Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

MISTERI KEMATIAN DUA PENDAKI WANITA : Kris Kemmers dan Lissane Froon


    Pada 15 Mac 2014, dua orang pelajar wanita warganegara Belanda yang bernama Kris Kremers (21 tahun) dan Lissane Froon (22 tahun) telah memulakan penerbangan mereka dari Amsterdam menuju ke Costa Rica. Selepas tiba di destinasi, dua rakan karib itu kemudian menuju ke Bocas del Toro, Panama. Sepanjang dua minggu berada di kawasan itu, Kris serta Lissane menghabiskan masa dengan berseronok di tepi pantai, mempelajari bahasa Sepanyol dan menikmati makanan. Pada masa sama, mereka berdua sempat berkenalan dengan dua orang lelaki yang juga berasal dari Belanda. Seterusnya tanggal 29 Mac 2014, Kris dan Lissane bergerak ke bandar Boquete.

    Mengikut program asal Kris dan Lissane, mereka berdua sepatutnya akan melakukan kerja-kerja sukarelawan di sebuah sekolah Sepanyol pada pekan Boquete itu. Namun, program tersebut terpaksa ditunda atas sebab-sebab tertentu. Meskipun berasa agak kecewa dengan keputusan tersebut, Kris dan Lissane kekal berada di Panama selama empat minggu dengan menginap di rumah keluarga angkat mereka yang terletak pada bahagian selatan Boquete.

    Menjelang 1 April 2014, Kris dan Lissane keluar dari rumah dengan menaiki teksi untuk pergi mendaki di sekitar kawasan yang dinamakan La Pianista. Menurut keterangan daripada pemandu teksi yang pada kemudiannya memberitahu pihak berkuasa bahawa dia telah menurunkan Kris dan Lissane di tempat permulaan pendakian pada sekitar jam 1.30 petang. Walau bagaimanapun, bukti pada kamera yang ditemui menunjukkan bahawa dua rakan karib itu tiba di lokasi dua jam lebih awal.

Puncak La Pianista

    Jadi sewaktu aktiviti pendakian itu, Kris dan Lissane ada membawa beg galas yang berisi sekeping pasport, kamera digital model Canon Powershot SX270, telefon jenis Iphone serta Samsung Galaxy, botol minuman, dan sejumlah wang dalam anggaran $80. Kris dan Lissane kemudian berjaya tiba di puncak pendakian pada jam 1.00 petang. Pada waktu sebelumnya, penduduk tempatan di kawasan situ sempat memberi peringatan kepada dua rakan karib itu untuk tidak mendaki mengikut sesuka hati mereka. Satu peringatan yang bagaimanapun telah diendahkan oleh Kris dan Lissane.

    Selepas waktu malam kian menjelma, cuma anjing yang pada sebelum itu keluar untuk menemani Kris dan Lissane pergi mendaki saja yang telah pulang ke rumah. Sementara itu, Kris dan Lissane sendiri pula langsung tidak muncul-muncul. Ini termasuklah pada keesokan harinya di mana mereka berdua telah terlepas temujanji dengan seorang pemandu pelancong tempatan. Disebabkan berasa bimbang dengan kehilangan Kris dan Lissane, maka keluarga angkat tersebut pergi membuat laporan polis. 

    Pihak berkuasa telah melakukan operasi pencarian mangsa secara besar-besaran dengan bantuan para sukarelawan, penduduk tempatan dan termasuk ibu bapa Kris serta Lissane yang tiba di Panama pada 6 April. Namun selepas minggu demi minggu berlaku, masih tiada sebarang petunjuk yang berjaya ditemui.

    10 minggu kemudian, seorang penduduk wanita tempatan telah menemui beg galas milik Lissane dalam keadaan kering dan bersih di sebuah kawasan sawah padi yang berhampiran sebatang sungai dengan jaraknya bersamaan 8 kilometer dari puncak La Pianista. Wanita yang menemui beg tersebut begitu yakin bahawa beg galas itu tiada berada di situ pada sehari sebelumnya. Jika difikirkan secara logik, adalah sesuatu yang mustahil beg itu boleh dalam keadaan bersih sedangkan kawasan di sekelilingnya adalah hutan dan sungai. Lebih-lebih lagi apabila pada beberapa minggu sebelumnya kawasan situ telah dilanda hujan lebat. Perkara ini sekaligus menguatkan lagi dakwaan bahawa ada seseorang yang meletakkan beg Lissane di kawasan tersebut. 

