Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

MISTERI KEMATIAN ELISA LAM


Elisa Lam : Facebook/LAPD

    Pada 19 Februari 2013, mayat seorang pelajar Universiti of British Columbia telah dijumpai di dalam sebuah tangki air yang terletak di atas bangunan Hotel Cecil, Los Angeles. Mayat yang dikenal pasti sebagai Elisa Lam itu dijumpai oleh pekerja hotel yang kebetulan pergi memeriksa tangki air selepas mereka mendapat aduan daripada tetamu hotel mengenai masalah bekalan air. 

    Sekitar bulan Januari 2013, Elisa telah memulakan siri penjelajahannya yang dinamakan sebagai "West Coast Tour" di Southern California, Amerika Syarikat. Pada mulanya, ibu bapa Elisa berasa berat hati untuk melepaskan anak perempuan kesayangan mereka itu pergi. Namun, mereka berdua telah diyakinkan oleh Elisa bahawa tiada apa yang patut dirisaukan. 

    Rancangan asal Elisa adalah untuk menyinggah di San Diego, Los Angeles, Santa Cruz dan San Francisco. Bermula dengan percutian di San Diego, Elisa telah melawat zoo sambil memuat turun gambarnya di laman media sosial. Bahkan dia sempat untuk berkongsi pengalamannya itu pada laman blognya. 

    26 Januari 2013, Elisa kemudian menjejakkan kaki ke Los Angeles dan seterusnya mendaftar masuk penginapan di Hotel Cecil.

    Elisa sebenarnya mempunyai rekod kesihatan yang kurang baik. Dia yang pernah didiagnos mengidap penyakit gangguan bipolar serta mengalami kemurungan telah diberikan empat jenis ubat-ubatan iaitu Wellbutrin, Lamictal, Seroquel dan Effexor. Namun mengikut keterangan anggota keluarganya, Elisa tiada sebarang rekod melakukan percubaan untuk membunuh diri.

    Selepas lima hari bersiar-siar di sekitar Los Angeles, Elisa dijadualkan akan mendaftar keluar dari hotel bagi meneruskan perjalanan ke lokasi seterusnya iaitu Santa Cruz. Bagaimanapun pada hari kejadian, ibu bapa Elisa tidak menerima sebarang panggilan daripada anak perempuan mereka itu. Disebabkan berasa bimbang, ibu bapa Elisa kemudian membuat keputusan untuk terbang ke Los Angeles bagi melaporkan kehilangan Elisa kepada pihak polis.


    Menerusi dakwaan oleh beberapa kakitangan hotel, mereka mendakwa ada melihat Elisa  berjalan seorang diri pada waktu pagi hari kehilangannya. Begitu juga dengan penjelasan seorang pengurus kedai buku berhampiran yang disyaki antara individu terakhir melihat Elisa. Katanya, Elisa telah singgah ke kedai untuk membeli buku sebagai hadiah kepada keluarganya. 

    Usaha pencarian Elisa yang dijalankan oleh pihak polis bagaimanapun gagal membuahkan sebarang hasil. Malah, siasatan awal mendapati berkemungkinan besar tiada sebarang unsur jenayah. 

    Selepas seminggu berlalu tanpa sebarang petunjuk, kes kehilangan Elisa tiba-tiba telah menjadi tumpuan orang ramai serta mendapat liputan meluas daripada pihak media. Perkara ini berikutan satu rakaman video pengawasan hotel bertarikh 1 Februari 2003 yang telah ditayangkan oleh pihak polis. Menerusi rakaman tersebut, Elisa dilihat seolah-olah mengintai sesuatu dari dalam serta luar lif. Dia yang bersembunyi di satu sudut dilihat menekan butang lif berkali-kali dalam keadaan gelisah sambil memberikan isyarat tangan. Paling pelik, Elisa sempat lagi menari di koridor luar lif. Pintu lif juga terbuka dan tertutup sendiri dengan berkali-kali sebelum rakaman tersebut tamat.



    Selepas video itu disiarkan, pelbagai spekulasi telah timbul. Lebih-lebih lagi Hotel Cecil yang dikatakan kotor dengan rekod jenayah seperti kes pembunuhan dan bunuh diri. Beberapa teori terawal yang timbul dengan kematian Elisa adalah dia dikatakan berada di bawah pengaruh dadah, gangguan mental dan unsur kuasa ghaib. 

    Sewaktu pencarian Elisa masih lagi giat diperjalankan, pekerja hotel mula mendapat aduan daripada para tetamu tentang masalah bau busuk, air kotor dan tekanan air yang rendah di dalam bilik air mereka. Pekerja hotel yang kemudian pergi memeriksa tangki air atas bumbung bangunan hotel telah menemui mayat Elisa dalam keadaannya terapung pada permukaan air.

    Penemuan mayat Elisa itu ternyata mencetuskan lagi kontroversi. Berdasarkan laporan bedah siasat mendapati tiada sebarang kesan trauma, serangan seksual, penyalahgunaan dadah. Tiada juga tanda atau percubaan untuk membunuh diri. Punca utama kematian Elisa hanya disahkan sebagai mati lemas.

