ZACHARY DAVIS : PEMBUNUH TUKUL BESI
Zachary merupakan banduan muda yang telah ditahan pada usianya 15 tahun atas kesalahan membunuh ibu kandungnya sendiri menggunakan tukul besi. Apabila Zachary ditanya oleh Dr. Phil mengapa dia membunuh ibunya, Zachary dengan suara yang garau menjawab, "Sebab dia tak jaga keluarga aku."
Kes
Zachary ini menjadi perdebatan hangat samada pembunuhan yang dilakukannya itu
adalah disebabkan penyakit mental atau dia sememangnya berjiwa sebagai seorang
pembunuh.
Zachary
merupakan anak kedua daripada dua orang beradik. Bapanya bernama Chris manakala
ibunya pula adalah Melanie. Sementara itu, abang Zachary iaitu Josh merupakan
tua setahun daripadanya. Pada tahun 2007, Chris telah meninggal dunia akibat
menderita penyakit ALS iaitu Sklerosis lateral amiotrofik. Kematian Chris itu
ternyata merupakan satu kehilangan besar untuk Zachary yang ketika itu baru
berusia 10 tahun sekaligus menyebabkannya kemurungan.
Beberapa
bulan kemudian, Zachary telah dibawa untuk berjumpa dengan pakar psikiatri yang
bernama Dr. Bradley Freeman untuk mendapatkan rawatan. Semasa sesi rawatan
tersebut, Zachary ada memberitahu bahawa dia kerap mendengar suara halus
berbisik pada telinganya. Ini termasuklah suara bapanya sendiri.
Hasil
pemeriksaan, Zachary akhirnya disahkan mengalami penyakit Skizofrenia serta
kemurungan. Namun selepas itu entah kenapa Melanie enggan meneruskan sesi
rawatan untuk Zachary. Apa yang pasti, perkara itu sebenarnya adalah satu
kesilapan besar untuk Melanie sendiri.
Petang
10 Ogos tahun 2012, Melanie telah membawa Zachary dan Josh pergi menonton
wayang. Selesai aktiviti tersebut, mereka bertiga pun pulang kembali ke
rumah. Tepat jam 9.00 malam, Melanie tidur seperti waktu kebiasaannya. Zachary
kemudian menyelinap masuk ke dalam bilik Melanie. Melanie seterusnya dihentak
berkali-kali oleh Zachary pada bahagian kepalanya sampai mati dengan menggunakan
tukul besi. Sesudah itu, Zachary pun pergi menuang minyak gas di bilik
permainan video bagi menyalakan api kebakaran. Niatnya tidak lain tidak bukan
adalah untuk cuba membunuh Josh sekali. Bagaimanapun, api kebakaran itu tidak
merebak pantas kerana kesilapan Zachary sendiri yang telah menutup pintu bilik
permainan video tersebut. Hal ini menyebabkan Josh yang sedang tidur ketika itu
terus terbangun selepas mendengar bunyi penggera asap. Dia kemudian lekas
bangun untuk pergi menyelamatkan ibunya.
Apabila
mendapati pintu bilik Melanie berkunci, pintu itu terus dirempuh oleh Josh.
Sebaik mendapati ibunya dalam keadaan yang tidak bernyawa serta berlumuran
dengan darah, maka Josh terus bergegas ke rumah jiran untuk mendapatkan
pertolongan.
Pihak
berkuasa kemudian berjaya menemui Zachary yang sedang berjalan seorang diri di
jalan raya yang terletak kira-kira 5 batu jaraknya dari rumah mereka. Hasil
soal siasat yang dijalankan, Zachary telah mengaku melakukan pembunuhan
tersebut. Dia siap tersenyum menandakan rasa kepuasan di dalam hatinya.
Menerusi
pengakuan yang dibuat oleh Zachary, dia mendakwa bahawa tindakannya membunuh
Melanie adalah atas bisikan suara bapanya sendiri. Zachary juga ada diajukan
pertanyaan samada dia akan tetap melakukan pembunuhan atau sebaliknya jika masa
boleh diputar balik. Satu jawapan menyeramkan daripada Zachary apabila menjawab
bahawa dia akan membunuh Josh sekali.
Sewaktu
ditunjukkan gambar mayat ibunya juga, tiada sebarang tanda-tanda penyesalan
pada riak wajah Zachary. Bahkan ketika sesi perbicaraan kesnya di mahkamah,
Zachary ada tergelak seorang diri semasa menceritakan tentang tukul besi yang
digunakannya untuk membunuh Melanie. Cerita Zachary lagi, dia menghentak
Melanie berkali-kali adalah untuk memastikan ibunya itu betul-betul mati.
Menerusi
satu keterangan daripada Dr. Freeman, pembunuhan kejam yang dilakukan oleh
Zachary itu adalah disebabkan penyakit mental yang dialaminya. Bagaimanapun,
keputusan pihak juri akhirnya tetap memutuskan bahawa Zachary didapati bersalah
atas kesalahan membunuh Melanie. Dia telah dijatuhkan hukuman penjara
seumur hidup dengan tambahan 20 tahun lagi atas percubaan membunuh Josh.
Jadi, apa pendapat anda tentang kes Zachary ini? Adakah anda rasa memang benar disebabkan penyakit mental yang dialaminya ataupun Zachary sebenarnya adalah syaitan bertopengkan manusia. Tonton sendiri rancangan televisyen Dr. Phil di bawah untuk melihat cara dan gaya Zachary menjawab soalan yang diajukan kepadanya.