Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH TANIA HEAD : Penipu Tragedi Serangan 11 September


Youtube

    Pada 11 September 2001, satu dunia dikejutkan dengan kejadian runtuhan bangunan berkembar Pusat Dagangan Dunia (WTC) di Amerika Syarikat akibat serangan rempuhan pesawat oleh pengganas. Serangan tersebut telah mengakibatkan kehilangan ribuan nyawa manusia yang tidak bersalah. Maklumat lebih terperinci tentang kejadian tersebut, anda boleh layari sendiri samada di laman sesawang Youtube atau Google. 

   Artikel kali ini sebenarnya adalah tentang seorang wanita bernama Tania Head iaitu salah seorang mangsa berusia 28 tahun yang terselamat dalam serangan dahsyat tersebut.


    Nama Tania mula menjadi tumpuan selepas berkongsi pengalamannya secara umum bagaimana dia boleh terselamat pada waktu kejadian. Menerusi perkongsiannnya itu, Tania telah berjaya meraih simpati dan sokongan daripada pelbagai pihak. 

    Menurut cerita Tania, pada waktu kejadian dia berada di tingkat 78 menara bahagian selatan iaitu betul-betul pada tempat rempuhan pesawat Airflight United Airlines Flight 175. Nasib menyebelahi Tania apabila dia termasuk antara sembilan belas orang mangsa yang terselamat pada bahagian tersebut. Selepas itu, Tania yang sudah pun nyawa-nyawa ikan telah diselamatkan oleh Welles Crowther si hero yang dijolok dengan gelaran The Man in the Red Bandana. Selain itu, Tania mendakwa ada menerima sebentuk cincin perkahwinan daripada seorang lelaki yang sudah pun nazak. Kiranya ia adalah satu amanah kepada Tania untuk menyerahkan cincin itu kepada isteri lelaki tersebut. Seterusnya, Tania yang mengalami kecederaan pada bahagian lengan telah dikejarkan ke hospital untuk rawatan lanjut. Hari keenam di hospital, barulah Tania mendapat satu perkhabaran menyedihkan iaitu suaminya bernama Dave yang berada di menara bahagian utara WTC turut terbunuh dalam serangan pengganas itu. 

    Cukup menyedihkan bukan cerita Tania? Kecekalan dan ketabahan ditampilkan Tania menjadi inspirasi mangsa-mangsa yang mengalami trauma berpanjangan kesan daripada serangan WTC. Dalam sekelip mata, nama Tania yang semakin mendapat perhatian telah diangkat menjadi Presiden World Trade Center Survivors' Network. Dia juga menerima banyak undangan daripada pelbagai pihak untuk berucap serta berkongsi pengalaman tragisnya itu. Antara penghormatan tertinggi yang diterima oleh Tania termasuklah pernah mengiringi Michael  Bloomberg (Datuk Bandar New York), Rudy Guliani (bekas Datuk Bandar New York) dan George Pataki (Gabenor New York) meninjau keadaan sekeliling bangunan WTC. 

    Lama-kelamaan, Tania semakin menonjol. Namun, semakin dia menonjol semakin timbul keraguan ekoran ceritanya sebelum ini tiba-tiba menjadi tidak konsisten.  Sebagai contoh, jelas terdapat kekeliruan dengan identiti Dave yang dikatakan sebagai suami Tania kerana adakala Tania memberitahu bahawa Dave adalah tunangnya. Bahkan banyak ceritanya juga ditokok tambah, jauh berbeza sekali dengan versi asal. Disebabkan itu, pihak akhbar The New York Times mengambil langkah untuk menyemak dengan terperinci setiap butiran cerita Tania. 

    Menerusi pendedahan The New York Times, penipuan Tania akhirnya terbongkar jua. Identiti Tania Head yang sebenar disahkan sebagai Alicia Esteve Head, seorang warganegara Sepanyol. Segala cerita tentang pekerjaannya di WTC,  Dave, amanat cincin dan pelbagai lagi cerita adalah pembohongan semata-mata. Semuanya tiada berekod dan tidak pernah berlaku. Alicia hanya menjejakkan kaki ke Amerika Syarikat pada tahun 2003 iaitu hanya dua tahun selepas kejadian. Jadi, ini bermaksud Alicia tidak pernah pun berada di bangunan WTC pada 9 September 2001. Sebaliknya, dia berada di Barcelona, Sepanyol. 

    Selepas rahsia penipuannya terbongkar, Alicia telah dilucutkan jawatan sebagai Presiden World Trade Center Survivors' Network. Dia juga menolak sebarang temuramah dan mengambil keputusan untuk meninggalkan New York. Nasib malang Alicia berterusan pada tahun 2012 di Sepanyol apabila dipecat sejurus selepas penipuannya berhubung tragedi WTC diketahui oleh majikannya. 
    
    Penipuan Alicia itu ternyata memalukan dirinya sendiri. Tidak dapat dipastikan di mana dia berada sekarang. Mengikut laporan, Alicia tidak pernah menyonglap wang sumbang yang diterimanya, tetapi telah mendermakan wang tersebut kepada mangsa-mangsa yang memerlukan. Di sini jelas penipuan yang dilakukan oleh Alicia bukan bermotifkan wang, sebaliknya ingin mendapatkan perhatian yang mungkin dia tidak pernah kecapi.

Welles Crowther

    Berkenaan dengan Welles Crowther yang dijolok  sebagai The Man in The Red Banana, dia merupakan salah seorang wira sukarelawan yang telah menyelamatkan 18 orang mangsa dalam bangunan WTC. Bagaimanapun, Welles pada akhirnya terkorban akibat runtuhan bangunan tersebut. 

Catat Ulasan for "KISAH TANIA HEAD : Penipu Tragedi Serangan 11 September"