MISTERI KEHILANGAN JOAN RISCH
Pada 24 Oktober 1961 bersamaan dengan 4.30 petang, seorang
anggota polis berpangkat sarjan iaitu Sarjan
Mike Hugh telah menerima satu panggilan telefon daripada seorang wanita
dari kawasan Old Bedfod Road yang bernama Barbara
Barker. Menerusi panggilan telefon tersebut, Barbara memberitahu bahawa
lantai dapur di rumah jirannya telah berlumuran dengan darah.
Kira-kira lima minit selepas panggilan itu dibuat, maka
Sarjan Mike pun tiba di tempat kejadian. Berdasarkan pemeriksaan yang
dilakukannya, dia mendapati darah bukan sahaja membasahi lantai dapur bahkan
juga terpercik pada dinding. Meja makan dalam keadaan terbalik seolah-olah ada berlakunya
pergelutan. Gagang telefon yang dicabut telah dibuang ke dalam tong sampah.
Buku panduan telefon pula terselak pada halaman nombor kecemasan namun tiada
sebarang nombor panggilan kecemasan yang ditulis. Selain itu, kertas tisu dan
seluar dalam kanak-kanak yang turut ditemui dipercayai sempat digunakan untuk
mengelap darah pada lantai.
Seorang wanita bernama Joan
Risch yang juga merupakan penghuni rumah tersebut gagal dikesan sama
sekali. Pada mulanya, Sarjan Mike membuat kesimpulan awal bahawa Joan Risch berkemungkinan
telah membunuh diri. Namun selepas gagal menemui Joan di dalam rumah itu, dia
menyedari operasi pencarian harus dijalankan dengan kadar segera.
Setibanya pasukan bantuan di tempat kejadian, mereka dikerah
untuk mencari mangsa di sekitar kawasan hutan dan memeriksa maklumat pesakit di
hospital yang berdekatan seperti mencari rekod pesakit yang sedang mendapatkan
rawatan atau pesakit yang ditahan wad akibat mengalami kecederaan pada tubuh
badan. Walau bagaimanapun, usaha tersebut gagal untuk menemui sebarang rekod Joan
Risch. Dalam kes Joan ini, sebenarnya agak sukar untuk menentukan
tempat terawal berlakunya tompokan darah. Ini adalah kerana ada dua lagi tempat
yang mempunyai kesan darah iaitu pada tingkat atas dan jalan masuk di halaman
rumah. Seperkara lagi, cap jari yang ditemui di dalam rumah Joan Risch tidak
dapat untuk dikenal pasti. Menyukarkan lagi keadaan, ada dua laporan bercanggah
dengan laporan cap jari tersebut. Pertama, cap jari itu dikatakan milik
penceroboh rumah Joan yang tidak diketahui identitinya. Kedua, tiada maklumat
cap jari Joan yang direkodkan di dalam mana-mana fail rasmi.
Menurut keterangan Barbara Barker, kali terakhir dia melihat
kelibat Joan secara sahih adalah pada jam sekitar 2 petang hari kejadian.
Katanya, Joan memakai skirt, pakaian sejuk dan baju hujan berwarna kelabu.
Barbara bagaimana pun gagal untuk mengecam satu benda berwarna merah yang
dibawa oleh Joan pada ketika itu.
Dalam laporan lain, ada seorang wanita yang mempunyai kesan
darah pada kakinya dilihat berjalan seorang diri di utara jalan Massachusetts
Route 128 antara jam 3:15 hingga 3:30 petang hari kejadian. Apa yang jelas lagi
ketara, dia berpakaian sama seperti yang digambarkan oleh Barbara. Lebih kurang sejam kemudian, wanita yang sama
dikesan pula berada di jalan selatan Massachusetts Route 128 berdekatan dengan
Trapelo Road.
Waktu pagi kejadian, suami Joan iaitu Martin Risch keluar dari rumahnya untuk menuju ke Lapangan Terbang
Logan. Selepas pemergian Martin, Joan bangun untuk menyediakan sarapan
anak-anaknya. Siap bersarapan, dia kemudian meminta bantuan jiran di sebelah
rumahnya iaitu Barbara untuk mengasuh anak lelaki bongsunya yang bernama David.
Seterusnya, Joan pergi ke bandar bersama anaknya yang bernama Lillian untuk menghadiri satu temu janji dengan seorang doktor
gigi. Selesai temu janji itu, Joan dan Lillian pergi membeli barang di kedai
runcit.
Joan dan Lillian pulang semula ke rumah pada jam 11 pagi. 15
minit kemudian, seorang pekerja pencuci pakaian datang ke rumah Joan untuk
mengutip pakaian Martin. Pukul 12 tengah hari, Joan menidurkan anak lelakinya
iaitu David di bilik tidur tingkat atas. Sejam selepas itu, Douglas bermain
bersama Lillian di kawasan rumah Joan. Pada masa yang sama, Joan berkebun di
halaman rumahnya.
Selesai berkebun, Joan
membawa Lillian dan Douglas bermain di seberang jalan rumah Barbara. Jam 2.15
petang, Barbara ternampak Joan meninggalkan rumahnya dalam keadaan tergesa-gesa. Tepat jam 4 petang, Barbara menghantar Lillian pulang ke
rumah. Bagaimanapun tidak lama kemudian, Lillian kembali semula ke rumah
Barbara lalu memberitahu bahawa ibunya telah hilang dan dapur rumah dipenuhi
dengan cat merah. Berasa curiga dengan kenyataan itu, Barbara pun memasuki
rumah Joan untuk memeriksa keadaan. Ternyata apa yang diberitahu Lillian adalah
benar belaka. Barbara yang berasa bimbang terus menghubungi pihak polis.
