Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

MISTERI KEMATIAN KELUARGA JAMISON


Keluarga Jamison

    Pada 8 Oktober 2009, pasangan suami isteri iaitu Bobby Dale Jamison dan Sherilynn Leighann Jamison serta anak perempuan mereka iaitu Madyson Stormy Star Jamison telah pergi melawat ke sebuah kawasan tanah berkeluasan 40 ekar yang terletak di sekitar kawasan Red Oak, Oklahama dengan menaiki trak. Bobby dan isterinya dikatakan dalam fasa terakhir untuk memuktamadkan keputusan pembelian tanah di kawasan tersebut.

    Bagaimanapun, lapan hari berikutnya tiada sebarang perkhabaran berita dari keluarga Jamison. Mereka gagal dikesan sama sekali. Disebabkan itu, anggota keluarga mereka yang berasa bimbang telah membuat laporan polis. 

    Operasi pencarian mangsa telah dijalankan dengan turut dianggotai oleh ratusan sukarelawan dan anggota penguat kuasa. Trak keluarga Jamison akhirnya berjaya ditemui tersadai di tepi jalan. Berdasarkan pencarian dalam trak tersebut, anjing belaan mangsa ditemui dalam keadaan kelaparan. Mangsa juga meninggalkan beberapa barangan peribadi yang penting  seperti duit, kad pengenalan, sistem GPS, telefon bimbit dan wang tunai berjumlah $32 000. 


    Penemuan barangan yang menimbulkan rasa curiga itu telah menggesa seorang Sheriff yang bernama Sheriff Israel Beauchamp untuk mengarahkan skala pencarian mangsa diperluaskan dengan tambahan khidmat puluhan ekor anjing pengesan. Walau bagaimanapun, operasi pencarian itu hanya sia-sia selepas semua mangsa tetap gagal untuk ditemui.

    Pada 15 November 2013 iaitu selepas empat tahun kejadian, dua orang lelaki pemburu rusa telah menemui dua rangka orang dewasa dan satu lagi rangka kanak-kanak pada kira-kira 2.7 batu dari tempat trak keluarga Jamison ditemui. Hinggalah 3 Julai 2014, barulah identiti rangka-rangka yang ditemui tersebut disahkan sebagai Bobby, Sherilynn dan Madyson. Punca kematian mereka tidak dapat dikenal pasti kerana mayat yang telah pun tinggal menjadi rangka. Hal ini nyata menimbulkan seribu satu persoalan tentang peristiwa sebenar yang telah menimpa mereka.

    Terdapat pelbagai spekulasi yang melanda kes pembunuhan keluarga Jamison ini. Antaranya adalah  disebabkan supremasi. Ini kerana penemuan sebuah botol ubat  ditemui dalam trak keluarga Jamison sekaligus membawa kepada siasatan terhadap seorang lelaki yang dilaporkan pernah menyewa bilik di kediaman Bobby. Berdasarkan siasatan mendapati lelaki itu pernah mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman kepada keluarga Jamison hingga memaksa Sherilyn mengacu pistol kepadanya. Namun, lelaki yang dikatakan mempunyai motif dendam itu disingkirkan sebagai suspek kerana dia mempunyai alibi kukuh sewaktu hari kejadian.

    Ibu Sherilynn ada mendakwa bahawa Bobby, Sherilynn dan Madyson telah menjadi mangsa korban kultus. Lebih-lebih lagi kitab  ajaran syaitan telah ditemui di dalam rumah mereka.

    Hubungan antara Bobby dan bapanya dikatakan sangat keruh. Puncanya adalah kerana perebutan harta dan wang. Bahkan bapa Bobby dilaporkan telah beberapa kali mengugut serta mengancam nyawa keluarga anaknya itu. Meskipun bapa Bobby mempunyai alibi kukuh pada waktu kejadian, terdapat ura-ura yang mengatakan dia menggunakan pengaruh hubungannya dengan kumpulan Mexican Mafia untuk membunuh Bobby. Hakikatnya, bapa Bobby tidak pernah disenaraikan sebagai suspek utama dalam kes kematian keluarga Jamison.

    Berkemungkinan besar juga Bobby dan isterinya telah terlibat dalam urusan jual beli dadah jenis metamfetamin. Malah, berdasarkan pemeriksaan pihak polis menerusi kamera pengawasan di rumah Bobby mendapati gerak-geri Bobby dan Sherilynn dalam keadaan yang mencurigakan. Walau bagaimanapun, tiada sebarang kesan penggunaan dadah ditemui di rumah mereka. Anggota keluarga dan rakan-rakan sekeliling menafikan sepenuhnya tuduhan bahawa Bobby dan Sherilyn adalah penagih dadah tegar.

    Bobby dan Sherilyn didakwa ada mengalami masalah kemurungan yang melampau. Lebih-lebih lagi Sherilyn yang menderita penyakit gangguan bipolar. Sherilyn berkemungkinan telah menembak mati Bobby dan Madyson terlebih dahulu sebelum akhirnya menembak diri sendiri. Teori ini tercetus selepas pihak polis menemui surat yang ditulis oleh Sherilyn sendiri dalam trak. Isi kandungan dalam surat tersebut jelas menyatakan bahawa Sherilyn tidak lagi memerlukan anggota keluarga di sisinya.

    Menurut cerita seorang paderi yang bernama Gary Brandon, rumah keluarga Jamison telah dikuasai oleh 'semangat jahat.' Kata Gary lagi, Bobby sendiri pernah meminta kitab syaitan dan peluru khas untuk mengusir semangat jahat tersebut. Lagipun memang ada sebuah kitab yang dipercayai sebagai kitab sihir  ditemui di dalam rumah Bobby. Lagi aneh, pihak polis menemui tulisan yang menyeramkan pada kontena di kediaman Bobby yang bertulis, 

     “3 cats killed to date buy people in this area … Witches don’t like there black cat killed (sic)”. 

    Tidak mustahil juga kehilangan dan kematian keluarga Jamison adalah rekaan semata-mata kerana mereka berlindung dengan Program Perlindungan Saksi. Ini berikutan Bobby dan Sherilyn sebenarnya adalah pengintip yang ditugaskan untuk mengintip aktiviti pengedaran dadah di sekitar kawasan mereka.


    Menerusi pemeriksaan galeri dalam telefon bimbit Bobby, terdapat sekeping foto Madyson yang jelas sedang dalam ketakutan. Foto itu dipercayai diambil oleh penculik selepas Bobby dan Sherilyn dibunuh. Berkemungkinan besar, penculik pada asalnya hanya ingin menculik Madyson. Namun, pelan penculik telah gagal dan keadaan memaksa mereka untuk membunuh Madyson bersama ibu bapanya sekali.

    Dalam kes keluarga Jamison ini agak sukar untuk menentukan punca sebenar kematian mereka memandangkan teori yang datang dari pelbagai sudut dengan satu kemungkinan. Jadi, sebarang kebarangkalian untuk melihat kes ini diselesaikan adalah sangat rendah. Mungkin juga tergantung untuk selama-lamanya.

Catat Ulasan for "MISTERI KEMATIAN KELUARGA JAMISON"