Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

INSIDEN DYATLOV VERSI AMERIKA

    Pada malam Jumaat 24 Februari 1978, lima orang sekawan iaitu Jack Huett, Gary Mathias, William Sterling, Jack Madruga dan Theodore Weiher memulakan perjalanan mereka dari bandar Yuba California menuju ke Chico dengan menaiki sebuah kereta model 1969 Mercury Montego untuk menyertai satu perlawanan bola keranjang antara kolej. Tiga orang daripada mereka dikatakan mengalami masalah perkembangan fizikal dengan Gary Mathias dilaporkan paling kritikal ekoran menghidapi penyakit skizofrenia.


    Keesokan harinya, lima orang sekawan itu langsung tidak pulang ke rumah. Perkara itu sekaligus telah menggusarkan anggota keluarga mereka semua. Pada akhirnya, ibu kepada Jack Madruga bertindak melaporkan kehilangan mangsa kepada pihak polis.

    Bertindak atas laporan tersebut, maka pihak polis pun memulakan operasi pencarian. Hinggalah pada 28 Februari, kereta yang dinaiki oleh mangsa telah dijumpai tersadai di jalan berbukit yang dianggarkan berketinggian 4 500 kaki serta memakan masa sekitar dua jam setengah perjalanan dari Chico.

    Berdasarkan pemeriksaan mendapati kondisi enjin, tayar dan minyak kereta itu masih lagi berada dalam keadaan yang baik. Semua bahagian pintu kereta juga tidak berkunci dengan salah satu tingkap  terbuka.

    Biarpun operasi pencarian diteruskan selama lima hari berikutnya, tiada sebarang petunjuk penting yang berjaya ditemui.

    Menurut laporan salah seorang saksi, dia telah mendakwa telah melihat satu peristiwa yang dirasakannya agak ganjil pada malam kejadian. Ceritanya sewaktu  dalam perjalanan pulang ke kabin, keretanya terperangkap di jalan akibat salji. Jadi, dia pun keluar  untuk menolak keretanya. Bagaimanapun, dia yang tiba-tiba mengalami serangan jantung telah mengambil keputusan untuk berehat dalam keretanya itu. Sekitar  jam 11.30 malam, saksi itu terdengar pula bunyi satu tiupan wisel dan kemudian menyedari kewujudan sebuah kereta dan trak di belakangnya. Bila diperhatikan, ada sekumpulan lelaki bersama seorang lagi wanita yang sedang menggendong bayi.  Tidak lama selepas itu, kumpulan tersebut tiba-tiba beredar pergi dari kawasan situ.


    Seorang lagi saksi yang juga merupakan seorang pengusaha kedai memberitahu bahawa dia ada ternampak lima orang lelaki berada di dalam sebuah trak merah pada hari Sabtu dan Ahad selepas waktu kejadian. Dua orang lelaki telah membeli makanan di kedainya manakala seorang lagi membuat panggilan di pondok telefon. Baki lagi dua orang sedang duduk menunggu dalam kereta.

    Empat bulan kemudian, sekumpulan penunggang motorsikal telah menemui sebuah trailer di atas bukit dengan jaraknya yang dianggarkan 19 batu dari lokasi kereta ditemui. Menyedari tingkap trailer tersebut pecah, para penunggang motorsikal itu pergi memeriksa keadaan. Dalam trailer itu, mereka begitu terkejut apabila mendapati sekujur tubuh badan manusia terbaring kaku di atas tilam. Mayat tersebut dikenal pasti sebagai Theodore Weiher. 

    Penemuan mayat Ted menyebabkan pihak berkuasa bergegas untuk melakukan kerja-kerja pencarian saki baki mangsa di sekitar kawasan bukit itu. Pencarian tersebut nyata mendatangkan hasil apabila mayat Jack Madruga, Bill Sterling dan Jack Huett berjaya ditemui. Hanya Gary Mathias sahaja yang gagal dikesan. 

    Mayat Jack Madruga dan William Sterling telah ditemui di jalan yang bertentangan dengan lokasi trailer. Mayat Jack telah menjadi manakala binatang buas, manakala William pula cuma tinggal rangka. Sementara itu, tengkorak Jack Huett dijumpai di kawasan cerun bukit. 

    Berdasarkan laporan bedah siasat, kesemua mangsa berkemungkinan mati akibat kelaparan dan terdedah dengan ancaman binatang buas di kawasan itu. Namun ada sedikit persoalan. Pertama, berkenaan dengan Theodore Weiher. Sewaktu mayatnya dijumpai, bulu jambang Theodore sangat lebat dan berat badannya dilihat telah mengalami penurunan secara mendadak iaitu dari berat asal sebanyak 90 kilogram menjadi 54 kilogram. Jadi berdasarkan pakar patologi, berkemungkinan Ted masih lagi hidup selama 8 hingga ke 13 minggu selepas kehilangannya dilaporkan.

    Selain itu, terdapat beberapa barangan yang ditemui dalam trailer seperti pakaian sejuk, daun terup, buku dan perabot kayu. Namun, apa yang menghairankan tiada sebarang percubaan untuk menghidupkan api melalui mana-mana barangan tersebut meskipun terdapat tangki pada trailer itu. Lagi pelik, hampir semua bekalan makanan juga langsung tidak terusik. 

    Hingga sekarang, kes ini masih lagi menimbulkan keraguan kepada ramai pihak. Jadi, apa sebenarnya berlaku? Apa yang mereka buat dalam trailer pada malam itu? Bagaimana pula dengan teori yang paling hangat iaitu Gary Mathias dianggap sebagai suspek utama kerana menghidapi penyakit skizofrenia?

1 ulasan for "INSIDEN DYATLOV VERSI AMERIKA"

  1. Mangsa mati akibat kelaparan tapi bekalan makanan tak terusik. Pelik. Adakah Gary masih hilang hingga kini?

    BalasPadam