Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

ABDUCTION IN PLAIN SIGHT : Kisah Penculikan Jan Broberg



    Sebuah dokumentari di Netflix yang betul-betul mengganggu jiwa. Ia mengisahkan tentang seorang budak perempuan yang telah diculik oleh jiran lelaki keluarganya sendiri yang sosiopatik. Lagi malang, budak perempuan itu diculik sebanyak dua kali iaitu pada usianya 12 dan 14 tahun.

Keluarga Broberg

    Kisah dimulakan dengan pengenalan kepada keluarga Broberg. Si bapa namanya Bob manakala si ibu pula Mary Ann. Mereka berdua mempunyai tiga orang anak iaitu Jan, Karen dan Susan. Kehidupan keluarga Broberg digambarkan sebagai sebuah keluarga yang stabil dan bahagia. 

    Diringkaskan cerita, keluarga Broberg telah berkenalan dengan seorang lelaki berkarisma yang bernama Robert Berchtold. Berchtold yang berusia sekitar 40an ketika itu sudah pun berkahwin dan bergelar bapa kepada lima orang anak. Pada masa yang singkat, hubungan tersebut mulai menjadi rapat dengan Berchtold sering berkunjung ke rumah Broberg. Tanpa Bob dan Mary Ann sedari, niat Berchtold sebenarnya cuma ada satu. Tak lain tak bukan kerana Jan. Berchtold begitu obses dengan Jan yang masih kecil kerana beranggapan mereka berdua memang sudah ditakdirkan untuk bersama.

    Disebabkan sikap baik serta penyayang yang ditonjolkan oleh Berchtold, Jan serta adik-adiknya sudah menganggap Berchtold sebagai bapa kedua mereka. Bahkan mereka turut memanggil Berchtold sebagai ayah atau "B". Cumanya, Jan diberikan perhatian yang lebih oleh Berchtold. Dia disayangi bagai menatang minyak yang penuh. Sampai satu tahap, Berchtold dibenarkan oleh Bob dan Mary Ann untuk tidur sekatil dengan Jan. Alasan Berchtold untuk tidur bersama Jan adalah sekadar terapi. Tidur sekatil tanpa sebarang pemantauan dilakukan oleh Bob mahupun Mary Ann. 

Berchtold dan anak keluarga Broberg

    Dari awal lagi, Berchtold sebenarnya sudah berjaya "mengawal" keluarga Broberg. Dia tahu setiap kelemahan yang ada pada Bob dan Mary Ann. Jadi, Berchtold menggunakan kesempatan tersebut dalam usahanya untuk mendapatkan Jan. Berchtold begitu pandai berkata-kata hinggakan Mary Ann terpedaya dengan pujian yang diberikan kepadanya. Terpedayanya sampai ke tahap mereka berdua menjalinkan hubungan secara seksual. Begitu juga dengan Bob yang melakukan aksi "handjob" bersama Berchtold. Semuanya gara-gara helah cerita si Berchtold. Hubungan seksual itu adalah salah satu taktik Berchtold untuk mengenakan Bob dan Mary Ann selepas berjaya menculik Jan kelak.

    Penculikan pertama Jan berlaku pada tahun 1974 di mana ketika usianya baru mencecah 12 tahun. Hari kejadian, Berchtold telah membawa Jan keluar untuk pergi menunggang kuda selepas mendapat keizinan daripada Mary Ann sendiri. Satu keputusan yang pasti dikesali oleh Mary Ann untuk seumur hidupnya.

    Jan kemudian telah diberikan dadah oleh Berchtold. Selepas terbangun, dia percaya dirinya diculik oleh makhluk asing. Pada masa sama, satu audio suara makhluk asing telah memberitahu Jan untuk menjalankan satu misi. Jan dikehendaki mempunyai anak dengan seorang lelaki pada usianya 16 tahun kelak demi menyelamatkan dunia. Gagal berbuat sedemikian, misi tersebut akan beralih kepada adik Jan. Lelaki yang dimaksudkan oleh makhluk asing itu adalah Berchtold yang kononnya turut diculik. Pada hakikat sebenarnya, Jan berada di dalam kereta (motorhome) milik Berchtold. Audio suara "makhluk asing" itu pula adalah pita rakaman yang dihasilkan oleh Berchtold.

    Sementara itu, keluarga keluarga Broberg tidak melaporkan kehilangan Jan pada lima hari pertama penculikan kerana enggan menimbulkan kemarahan isteri Berchtold.

    Sepanjang penculikannya, Jan yang naif dirogol oleh Berchtold berkali-kali. Dirogol atas kerelaan sendiri dek kerana "misi makhluk asing". Sebulan selepas penculikan, pihak FBI berjaya jua menjejaki Berchtold dan Jan di Mazatlan, Mexico. Maka punahlah harapan Berchtold untuk mengahwini Jan secara sah di kawasan tersebut. Meskipun berjaya diselamatkan, Jan masih lagi beranggapan bahawa cerita misi makhluk asing itu adalah benar belaka. 

