KISAH JOHN WAYNE GACY : Si Badut Psikopat
Cuba perhatikan betul-betul wajah lelaki ini. Sekali
pandang, dia sepertinya mempunyai ciri-ciri seperti seorang lelaki yang
bertanggungjawab, penyayang dan peramah. Cumanya, kita semua kena sentiasa
beringat dengan pepatah yang mengatakan "Don't judge a book by its
cover".
Baiklah, lelaki ini bernama John Wayne Gacy yakni seorang pembunuh bersiri yang telah merogol
dan membunuh seramai 33 orang remaja lelaki pada sekitar tahun 1972 hingga 1978
bertempat di Cook County,
Illionis, Amerika Syarikat. Dia diberi jolokan nama sebagai "Killer Clown" dek kerana imejnya yang sering tampil
sebagai badut dalam majlis keramaian dan parti kanak-kanak. Malah, John juga
mencipta karakternya yang tersendiri dengan watak ''Pogo The Clown''
atau "Patches The Clown".
Mengenai latarbelakang hidup John, dia dilahirkan pada tarikh
17 Mac 1942 di Chicago, Illinois. John agak tidak bernasib pada zaman
kanak-kanaknya kerana sering menjadi mangsa penderaan oleh bapanya yang juga
merupakan seorang kaki botol. Disebabkan itulah, dia dikatakan lebih cenderung
untuk rapat dengan ibunya. Seperkara lagi harus diketahui, John yang selalu
menjadi mangsa buli ini juga pernah diliwat oleh bapa saudaranya sendiri.
Diringkaskan cerita, John telah menamatkan zaman bujangnya pada tahun 1964. Selepas perkahwinan tersebut, kehidupan yang dimiliki oleh John seolah-olah nampak sempurna. Dia menjadi bapa kepada dua orang anak dan memperolehi wang pendapatan lumayan secara konsisten. Walau bagaimanapun, kesempurnaan hidup John itu tidak berkekalan lama apabila dia sah bercerai pada tahun 1969. Penceraian tersebut dikatakan berpunca daripada Gacy sendiri yang telah terlibat dengan satu kes penderaan seksual hingga menyebabkan dia dipenjara. Tiga tahun kemudian berkahwin buat kali kedua tetapi sekali lagi bercerai pada empat tahun berikutnya. Kali ini, John bercerai susulan pengakuannya terhadap isterinya yang menyatakan bahawa dia adalah seorang biseksual.
Meskipun zaman kanak-kanaknya tidak segembira seperti
kanak-kanak lain, semua itu tidak menghalang John untuk mendapatkan
pengiktirafan dalam kariernya. Salah satu bukti, dia pernah diberikan
kepercayaan untuk menguruskan tiga cawangan restoran KFC milik bapa mertuanya.
Selain rajin melibatkan diri dengan aktiviti kejiranan serta badan kebajikan
amal, John juga gemar berpolitik. Namun siapa sangka di belakang tabir, John
adalah badut bertopeng yang sebenarnya seorang pembunuh bersiri. Modus
operandi John, dia akan mendapatkan kepercayaan sepenuhnya daripada mangsa
terlebih dahulu. Tangan mangsa akan digari sebelum mulut mereka disumbat dengan
kain. Selepas mangsa diliwat, leher mereka akan dijerut sehingga mati.
Bayangkan, hampir kesemua mayat mangsa John ditanam di bawah rumahnya manakala
dua lagi mayat dibuang ke dalam sungai. Rata-rata mangsa John adalah terdiri daripada
mereka yang berusia dari 14 hingga 21 tahun.
Antara mangsa John Wayne Gacy |
Mangsa terawal yang dibunuh oleh John merupakan seorang remaja lelaki berusia 16 tahun yang dikenali sebagai Timothy McCoy. Pembunuhan yang berlaku di rumah Gacy itu berpunca gara-gara insiden salah faham. John bertindak untuk menikam Timothy bertubi-tubi pada bahagian dada setelah menyangka remaja lelaki tersebut berniat untuk mencederakannya. Cerita sebenar sebelum kejadian, Timothy sedang menyiapkan sarapan di dapur. Kesilapan besar Timothy, dia pergi membawa pisau sekali dalam bilik tidur untuk mengejutkan John yang sedang tidur. Pembunuhan Timothy itu menjadi pemula keada keghairahan John untuk melakukan pembunuhan berantai.
Tanggal 11
September 1978, seorang remaja lelaki yang bernama Robert Piest dilaporkan telah
hilang. Berdasarkan laporan awal yang diterima oleh pihak polis, Robert disyaki
hilang selepas dia keluar untuk pergi
berjumpa dengan seorang kontraktor tidak lain tidak bukan, John Wayne Gacy.
Hari kesepuluh siasatan, pihak polis akhirnya bertindak menahan John serta melakukan
pada masa yang sama rumahnay diperiksa untuk kerja-kerja pencarian bukti. Hasilnya,
pihak polis berjaya menemui beberapa barangan bukti penting termasuklah
barangan peribadi milik mangsa. Penemuan paling mengejutkan, ada kubur manusia
yang ditemui di bawah rumah John.
Perbicaraan kes bermula pada bulan Februari 1980 dengan John menghadapi 33 pertuduhan membunuh. Biarpun John membuat pengakuan bersalah, ada berlaku ketegangan dalam mahkamah untuk menentukan samada dia waras atau
sebaliknya dengan pihak pembelaan mendakwa anak buah mereka itu mengalamii penyakit kecelaruan identiti. Bagaimanapun,
pada akhirnya keputusan mahkamah memihak kepada pihak pendakwaan. Jadi, John yang
didapati bersalah telah dijatuhkan hukuman mati. Sepanjang tempohnya meringkuk
dalam penjara, John lebih banyak untuk menghabiskan masa untuk melukis lukisan
yang kebanyakannya terdiri daripada potret badut. Ini termasuklah lukisan
karakternya sendiri sebagai Pogo The Clown. Lukisan John tersebut bukan saja
dipamer, bahkan turut dijual dan dilelong.
John telah meninggal dunia akibat hukuman suntikan maut yang dijalankan pada 10 Mei 1994. Salah satu fakta menarik, makanan terakhir yang dia jamah sebelum menemui ajal adalah hidangan KFC. "Kiss My Ass”, ungkapan terakhir yang keluar dari mulut John. Setelah kematian John, sesetengah karya lukisannya telah dibeli oleh anggota keluarga mangsa hanya semata-mata untuk dibakar. Otak John turut diambil oleh seorang doktor bernama Helen Morrison untuk dijadikannya sebagai bahan kajian psikopat.