jam 12. 30 pagi, Harold (ayah Ashley) yang baru pulang berkerja pergi memeriksa bilik tidur anak-anaknya. Asha dan O'Bryant didapati sedang tidur. Dua jam kemudian, Harold sekali lagi memeriksa keadaan. Situasi yang sama untuk Asha dan O'Bryant dengan kedua-duanya masih lagi lena diulit mimpi. Tidak lama selepas itu, O'Bryant terdengar bunyi mencicit dari katil Asha. Bagaimanapun, O'Bryant cuma beranggapan bahawa Asha sedang mengubah posisi tidurnya.

     Tepat jam 5.45 pagi, Iquilla (ibu Asha) bangun bagi mengejutkan kedua-dua anaknya untuk menyuruh mereka mandi. Selepas mendapati Asha tiada di bilik tidur, Iquilla cuba mencari di setiap kawasan rumah. Semua pintu rumah dalam keadaan berkunci dan tiada sebarang tanda-tanda pecah masuk. Musykil dengan keadaan itu, Iquilla menghubungi ibunya yang tinggal berdekatan. Bagaimanapun, Asha masih gagal dikesan. Maka Iquilla kemudian pun terus bertindak untuk menghubungi pihak polis.

     Berdasarkan pencarian awal di bilik Asha, beberapa barangan peribadi milikya seperti beg galas, beg duit serta beberapa pakaiannya didapati telah hilang. Perkara ini sekaligus memberi spekulasi awal bahawa Asha sebenarnya melarikan diri dari rumah. Pada masa yang sama, beberapa orang saksi tampil memberi keterangan. Salah seorang daripadanya mendakwa telah melihat Asha berjalan seorang diri di jalan raya tanpa memakai pakaian sejuk pada jam sekitar 3.45 hingga 4.15 pagi meskipun cuaca ketika itu dilanda ribut petir. Saksi tersebut yang memandu trak ketika itu berasa curiga cuba berpatah balik untuk pergi ke arah Asha. Bagaimanapun, Asha dilihat terus melarikan diri menuju ke dalam hutan yang berhampiran. Meskipun beberapa barangan milik Asha seperti pen, marker, kulit gula-gula dan beg galas ditemui di sekitar kawasannya hilang, semua itu tidak begitu membantu dalam mengembangkan siasatan kes.

     Dalam perkembangan lain, pihak FBI menerusi kenyataannya pada bulan Mei 2016, mereka mendakwa mempunyai satu petunjuk baru di mana Asha pada waktu kehilangannya didakwa menaiki kereta hijau gelap samada jenis 1973 Lincoln Continental Mark IV atau 1975 Ford Thunderbird. Oktober 2018, pihak Sherif Cleveland County memberitahu bahawa terdapat petunjuk baru yang tidak dijelaskan dengan terperinci kaitannya dengan kes kehilangan Asha. Pertama buku berjudul Dr. Seuss’ McElligot’s Pool yang dipinjam dari perpustakaan Fallston Elementary School. Kedua, baju konsert kumpulan New Kids On The Block. Mana-mana individu yang mempunyai maklumat kedua-dua petunjuk tersebut pada sekitar waktu kehilangan Asha diminta tampil bagi membantu siasatan.

    Hingga ke hari ini, masih tiada sebarang perkembangan terkini dengan siasatan kes Asha Degree. Ramai pihak mempercayai bahawa Asha pada asalnya melarikan diri dari rumah. Namun, dia tidak bernasib baik apabila menjadi menjadi mangsa samada penculikan atau pembunuhan. Jika benar sekalipun dakwaan tersebut, mengapa Asha melarikan diri dari rumah? Bukankah dia seorang budak yang baik dan tidak bermasalah?

Catat Ulasan for "KISAH KEHILANGAN ASHA DEGREE "