Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH PEMBUNUHAN LACI PETERSON






    Laci (lahir tahun 1975) dan Scott Peterson (lahir tahun 1972) mula bertemu pada tahun 1994 di sebuah restoran. Bermula saat itu, Laci dan Scott pun saling bertukar nombor telefon yang kemudiannya mengheret mereka berdua ke alam percintaan. Seterusnya, pasangan kekasih itu bertunang pada tahun 1996 dan mendirikan rumah tangga setahun kemudian.

    Pada awal tahun 2002, Laci telah disahkan mengandung. Satu berita yang sememangnya sangat menggembirakan untuk anggota keluarga Laci. Disebabkan rasa begitu teruja, Laci dan Scott bercadang untuk menamakan bakal anak sulung mereka itu sebagai Connor.


     24 Disember 2002.

    Pada sekitar jam 5.15 petang, Scott telah menelefon ibu mentuanya yang bernama Sharon untuk memberitahu bahawa Laci telah hilang. Persoalan awal, bagaimana Scott begitu yakin bahawa isterinya yang sudah sarat mengandung lapan bulan ketika itu sudah pun hilang sedangkan tiada sebarang usaha pencarian dilakukannya? Lebih kurang 45 minit selepas panggilan Scott tersebut dibuat, ayah tiri Laci iaitu Ron Grantski telah bertindak menghubungi pihak polis untuk melaporkan kehilangan Laci.

    Pihak polis tiba di rumah Scott pada pada jam 6 petang. Turut serta sekali adalah Sharon. Berdasarkan pemeriksaan awal yang dilakukan oleh pihak polis, barangan peribadi milik Laci seperti kunci, beg duit dan tas tangan masih disimpan di dalam almari. Jadi, kesimpulan awal yang boleh dibuat adalah tiada sebarang unsur jenayah terhadap kehilangan Laci.

    Bayangkan pada waktu ini, Scott kelihatan tenang. Tiada sebarang tanda kerisauan pada riak wajahnya. Ingat watak Nick Dunne yang dilakonkan oleh Ben Affleck dalam filem Gone Girl (2014)? Gayanya yang tetap selamba meskipun kes kehilangan isterinya telah menjadi tumpuan besar oleh pihak media. Boleh dikatakan begitulah persamaan dengan perwatakan Nick dengan Scott. Malah, Scott siap cuba meyakinkan lagi pihak polis bahawa dia langsung tiada kena mengena dengan kehilangan Laci. Walau bagaimanapun, pihak polis tetap mengumpul beberapa barangan bukti penting dari rumah Scott. Namun, pada kemudiannya keputusan analisis bukti-bukti tersebut tidak berjaya mengaitkan sebarang penglibatan Scott.

    Mengikut keterangan Scott, kali terakhir dia melihat Laci adalah di rumahnya iaitu  pada pagi 24 Disember. Katanya, Laci memakai baju putih serta berseluar hitam. Laci juga sempat memberitahu Scott bahawa dia ingin membersihkan rumah dan membawa anjing belaan mereka yang bernama McKenzie untuk keluar pergi berjalan. Sementara itu, Scott sendiri pula pada asalnya berniat untuk pergi bermain golf. Namun disebabkan cuaca yang terlampau sejuk waktu itu, Scott menukar niat daripada bermain golf kepada pergi memancing. Di sini sebenarnya timbul satu persoalan yang lain. Sekarang fikirkan, mengapa Scott sanggup meninggalkan Laci tinggal bersendirian di rumah sedangkan malam hari itu adalah perayaan Krismas? Bukankan waktu perayaan sedemikian mereka berdua sepatutnya meluangkan masa bersama?


    Ini adalah timeline kehilangan Laci.
  • Diulangi, Scott mendakwa kali terakhir dia melihat Laci adalah pada jam 9.30 pagi.
  • Sekitar jam 9.20 hingga 9.40 pagi, ada seorang jiran ternampak Scott sedang memasukkan payung ke dalam keretanya. Mereka berdua saling bertegur sapa sebelum kemudiannya Scott memberitahu bahawa dia ingin pergi bermain golf. Bagaimanapun dalam kenyataannya kepada pihak polis, Scott mendakwa telah pergi memancing.
  • Dalam jam 10.30 pagi, jiran Scott bernama Karen Servas telah melihat McKenzie berjalan tanpa teman. Jadi, Karen menghantar semula McKenzie ke halaman rumah Scott. 15 minit kemudian, seorang lagi jiran yang bernama Mike Chiavetta telah ternampak McKenzie. Sama seperti Karen, Mike membawa anjing itu kembali ke rumah Scott.
  • Pada masa sama, Scott berada di gudang yang terletak tiga batu dari rumahnnya. Di situ, Scott sempat melakukan kerja pada komputer sebelum menaiki bot untuk pergi memancing. Sekembalinya di rumah, dia gagal menemui Laci.
    Pada awal siasatan, Scott telah memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis. Ini termasuklah kesudiannya untuk melakukan ujian poligraf. Bagaimanapun, Scott tiba-tiba berubah fikiran daripada menjalani ujian tersebut selepas diberitahu oleh ayahnya bahawa pihak polis berkemungkinan cuba memanipulasikan keadaan. Apa yang mencurigakan dalam kes ini adalah reaksi Scott. Secara fakta, memang tiada sebarang bukti fizikal untuk mengaitkannya dengan kehilangan Laci. Scott langsung tidak bersedih apatah lagi untuk menangis meratapi kehilangan Laci. Gambaran mudah, kehilangan Laci seolah-olah  tidak memberikan apa-apa kesan pun terhadap hidup Scott. Bahkan juga Scott tidak mengizinkan mana-mana gambarnya diletakkan di dalam poster kehilangan Laci. 




