KISAH PATUNG ANNABELLE : Benar Berhantu atau Sekadar Kisah Dongeng?
Rata-rata peminat filem seram tahu bahawa filem seram
Annabelle dikatakan berdasarkan kisah benar yang diadaptasi dariapada kisah
patung Annabelle. Walau bagaimanapun, cuma ada satu persoalan. Adakah kisah Annabelle
itu benar-benar berlaku atau sekadar satu cerita dongeng belaka.
Sebenarnya kisah asal-usul patung Annabelle ini mempunyai
banyak versi. Versi yang paling popular adalah tentang seorang jururawat
pelatih wanita bernama Donna yang tinggal di sebuah apartment bersama dengan
seorang rakannya iaitu Angie. Diringkaskan cerita yakni pada satu hari, Donna
telah dihadiahkan oleh ibunya sebuah patung sempena hari jadinya yang ke-28.
Pada awalnya, Donna berasa begitu gembira serta teruja dengan hadiah patung tersebut.
Namun, semuanya berubah apabila Donna dan Angie mula menyedari ada sesuatu yang
menyeramkan tentang patung itu. Patung tersebut dilihat mula bergerak dengan
sendiri. Sekejap di situ, sekejap di sini. Satu demi satu peristiwa aneh terus
berlaku. Tidak lama kemudian, wujud sebuah nota misteri bertulis "Help Us" yang tidak diketahui
asal-usulnya. Lagi menyeramkan, darah juga mula menitik daripada badan patung
itu.
Satu lagi watak adalah Lou yang merupakan rakan lelaki kepada Donna dan Angie. Dia mendakwa bahawa patung tersebut sememangnya berhantu. Mereka bertiga kemudian mendapat tahu bahawa pemilik patung itu pada sebelumnya adalah milik seorang budak perempuan yang bernama Annabelle. Annabelle yang mati dibunuh telah meninggalkan satu sumpahan kepada patungnya. Patung Annabelle dikatakan hanya ingin berasa selamat di sisi tuan barunya. Selepas mengetahui cerita sebenar, tiga sekawan berkenaan tetap meneruskan niat mereka menyimpan patung Anabelle. Maka bermulalah episod gangguan daripada Annabelle.
Lou mendakwa kerap kali mengalami mimpi ngeri. Hinggalah
satu hari semasa ketiadaan Donna di rumah, Angie telah terdengar bunyi derapan
kaki di kawasan biliknya. Sejurus saja pintu bilik dibuka oleh Lou, dia
mendapati tiada sesiapa pun yang berada di situ. Cuma ada patung Anabelle yang
berada di lantai. Lou seterusnya diserang hingga mengalami kesan calar pada
tubuh badannya. Mereka berdua yang berasa cemas dan takut dengan keadaan
tersebut terus bertindak menghubungi seorang paderi. Paderi itu pula telah
menghubungi penyiasat paranormal terkenal, The Warrens ( Ed dan Lorraine
Warren).
Selepas The Warrens menemu bual Donna, Angie dan Lou, mereka
membuat kesimpulan bahawa patung Annabelle itu bukannya dirasuk tetapi telah
dimanipulasi oleh satu semangat yang sangat jahat. Menurut The Warrens, roh
cuma merasuk manusia dan bukannya benda yang tidak hidup seperti rumah mahupun
patung. Inilah yang berlaku dalam kes Annabelle. Semangat itu memanipulasi
patung, kemudian mencipta satu ilusi demi membuktikan kewujudannya. Selain itu,
semangat jahat pada patung tersebut akan terus mencari tubuh badan manusia
untuk dijadikan sebagai mangsa rasukannya. Bagi mengelakkan mana-mana penghuni
apartment menjadi mangsa Annabelle, The Warrens kemudian menjalankan upacara
pengusiran hantu.
Patung Annabelle akhirnya disimpan di dalam sebuah peti kaca di muzium The Warrens. Di luar peti kaca itu, terdapat kertas label yang bertulis "Warning, positively do not open". Annabelle bagaimanapun masih lagi mampu untuk menggerakkan kuasa jahatnya. Dalam satu peristiwa lain, ada sepasang kekasih yang nakal telah melawat ke muzium tersebut sebelum melakukan satu tindakan terlarang. Si lelaki bertindak mengetuk kaca sambil menghina Annabelle. Padahnya, lelaki itu meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya semasa dia sedang perjalanan pulang ke rumah.
Adakah kisah Annabelle ini palsu? Kebarangkaliannya adalah
sangat tinggi. The Warrens sememangnya cukup dikenali sebagai pasangan yang
cukup berdedikasi dan sentiasa berpegang teguh dengan pendirian mereka terhadap
kejadian paranormal. Harus diingatkan, kebanyakan bukti serta kenyataan
terhadap kes yang dikendali oleh mereka sangat diragui. Ini termasuklah
bukti-bukti palsu dalam kes berprofil tinggi seperti Amityville. Tentang
Donna, Angie dan Lou, mereka bertiga tidak pernah tampil untuk memberikan
sebarang kenyataan mengenai Annabelle. Semua cerita Annabelle adalah daripada
mulut The Warrens. Identiti si lelaki yang mati akibat kemalangan motorsikal
pula tidak pernah dapat disahihkan.
Ada pihak yang mendakwa bahawa kisah Annabelle ini sebenarnya adalah inspirasi daripada siri Twilight Zone tahun 1963 menerusi episod berjudul "Living Doll". Dalam episod tersebut, seorang ibu bernama Annabelle telah menghadiahkan patung kepada anak perempuannya. Sebagai penutup ringkas, walaupun sesetengah pihak menganggap kisah Annabelle hanyalah sekadar dongeng tetapi memang tidak dapat dinafikan bahawa ianya adalah sebuah kisah yang benar-benar menakutkan.
Catat Ulasan for "KISAH PATUNG ANNABELLE : Benar Berhantu atau Sekadar Kisah Dongeng?"