NELLIE BLY : Wartawan Wanita yang Menyamar Jadi Orang Gila
Itulah pengalaman paling berharga yang pernah diceritakan
oleh wartawan terkenal Amerika Syarikat
iaitu Elizabeth Cochran (1864-1922) atau lebih dikenali dengan nama penanya
sebagai Nellie Bly.
Nellie Bly juga merupakan perintis terhadap misi
"undercover" dalam bidang kewartawanan. Penyamarannya sebagai seorang
pesakit mental nyata berbaloi selepas berjaya membongkar kekejaman yang berlaku
di hospital sakit jiwa Women's Lunatic Asylum yang terletak di Blackwell's
Island. Nellie kemudian telah menerbitkan sebuah buku berjudul ‘Ten Days In A
Mad-House’ yang menceritakan tentang pengalaman ngerinya itu.
Nellie Bly |
Satu hari, Nellie telah mendapat satu tugasan daripada
editornya. Tugasan itu menyuruh Nellie untuk menyamar sebagai pesakit mental di
sebuah hospital sakit jiwa wanita. Bukan untuk sehari dua tetapi selama sepuluh
hari. Pada masa sama, editor Nellie turut memberi jaminan akan mengeluarkannya dari hospital sakit jiwa tersebut dengan apa cara sekalipun.
Bukan mudah untuk Nellie melakukan tugasan tersebut
memandangkan dia harus membuktikan dirinya gila terlebih dahulu sebelum
memasuki Women's Lunatic Asylum. Jadi, Nellie pun berlatih menjadi orang kurang
siuman di depan cermin untuk beberapa hari. Latihan itu membuahkan hasil
selepas Nellie yang "gila" itu
merayap di jalanan telah ditangkap oleh pihak polis kerana mengganggu
ketenteraman orang awam. Dia yang kemudiannya disahkan mengalami penyakit
mental oleh doktor psikiatri telah dihantar ke Pulau Blackwell.
Selama sepuluh hari Nellie di hospital sakit jiwa itu, dia
seolah-olah bagaikan berada di neraka. Keadaan memang lebih teruk daripada luar
jangkaannya. Nama saja hospital mental pertama di Amerika Syarikat, namun dana
peruntukan yang diperolehi adalah sangat sedikit. Lagi sadis, pesakit mental di
situ dilayan dengan begitu kejam oleh para doktor serta jururawat yang tidak
terlatih. Rawatan yang diberi bukan untuk memberi kesembuhan tetapi lebih
menyakitkan.
Para pesakit termasuk Nellie telah didera secara mental dan fizikal. Mereka dimandikan dengan air sejuk berais dan kemudian badan dibiarkan kebasahan selama beberapa jam hinggakan ada yang jatuh sakit. Mereka juga dipaksa untuk duduk di atas kerusi tanpa dibenarkan untuk bercakap dan bergerak dalam tempoh masa 12 jam ke atas. Ada juga antara pesakit yang diikat dan digantung dengan ditali. Bab kebersihan makanan sangat meloyakan. Daging busuk, roti berkulat serta air tercemar itulah yang menjadi sajian harian mereka. Membuat aduan adalah perkara dilarang sama sekali. Sesiapa yang berbuat sedemikian, maka bersiap siagalah untuk dipukul.
Perkara paling mengejutkan Nellie, kebanyakan pesakit di situ
sebenarnya adalah normal di mana rata-rata mereka merupakan imigran miskin yang
tidak fasih berbahasa Inggeris. Lebih malang, mereka mengalami penderitaan
psikologi secara berterusan akibat layanan yang diterima di hospital sakit jiwa
tersebut.
Seperti yang dijanjikan oleh editor Nellie pada sebelumnya,
Nellie berjaya jua dikeluarkan dari
Women's Lunatic Asylum menerusi khidmat peguam pada hari kesepuluh. Artikel
yang kemudian diterbitkan oleh Nellie tentang pengalamannya berada di hospital
sakit jiwa itu telah mendapat sambutan orang ramai sekaligus menarik perhatian
pihak berkuasa.
Pihak berkuasa seterusnya turun padang sendiri untuk menyiasat perkara tersebut. Selepas siasatan dijalankan, keadaan adalah sebaliknya. Jurangnya dengan cerita asal Nellie bagaikan langit dengan bumi. Seluruh kawasan Women's Lunatic Asylum tiba-tiba menjadi bersih. Begitu juga dengan tahap kebersihan makanan serta minuman. Sebahagian pesakit dilaporkan hilang dengan kemungkinan mereka telah dipindah atau dibebaskan. Kakitangan hospital sakit jiwa itu turut menafikan segala cerita Nellie yang dianggap mereka sebagai satu pembohongan. Pihak hospital tersebut dipercayai telah mencuba sedaya upaya untuk menutup kes. Mujurlah dalam kes ini pihak berkuasa itu memilih untuk menyebelahi Nellie. Hampir keseluruhan kakitangan yang disyaki berlaku kejam telah dipecat. Perkara ini menjadi satu kemenangan untuk Nellie serta satu keadilan buat pesakit di Women's Lunatic Asylum.
Sememangnya keberanian Nellie telah menjadikannya antara wartawan yang paling disegani serta disanjungi di seluruh dunia. Dia bersara dari dunia kewartawanan selepas berkahwin dengan seorang jutawan.
Tahun 1922, Nellie akhirnya meninggal dunia pada usia 57 tahun akibat radang
paru-paru. Kisah Nellie Bly ini juga telah beberapa kali difilemkan. Antaranya adalah The Adventures of Nellie Bly (1981), 10 Days in a Madhouse (2015) dan Escaping the Madhouse : The Nellie Bly Story (2019).
Catat Ulasan for "NELLIE BLY : Wartawan Wanita yang Menyamar Jadi Orang Gila "