    30 Disember 2002, pihak polis mendapat satu maklumat penting yang mungkin boleh membawa kepada perkembangan kes. Dilaporkan telah berlakunya satu rompakan di sebuah rumah berdekatan dengan rumah Scott pada waktu yang sama kehilangan Laci. Teori awal, rumah Scott turut menjadi sasaran rompakan. Laci kemudian menjadi mangsa penculikan atau pembunuhan semasa cuba mempertahankan diri. Selepas siasatan dibuat, pihak polis telah mengeluarkan kenyataan bahawa rompakan tersebut berlaku selepas waktu kehilangan Laci. Jadi, teori rompakan ini ditolak tepi.

    Kes terus mencipta kontroversi selepas seorang ibu tunggal yang merupakan tukang urut telah tampil secara umum bagi membantu siasatan. Perempuan yang dikenali sebagai Amber Frey itu adalah kekasih gelap Scott. Amber bagaimanapun mendakwa pada sebelumnya langsung tidak mengetahui status sebenar Scott yang sudah berkahwin. Scott cuma membuat pengakuan bahawa dirinya adalah seorang duda yang sudah pun kehilangan isteri. Harus diingatkan, pengakuan yang dibuat oleh Scott itu adalah berminggu-minggu sebelum kehilangan Laci. Jelas di sini berkemungkinan Laci telah mengetahui tentang kecurangan Scott. Dalam kes ini, Amber tidak melepaskan tangan. Dia bersetuju untuk membantu siasatan polis melalui intipan rahsia perbualan telefonnya dengan Scott.

Scott dan Amber Frey
        
    Hinggalah 13 April 2003, mayat Laci yang sudah mereput teruk bersama janin bayi lelakinya telah ditemui oleh orang awam di kawasan persisir pantai San Francisco Bay. Mayat Laci ditemui dalam mengerikan iaitu tanpa kepala, tangan dan kaki. Waktu serta punca sebenar kematian tidak dapat dipastikan. Cumanya, Connor dikatakan masih bernyawa selama empat hari selepas kematian Laci.

    Pihak polis terus menahan Scott sejurus selepas penemuan mayat isteri dan anaknya itu. Scott yang ditahan berdekatan dengan padang golf didapati telah mengubah penampilannya dengan mewarnakan rambut. Hasil pemeriksaan dalam keretanya pada waktu tersebut juga menemui wang tunai berjumlah $15,000, 12 biji pil Viagra, pakaian, peralatan khemah, 4 buah telefon bimbit dan lesen memandu adiknya. Berdasarkan penemuan barangan bukti itu, pihak berkuasa mengesyaki Scott merancang untuk pergi ke Mexico. Scott dilaporkan langsung tidak memberikan sebarang reaksi selepas diberitahu tentang penemuan mayat Laci dan Connor.


    Selepas perbicaraan demi perbicaraan, keputusan akhirnya diumumkan pada 12 November 2004. Scott Peterson yang didapati bersalah atas dua pertuduhan pembunuh iaitu membunuh Laci dan Connor telah diperintahkan untuk menjalani hukuman mati. Mendengar keputusan itu, Scott hanya mampu terdiam sedangkan pada sebelum perbicaraan dia senyum serta ketawa sinis kerana menyangkakan keputusan pihak juri akan menyebelahinya.

    Setelah mendengar keputusan tersebut, seluruh anggota keluarga Laci menangis teresak-esak. Ingin dijelaskan bahawa tiada bukti fizikal iaitu darah atau sebarang unsur jenayah yang ditemui. Segala hujah yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan adalah berdasarkan bukti pembohongan yang dilakukan oleh Scott. 

    Bagaimanapun, rayuan keputusan oleh pihak pembelaan masih lagi berjalan hingga hari ini. Jadi, Scott masih hidup di penjara memandangkan tiada tarikh tepat untuk menjalani hukuman mati tersebut. Sebagai rekod, tiada hukuman mati yang pernah dijalankan di mana-mana penjara California sejak dari tahun 2006.

    Seperti yang diberitahu, tiada siapa sebenarnya tahu apa yang telah berlaku terhadap Laci. Hingga sekarang, Scott Peterson masih kekal dengan pendiriannya untuk mengaku tidak bersalah atas dakwaan membunuh Laci. Begitu juga dengan keluarga Scott yang tidak pernah berhenti memberikan sokongan moral kepada Scott. Mereka percaya Scott adalah mangsa yang teraniaya. Satu-satunya teori pihak polis adalah Laci dibunuh Scott pada malam 23 Disember, kemudian dibuang di lautan San Francisco Bay. 


Kemas kini : Hukuman mati terhadap Scott ditarik balik pada bulan Ogos 2020.