  Berchtold ditahan. Jadi, adakah penamat untuk riwayat lelaki pedofilia ini? Tidak sama sekali. Bob dan Mary Ann terperangkap dengan helah Berchtold. Mereka berdua diugut oleh Berchtold untuk menandatangi satu keterangan bersumpah bahawa apa yang berlaku ke atas Jan bukanlah satu penculikan. Bob dan Mary Ann terpaksa akur dengan perkara tersebut kerana risau hubungan seksual mereka bersama Berchtold sebelum ini akan diketahui umum.

     Berchtold bagaimanapun yang tetap didakwa pihak berkuasa ketika itu telah dijatuhkan hukuman penjara 5 tahun. Tanpa diduga, Berchtold kembali dibebaskan hanya selepas 45 hari dipenjarakan.

    Keluarga Broberg telah diberikan amaran oleh pihak FBI untuk tidak berhubung dengan Broberg. Namun, amaran ini tidak diendahkan sama sekali oleh Mary Ann. Dia tetap menjalinkan hubungan dengan Berchtold. Hubungan yang sama seperti sebelumnya iaitu sampai ke adegan ranjang. Begitu juga Jan yang semakin mencintai Berchtold masih lagi bertekad untuk menghabiskan misinya untuk menyelamatkan dunia sebelum ini. Lagi parah, Jan tetap diberikan keizinan oleh ibu bapanya itu untuk pergi berjumpa dengan Berchtold, si pujaan hati. Semuanya tentang seks. Boleh bayangkan situasi itu? 

    Bob yang menyedari kecurangan Mary Ann kemudian telah bertindak untuk memfailkan penceraian. Jodoh mereka berdua bagaimanapun berpanjangan selepas Mary Ann menyedari bahawa mencintai Berchtold adalah satu kesilapan terbesar dalam hidupnya. Mary Ann enggan bercerai, lalu membina satu kehidupan baru bersama Bob.

    Jan sekali lagi hilang pada bulan Ogos 1976 sewaktu usianya 14 tahun. Keluarga Broberg pada  mulanya enggan melaporkan kehilangan Jan kerana beranggapan anak perempuan mereka itu melarikan diri. Lagipun Jan ada meninggalkan sekeping nota yang bertulis,

“Dear Bob and Mary Ann, you won’t let me do what’s right, so I’ll do what’s wrong. I’m leaving without B, and do not plan on coming back until you accept me as me, I cannot accept your religion or your screwed up morals. I just want to be me and have ‘B.’ Please, before all of us are destroyed, let me go.”

    Hanya selepas dua minggu kemudian, barulah keluarga Broberg menghubungi polis. Sudah pasti Berchtold disyaki sebagai suspek utama kejadian. Biarpun Berchtold menafikan sebarang penglibatan, pihak berkuasa FBI tetap mengawasinya sepanjang masa. Usaha pihak FBI nyata tidak sia-sia. Tiga bulan kemudian, mereka akhirnya berjaya mengesan lokasi Jan yang tinggal di sebuah sekolah Katolik perempuan yang terletak di California. Rupa-rupanya Jan dihantar ke sekolah tersebut oleh Berchtold yang menyamar sebagai ejen CIA. Berchtold ditangkap buat kali kedua dan seterusnya dihantar ke hospital sakit jiwa. Bagaimanapun, dia kembali dibebaskan pada enam bulan berikutnya.

    Jan hanya menyedari bahawa cerita misi makhluk asing itu adalah pembohongan semata-mata sewaktu usianya mencecah 16 tahun. Kisahnya bermula selepas Jan berkenalan dengan seorang lelaki yang sebaya dengannya semasa menyertai kem musim panas. Jan yang menjadi panik selepas menerima hadiah ais krim daripada lelaki tersebut telah tergesa-gesa menghubungi ibunya dengan serta merta kerana berasa khuatir akan berlaku insiden yang tidak diingini. Mengikut salah satu syarat misi makhluk asing tersebut, Jan dilarang sama sekali untuk bercakap dengan mana-mana lelaki. Jika tidak, adiknya akan menjadi buta. Namun selepas diberitahu ibunya tiada apa yang perlu dirisaukan di rumah, barulah Jan tahu helah sebenar Berchtold selama ini.

    Berdekad kemudian, Jan dan ibunya mempromosikan buku mereka berdua yang berjudul Stolen Innocence : The Jan Broberg Story tentang betapa bahayanya pedofilia. Berchtold yang tetap tidak berpuas hati sering cuba mengganggu acara-acara promosi buku tersebut dengan mendakwa cerita Jan dan Mary Ann itu adalah pembohongan semata-mata. Jan pada sebelumnya berjaya mendapat perintah perlindungan daripada mahkamah.

    Dalam satu acara tahun 2005, Berchtold akhirnya ditahan oleh pihak keselamatan selepas dia cuba untuk menyerang Jan. Ekoran kejadian tersebut, Berchtold yang didakwa telah dijatuhkan hukuman penjara. Namun belum sempat dipenjarakan, Berchtold membunuh diri dengan menelan ubat secara dos berlebihan.

Jan Broberg (IMDb)

Catat Ulasan for "ABDUCTION IN PLAIN SIGHT : Kisah Penculikan Jan Broberg"