KTLA

    Meskipun kertas siasatan dihentikan, masih begitu banyak persoalan yang masih belum terjawab. Antaranya adalah tangki air berkenaan yang telah disangga pada blok simen. Tiada sebarang akses masuk memandangkan pintu tangki terlalu berat untuk dibuka. Maka adalah sesuatu yang agak mustahil untuk menutup penutup dari dalam tangki. Itu belum lagi diceritakan tentang kawalan akses ke bumbung hotel yang berkunci dengan siap dilengkapi sistem penggera. Jadi, jika benar Elisa membunuh diri, cuba fikirkan, bagaimana dia menjejakkan kaki ke atas bumbung hotel, lalu memasuki ke dalam tangki dan menutup penutup tangki dengan seorang diri?

    Video lif kekal menjadi subjek perdebatan kes. Apa yang menjadi persoalan, adakah segala pergerakan aneh Elisa semasa berada di dalam lif adalah disebabkan penyakit bipolarnya? Dari sudut lain, Elisa dilihat seolah-olah berinteraksi dengan seseorang yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar manusia. Boleh jadi kemungkinan juga Elisa dikejar oleh individu tertentu. Adakah wujudnya orang kedua atau orang ketiga dalam kes ini? Tidak mustahil video lif tersebut telah disunting sebelum penyiarannya kepada pihak umum memandangkan tanda masa yang agak kabur. Beberapa bahagian rakaman video dilihat bergerak secara perlahan dan hampir satu minit dengan tidak ketara dibuang pada pertengahan video.

    Lagi menghairankan, blog Elisa tetap aktif untuk beberapa bulan selepas kematiannya. Namun, ciri-ciri "Auto Posting" boleh menjadi jawapan kepada persoalan ini. Bagaimanapun, telefon Elisa tidak pernah dijumpai selepas kematiannya.

    Menyelusuri sejarah Hotel Cecil yang dibina seawal tahun 1920an ini telah menjadi pilihan ahli perniagaan serta orang ramai ketika itu memandangkan kadar harga sewaan yang berpatutan. Kebiasannya, ahli perniagaan akan menginap di hotel ini sekitar semalam hingga dua malam. Pada masa yang singkat, Hotel Cecil telah mengungguli persaingan perusahaan hotel. Bagaimanapun,  reputasi hotel Cecil mula tercalar selepas terjadinya beberapa kes pembunuhan dan bunuh diri. Fakta penting untuk mengatakan hotel ini pernah menjadi lokasi penginapan kegemaran beberapa orang pembunuh bersiri terkenal seperti Richard Ramirez dan Jack Underweger.

    Kisah Elisa Lam sebenarnya agak menyamai jalan cerita filem seram tahun 2005  berjudul Dark Water yang merupakan "remake" daripada filem Jepun tahun 2002 dengan  judul yang sama. Jalan ceritanya mengisahkan Dahlia selaku watak protagonis utama telah berpindah ke sebuah apartment bersama anaknya yang bernama Cecilia. Kedua-dua nama watak dalam filem ini adalah sangat releven. Black Dahlia adalah nama gelaran seorang wanita bernama Elizabeth (Black Dahlia Murder) yang telah ditemui mati dalam keadaan ngeri pada tahun 1947. Hingga kini, misteri pembunuhan Black Dahlia masih lagi gagal untuk diselesaikan. Khabar angin tersebar luas dengan dakwaan bahawa Black Dahlia pernah menginap di Hotel Cecil sejurus sebelum kematiannya. Nama Cecilia pula merujuk kepada nama hotel "Cecil". Selepas tinggal di dalam apartment tersebut, Dahlia telah mendapati kebocoran air hitam datangnya daripada siling bilik air sekaligus membongkar rahsia ngeri seorang wanita muda bernama Natasha Rimsky yang lemas di dalam tangki air. Pemilik bangunan apartment yang memang telah mengetahui tentang perkara ini enggan melakukan sebarang tindakan. Jadi adakah kematian Elisa Lam salah satu ritual yang pernah dicerminkan melalui filem Hollywood? Harus diingatkan, sangkaan ini sekadar teori. Persamaan antara jalan cerita filem Dark Water dan kisah misteri Elisa mungkin sekadar kebetulan semata-mata.

    Kematian Elisa Lam kekal menjadi misteri. Apa sebenarnya yang telah berlaku? Mengapa Elisa berkelakuan aneh semasa berada di dalam lif? Adakah kes ini ada kena mengena dengan aspek ritual? Wujudkah kejadian paranormal? Kenapa hotel Cecil kerap kali menjadi lubuk kematian? Paling pelik, mengapa pula pihak berkuasa enggan meneruskan siasatan? Memetik dari slogan filem Dark Water,

    "Some mysteries are not meant to be solved"

Catat Ulasan for "MISTERI KEMATIAN ELISA LAM"