Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

PEMBUNUHAN KAPAK DI VILISCA



    The Vilisca Axe Murders adalah kes pembunuhan yang berlaku antara 9 Jun 1912 hingga 10 Jun 1912 di sebuah kediaman yang terletak di bandar Vilisca, barat daya Iowa, Amerika Syarikat. Jumlah mangsa yang terkorban dalam kejadian kejam tersebut adalah seramai lapan orang dengan enam daripada mereka merupakan anggota sekeluarga. 

    Kesemua mayat mangsa yang ditemui di dalam bilik tidur didapati telah mengalami kecederaan yang serius pada bahagian kepala akibat dipukul serta ditetak dengan kapak berulang. Mereka yang terkorban adalah Josiah B. Moore (49 tahun), Sarah Montgomery (39 tahun), Herman Montgomery (11 tahun), Mary Katherine (10 tahun), Arthur Boyd (7 tahun), Paul Vernon (5 tahun), Lena Gerturde Stillinger ( 12 tahun) dan Ina May (8 tahun). Hingga ke hari ini, kes pembunuhan Vilisca masih kekal misteri ekoran identiti pembunuh sebenar yang masih lagi tidak dapat untuk dikenal pasti.

    Berbalik pada waktu hari kejadian iaitu pada pagi hari Ahad, Lena Gertrude Stillinger dan Ina May keluar dari rumah mereka untuk menghadiri acara di sebuah gereja sempena program Hari Kanak-Kanak yang dianjurkan oleh Sarah Moore. Semasa program itu sedang berlangsung, Katherine telah mengajak Lena dan Ina untuk bermalam di rumahnya. Lena dan Ina kemudian cuba meminta keizinan dengan menghubungi kedua ibu bapa mereka. Walau bagaimanapun, panggilan itu disahut oleh Blance iaitu kakak kepada Lena dan Ina ekoran ketiadaan ibu bapa mereka di rumah. Kata Blanche dalam telefon, dia akan memaklumkan hal tersebut kepada ibu bapa mereka pada kemudian. 

    Sebaik saja program Hari Kanak-Kanak itu tamat pada jam 9.30 malam, keluarga Moore, Lena dan Ina berjalan kaki menuju ke rumah Moore. Mereka sampai ke lokasi pada sekitar jam 9.45 hingga 10.00 malam.

    Keesokan paginya,  jiran keluarga Moore iaitu Mary Peckham berasa hairan kerana dia langsung tidak melihat Josiah dan anggota keluarganya melakukan rutin harian seperti yang mereka biasa lakukan. Mary kemudian pergi mengetuk pintu rumah keluarga Moore berkali-kali. Musykil tiada jawapan, Mary mencuba pula untuk membuka pintu itu namun gagal kerana pintu tersebut dikunci dari dalam.


    Disebabkan rasa curiga, Mary lekas bertindak menghubungi Ross Moore iaitu abang kepada Josiah. Joss yang menggunakan kunci pendua telah berjaya membuka pintu rumah masuk adiknya itu. Tanpa berlengah, Ross bergegas melangkah masuk ke dalam rumah sambil diekori oleh Mary. Sebaik saja pintu bilik tidur di ruang tamu  dibuka, mereka berasa terkejut apabila mendapati dua orang kanak-kanak tidak bernyawa sedang terbaring di atas tilam katil yang cadarnya dilumuri dengan darah. Ross berlari semula ke arah ruang tamu dan mengarahkan Mary untuk menghubungi pihak berkuasa Vilisca.

    Tidak lama kemudian, seorang bernama Sherif Hank Morton tiba di tempat kejadian. Berdasarkan pemeriksaan, enam lagi mayat telah ditemui di dalam bilik tidur tingkat atas rumah dengan mereka semua dipercayai telah ditetak semasa sedang tidur. 

    Menerusi kertas siasatan pihak  polis, waktu kematian mangsa dianggarkan berlaku pada waktu lewat malam. Dua puntung rokok yang ditemui di dalam loteng rumah memberi petunjuk bahawa pembunuh bersembunyi di situ sementara menunggu semua mangsanya tidur. Josiah dan Sarah diyakini menjadi mangsa yang terawal dibunuh. Josiah mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala akibat ditetak dengan kapak. Matanya juga dicungkil keluar. Pembunuh seterusnya menetak kepala Herman, Katherine, Boyd dan Paul hingga mati sebelum kembali semula ke bilik Josiah dan Sarah untuk memukul mereka berdua.

    Selepas kerjanya selesai di tingkat atas, barulah si pembunuh turun ke tingkat bawah untuk membunuh Lena dan Ina. Lena dipercayai merupakan satu-satunya mangsa yang berada dalam keadaan sedar ketikanya dibunuh. Dia terjaga dari tidur dan cuba melawan pembunuh. Perkara ini dibuktikan menerusi posisi mayat Lena yang berbaring secara melintang di atas katil. Gaun yang dipakai Lena juga ditarik hingga ke paras pinggang dan dia didapati tidak memakai pakaian dalam. Jadi, memang ada kemungkinan mencuba atau telah pun mencabul Lena.

