Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

SIAPA YANG TINGGAL DALAM LOTENG ITU?

Gambar sekadar hiasan.

   Pada satu malam tahun 1997, seorang wanita bernama Amber Dawn yang baru saja berpindah rumah telah terdengar bunyi tapak kaki di bahagian loteng. Dia kemudian terjumpa pintu loteng itu namun tidak memasukinya. Tuan rumah yang diberitahu tentang perkara tersebut beranggapan bahawa bunyi yang didengari oleh Amber berkemungkinan adalah daripada tupai.

    Beberapa bulan berikutnya, beberapa peristiwa aneh telah berlaku di rumah sewa Amber itu. Ini termasuklah kehilangan makanan serta beberapa barangan yang tiba-tiba beralih tempat. Pada mulanya, Amber mengesyaki semua itu adalah angkara adik lelakinya yang tinggal berdekatan. Lagipun adiknya memiliki kunci pendua rumahnya.

    Pernah sekali, rumah Amber dilanda banjir. Amber yang baru sahaja pulang bekerja berasa terkejut apabila mendapati anak anjing belaannya berada di dalam sinki. Bagi Amber, tidak mungkin anjing sekecil itu boleh memanjat.

    Selepas enam bulan, misteri terungkai jua akhirnya. Satu malam, Amber yang tengah mandi tiba-tiba mendapati pintu loteng telah terbuka. Dia yang berasa ketakutan bergegas meninggalkan rumah bersama anjingnya sambil sempat membawa tukul. Amber kemudian menghubungi kakak iparnya bagi meminta bantuan.

    Pihak polis yang tiba untuk melakukan pemeriksaan di rumah Amber telah menemui makanan, buku dan beg tidur di dalam loteng. Jadi, memang ada seseorang yang tinggal di loteng itu sepanjang tempoh Amber mendiami rumah sewa tersebut.