    Berdasarkan pemeriksaan, beg galas itu mengandungi 2 helai bra, 2 telefon pintar, cermin mata, botol minuman kosong, kamera digital, pasport Lisanne, wang tunai dan kad insurans perubatan. Meskipun begitu banyak jumlah cap cari asing yang telah ditemui pada barang bukti-bukti tersebut namun tiada satu pun yang berjaya membantu terhadap perkembangan siasatan kes.

    Barang bukti telefon pintar dan kamera digital sudah semestinya akan menjadi fokus utama oleh para penyiasat. Hasil pemeriksaan mendapati telefon pintar mangsa masih lagi aktif dalam tempoh 10 hari pertama kehilangan mereka. Sepanjang tempoh tersebut, terdapat 77 percubaan untuk menghubungi pihak polis dengan mendail nombor kecemasan iaitu 112 untuk talian Belanda dan 911 pula talian Panama. Ketiadaan isyarat telah menyebabkan semua panggilan itu menemui kegagalan dengan fakta satu panggilan berjaya dibuat namun kembali terputus hanya selepas dua saat. Pada masa sama, terdapat juga usaha untuk menyahkunci telefon Kris dengan memasukkan nombor pin yang salah secara berulang kali. Selepas 11 April, telefon pintar Kris dan Lissane tidak lagi berfungsi akibat kehabisan bateri.

    Beralih pula kepada kamera. Sebanyak 133 keping foto telah disimpan pada kamera itu dengan foto pertama yang diambil oleh Kris dan Lissane adalah pada 1 April iaitu ketika mereka mula keluar untuk melakukan pendakian. Namun keanehan sebenar adalah menerusi 90 foto yang diambil pada malam 8 April iaitu dari jam 1.00 pagi hingga 4 pagi. Foto-foto aneh yang diambil menunjukkan keadaan gelap gelita dan foto juga darah pada bahagian rambut Kris. Biarpun begitu banyak teori tentang apa yang berlaku waktu itu, masih sukar untuk diperjelaskan punca sebenar mengapa Kris dan Lissane mengambil foto sedemikian rupa. Harus diingatkan juga pada waktu tersebut mereka berdua sudah berada di dalam hutan itu selama seminggu.

    Hinggalah 19 Jun 2014, tulang milik Kris dan Lissane telah ditemui di sebuah kawasan yang tidak jauh dari sungai. Ini termasuklah penemuan bahagian kaki kiri Lissane yang masih melekat di dalam kasut butnya dan juga tulang pelvis Kris. Berkenaan kaki kiri Lissane itu, pasukan forensik mendapati potongan tulangnya adalah dalam keadaan bersih tanpa sebarang kesan darah. Tiada juga tanda-tanda tembakan, gigitan, dipijak mahupun dicakar.

    Jadi, apa sebenarnya yang berlaku kepada Kris dan Lissane? Hingga pada hari ini, pihak berkuasa Panama mahupun Belanda masih lagi gagal untuk menentukan konklusi sebenar kes. Bagaimanapun kecenderungan dalam kes ini dilihat lebih ke arah berpunca daripada kemalangan. Jika dinilai dari segi luaran, kematian Kris dan Lissane sebenarnya adalah kes kematian biasa. Gambaran mudah, mereka berdua yang terjatuh dari tempat tinggi telah mengalami kecederaan parah dan seterusnya berada dalam keadaan nyawa-nyawa ikan untuk meneruskan hidup. Namun bila difikir semula tentang beg galas yang bersih itu, sukar untuk memperincikan keadaan sedemikian. Jika benar ada unsur jenayah sekalipun, mengapa barang bukti yang penting ditinggalkan begitu sahaja.

    Sebenarnya banyak lagi persoalan yang timbul. Antaranya adalah mengapa tiada satu pun cap jari yang ditemui berjaya untuk dikenalpasti? Mengapa tiada gambar anjing sedangkan anjing itu didakwa keluar bersama Kris dan Lissane? Bagaimana mereka berdua boleh sesat? Mengapa Kris dan Lissane bersedaya upaya untuk menghubungi talian kecemasan berkali-kali namun tiada satu rekod pun untuk berhubung dengan anggota keluarga mereka? Paling tidak pun, cubaan untuk menghantar teks mesej atau membuat ucapan perpisahan dalam bentuk rakaman video?

Catat Ulasan for "MISTERI KEMATIAN DUA PENDAKI WANITA : Kris Kemmers dan Lissane Froon"