JIRAN OBSES
Pernah ada pengalaman diganggu jiran yang obses atau psiko?
Ini adalah kisah benar yang dialami oleh seorang wanita bernama Savanna Fuchs pada tahun 2012 - 2014 di North Ogden, Amerika Syarikat.
Savanna dan Todd
Pada sekitar tahun 2012, seorang ibu tunggal bernama Savannah Fuchs (31 tahun) serta anak lelakinya iaitu Daniel (6 tahun) telah berpindah ke sebuah rumah yang terletak di North Ogden. Savannah pernah dimaklumkan oleh tuan rumah bahawa penyewa sebelumnya juga adalah seorang ibu tunggal.
Kedatangan Savannah dan anaknya telah disambut baik oleh jiran sebelah rumah sewa barunya itu yang bernama Todd Alan Barber (50an). Todd yang tinggal berseorangan nampak baik serta ramah orangnya. Boleh dikatakan ada ciri-ciri seorang datuk yang sangat mengambil berat.
Pada awalnya, keadaan baik-baik sahaja. Hinggalah satu hari, Savannah yang ingin pergi ke tempat kerja telah mendapati tayar keretanya kempis. Todd kemudian muncul menawarkan pertolongan untuk menghantar serta menjemput Savannah dari tempat kerjanya. Bermula dari situ, mereka berdua saling bertukar nombor telefon.
Todd selalu duduk di atas kerusi depan rumahnya menunggu kedatangan Savannah. Dia sentiasa dalam keadaan siap siaga untuk membantu sekiranya Savannah memerlukan sebarang pertolongan Lama-kelamaan, Savannah mula berasa janggal dengan situasi itu. Lagipun, Savannah menyedari bahawa setiap gerak-gerinya sering diperhatikan oleh Todd.
Savannah pernah menerima satu kad ucapan dari Todd. Bayangkan, jiran sebelah rumah sendiri yang memberikan kad ucapan. Mesti rasa janggal. Seperkara lagi, Todd ada menulis ayat "Best Friend Forever" dalam kad tersebut. Boleh difikirkan sendiri, psiko tak psikonya si Todd.
Gangguan Todd kian berterusan. Dia semakin berani apabila mengetuk pintu rumah Savannah pada waktu tengah malam buta. Memikir keselamatan diri dan anaknya, Savannah tekad untuk menghubungi pihak polis. Setibanya pihak polis di rumah Savannah, mereka menyoal siasat Todd. Todd cuma memberitahu bahawa dia hanya cuba untuk menjadi seorang jiran yang baik. Tiada sebarang tangkapan yang dilakukan oleh pihak polis.
Kali kedua Savannah menghubungi pihak polis adalah selepas dia mendapati pintu masuk rumahnya telah diconteng dengan kapur. Contengan itu bertulis "Pray for Forgiveness". Sama seperti keadaan sebelumnya , Todd yang disoal oleh pihak polis menafikan tuduhan Savannah.
Savannah memang pernah terfikir untuk berpindah. Siapa yang tahan hidupnya sentiasa diganggu dan diperhatikan oleh jiran sebelah rumah? Namun, keadaan kewangan Savannah telah membantutkan perkara tersebut.
Perkara yang sering mendebarkan untuk Savannah adalah saat dia menerima hadiah di depan pintu rumahnya. Bukan sekali dua, tetapi berkali-kali. Hadiah yang dibuang Savannah ke dalam tong sampah itu termasuklah patung mainan dan ayam belanda.
Hinggalah pada akhirnya, Savannah sudah tidak dapat mengawal emosi. Dia menjerit betul-betul di depan Todd meminta dirinya tidak diganggu lagi. Reaksi Todd? Dia cuma buat muka bodoh selamba.
Satu pagi, Savannah bangun dari tidur seperti waktu kebiasaannya. Cuma, kali ini menjadi lebih luar biasa selepas dia melihat Todd berdiri di depan katilnya sambil memegang pistol. Savannah sebenarnya pernah kehilangan kunci rumah, cuma tidak pernah terlintas di fikiran bahawa kehilangan kunci itu ada kaitan dengan Todd.
Savannah telah dipukul oleh Todd dengan begitu teruk sekali. Bahkan, Savannah juga dimaki berkali-kali. Saat Todd ingin menembak Savannah, satu keajaiban telah berlaku. Pistol itu tiba-tiba tersekat sedangkan pada sebelumnya ada tembakan yang dilepaskan pada lantai. Kejadian tersebut membuatkan Todd menjadi tergamam seketika. Entah apa yang bermain dekat dalam fikiran Todd, dia bertindak menghubungi talian kecemasan untuk memberitahu bahawa Savannah mengalami kecederaan. Tidak lama kemudian, Todd menyedari kedatangan pihak polis. Dia seterusnya tidak mengambil masa lama untuk terus melepaskan tembakan pada kepalanya sendiri. Todd mati serta merta.
Memang satu keajaiban untuk Savannah dan anaknya terselamat dalam kejadian tersebut. Satu saman telah difailkan oleh Savannah terhadap pihak polis North Odgen kerana kegagalan mereka untuk melindungi Savannah dan Daniel. Walau bagaimanapun, kes tersebut telah digugurkan oleh pihak hakim.
Catat Ulasan for "JIRAN OBSES"