    Selain itu, lampu minyak tanah ditemui di kaki katil Josiah. Kapak milik Josiah yang mnejadi sebagai senjata utama pembunuhan telah didapati berada dalam bilik tidur Lena dan Ina. Pembunuh disyaki sempat mengelap kesan darahnya yang melekat pada kapak itu. Kepingan bakon juga ada ditemui dengan beratnya yang dianggarkan seberat hampir satu kilogram. Ia dibungkus dengan tuala pinggan. Kepingan bakon kedua yang dijumpai dalam peti ais pula mempunyai saiz yang sama dengan bakon pertama yang dijumpai.

Dari kiri : Senator Frank Jones, William Mansfield, Reverend George Kelly dan Harry Lee Moore,


    Meskipun terdapat beberapa orang suspek telah dikaitkan dengan kes pembunuhan kapak ini, namun tiada seorang pun yang didakwa menandangkan tiada sebarang bukti yang kukuh untuk menyabitkan mereka semua. 

    Suspek pertama merupakan seorang senator negeri bernama Senator State Frank F.Jones yang merupakan bekas majikan Josiah. Josiah telah bekerja dengannya selama sembilan tahun. Ada kemungkinan Frank menyimpan dendam terhadap keluarga Moore kerana peletakan jawatan Josiah secara mengejut. Mengeruhkan lagi keadaan, Josiah bekerja di kedai lain selepas berhenti di kedai Frank itu. Paling tak disangka, Josiah didakwa pernah menjalinkan hubungan seks dengan menantu Frank, namun dakwaan tersebut tidak dapat dibuktikan.

    Suspek kedua adalah William Mansfield. Dia Dipercayai diupah oleh Senator Frank untuk membunuh keluarga Moore. Melihat latar belakangnya, William dipercayai telah menjadi suspek utama dalam beberapa kes pembunuhan sebelum dan selepas kejadian di Vilisca ini berlaku. Dia bagaimanapun mempunyai alibi kukuh sewaktu kejadian.

    Suspek ketiga bernama Reverend George Kelly. Reverend dikatakan seorang yang tidak siuman dan berkemungkinan juga pemangsa pedofilia ini merupakan seorang pendeta pengembara. Dia dikatakan telah menjadi tenaga pengajar program Hari Kanak-Kanak pada hari kejadian itu. Reverend dan isterinya dilaporkan meninggalkan Vilisca pada 10 Jun 1912 sekitar jam 5.00 hingga 5.30 pagi iaitu hanya beberapa jam sebelum mayat-mayat mangsa ditemui.

    Suspek keempat, Henry Lee Moore. Beberapa bulan selepas kejadian malang menimpa keluarga Moore, lelaki ini dikaitkan dengan dakwaan melakukan pembunuhan terhadap ibu dan neneknya. Bahkan senjata pembunuhan yang dilakukannya itu adalah dengan menggunakan kapak. Menguatkan lagi dakwaan, terdapat beberapa persamaan yang agak ketara dari segi cara pembunuhan tersebut dengan kes keluarga Moore. Henry Lee Moore tidak mempunyai sebarang pertalian darah dengan keluarga Moore.

    Suspek kelima iaitu Sam Moyer yang merupakan adik ipar Josiah ini dilaporkan pernah mengugut untuk membunuh Josiah. Namun sama seperti William Mansfield, dia mempunyai alibi yang kukuh untuk membuktikan dirinya tidak terlibat dengan kes pembunuhan Vilisca.

    Suspek seterusnya bernama Andrew Andy Sawyer. Krew program realiti televisyen iaitu Ghost Adventure telah berjaya merakam satu suara roh dengan alat suara fenomena elektronik. Apabila krew tersebut menanyakan soalan siapakah yang membunuh keluarga Moore, roh tersebut membalas "Andy". Perkara bagaimanapun ini jelas dilihat agak mengarut sama sekali.

    Maklumat tambahan, tiga orang daripada suspek tersebut iaitu State Senator Frank Jones, Andy Sawyer, dan Reverend George Kelly telah dilihat berada di gereja semasa program Hari Kanak-Kanak.

    Sudah hampir seabad kes pembunuhan Vilisca ini berlaku. Berkemungkinan semua suspek  telah pun meninggal dunia dan mengabadikan rahsia ngeri itu bersama dirinya. Salah satu punca mengapa kes ini gagal diselesaikan adalah kerana teknik siasatan yang belum berkembang pada masa itu. Jika kes pembunuhan ini berlaku pada zaman sekarang, kebarangkalian untuk dapat mengenal pasti identiti suspek adalah sangat tinggi.

    Jadi, siapakah pembunuh?Adakah secara berseorangan dan berkumpulan? Apakah motif sebenar pembunuh? Kenapa keluarga Moore dijadikan sebagai sasaran?



  Video di atas merupakan trailer filem berjudul The Axe Murders of Vilisca yang merupakan inspirasi daripada kisah pembunuhan keluarga Moore ini.

Catat Ulasan for "PEMBUNUHAN KAPAK DI VILISCA"