Joan Risch
Joan Risch atau nama penuhnya Joan Carolyn Bard dilahirkan pada tahun 1930, di Brooklyn, New
York. Keluarganya berpindah ke New Jersey pada tahun 1939. Setahun kemudian,
Joan bergelar anak yatim piatu selepas kedua-dua ibu bapanya meninggal dunia
akibat kebakaran. Dia bagaimanapun bernasib baik apabila ibu dan bapa
saudaranya sudi untuk memikul tanggungjawab menjaganya. Tahun 1952, Joan
berjaya menamatkan pengajian ijazah dari Kolej Wilson dalam jurusan English
Literature. Dia kemudian berjaya mendapatkan pekerjaan sebagai kerani di sebuah
syarikat penerbitan. Atas kerajinannya, dia dinaikkan pangkat sebagai editor.
Empat tahun selepas itu, Joan telah mengahwini seorang eksekutif syarikat
bernama Martin Risch. Hasil perkahwinan itu, Martin dan Joan dikurniakan dua
cahaya mata iaitu Lillian (1958), dan David (1959). Demi menumpukan perhatian
kepada keluarga, Joan akhirnya membuat keputusan untuk berhenti kerja demi
menjadi suri rumah sepenuh masa. Bahkan Joan juga ada menyimpan hasrat serta
berazam untuk menjadi seorang cikgu pada kemudian hari.
Joan bersama Lillian dan David
Kes misteri kehilangan Joan Risch itu ternyata telah mendapat liputan yang luar
biasa daripada pihak media. Satu hari, Sareen Gerson yang juga merupakan seorang
wartawan akhbar tempatan telah pergi ke perpustakaan awam untuk menyemak rekod
mana-mana kes yang sama seperti kehilangan Joan Risch. Selepas membaca sebuah
buku yang berjudul "Brigham's Young Wife 27",
Sareen mendapati buku itu telah dipinjam oleh Joan sendiri pada bulan
September, iaitu sebulan sebelum kehilangannya. Joan juga pernah meminjam buku "
Into
Thin Air" yang mengisahkan tentang seorang wanita yang menghilangkan
diri dari rumahnya dengan meninggalkan tisu kertas dan kesan darah sebagai
bukti di tempat kejadian. Jelas sekali, perkara ini adalah sama dengan apa yang
berlaku terhadap Joan Risch! Melalui semakan rekod pinjaman di perpustakaan tersebut,
Joan didapati telah meminjam 25 buah buku yang rata-ratanya terdiri daripada genre
jenayah misteri berkisarkan tentang kehilangan dan pembunuhan. Penemuan rekod
pinjaman itu sekaligus mengukuhkan spekulasi bahawa Joan Risch sebenarnya masih
hidup dan sengaja menghilangkan diri. Namun, harus diingatkan semua itu adalah sekadar
spekulas semata-mata. Apapun, satu kredit diberikan kepad Sareen kerana telah
menemui satu petunjuk yang sedikit sebanyak membantu perkembangan siasatan kes.
Hingga ke hari ini, tiada siapa pun yang tahu apa sebenarnya
yang telah berlaku kepada Joan. Jika benar sekalipun dia diculik atau pun
dibunuh, persoalan pertama yang timbul sudah pastinya adalah suspek. Jadi,
siapakah suspek? Adakah suaminya,
Martin? Kebarangkalian, bukan. Ini kerana Martin dan Joan saling mencintai
antara satu sama lain. Mereka berdua adalah pasangan suami isteri yang hidup
bahagia dengan saling menerima kekurangan dan kelebihan masing-masing. Bahkan,
Joan sanggup berhenti kerja demi menjalankan tanggungjawabnya sebagai seorang
isteri dan ibu dengan lebih sempurna.
Martin sendiri berpendapat bahawa Joan sebenarnya telah
diserang penyakit amnesia secara mengejut. Disebabkan itu, dia enggan menukar
nombor telefon rumah kerana sentiasa berharap isterinya itu akan menelefon
semula. Penantian itu satu penyeksaan, Martin yang tidak pernah berkahwin semula
selepas kejadian tersebut telah menghembuskan nafasnya yang terakhir pada tahun
2009.
Mungkin Joan sengaja menghilangkan diri? Menurut keterangan
saudara maranya sendiri, Joan dilihat telah hilang keyakinan dalam hidup. Dari
segi luaran, dia nampak hidup bahagia sedangkan pada hakikat adalah sebaliknya.
Jiwa Joan kosong. Dia ditimpa satu kecelaruan dalam hidupnya hingga kerap kali
menukar perwatakan. Sampai satu tahap, Joan tidak berpuas hati dan tidak lagi
mampu bertahan dengan kehidupan yang dimilikinya. Ada juga dakwaan yang
mengatakan Joan pernah diperkosa pada zaman mudanya. Dakwaan ini bagaimanapun
tidak dapat dipastikan sejauh mana kebenarannya. Satu lagi teori, Joan telah
terjatuh di dalam sebuah lubang tapak pembinaan jalan sepanjang Route 128. Dia yang
gagal untuk menyelamatkan diri akhirnya tertimbus tanpa disedari.
Sementara itu, penyiasat terawal kes Joan Risch iaitu Leo Algeo mempunyai teorinya
tersendiri. Namun, entah mengapa Leo tidak pernah mendedahkan teorinya itu
kepada pihak umum. Leo Algeo meninggal dunia pada tahun 2009. Jadi, di manakah Joan Risch? Mati atau sengaja menghilangkan
diri?