SIAPA ISDAL WOMAN?
Isdalen
Pada 29 November 1970 iaitu bersamaan dengan jam1.15 petang, seorang lelaki professor universiti sedang mendaki gunung Ulriken di Isdalen Valley bertempat di Begen, Norway bersama dua orang anak perempuannya. Tanpa diduga, mereka bertiga kemudian telah menemui mayat seorang wanita di sebalik celahan batu dalam keadaannya bertelanjang.
Setibanya pihak polis di lokasi kejadian, mereka mendapati sebahagian daripada kulit bahagian badan depan mayat wanita misteri itu telah hangus seperti bahagian muka dan rambut. Kulit pada bahagian badan belakangnya pula tidak mengalami sebarang kecederaan. Selain itu, tangan serta lengan mangsa berada dalam posisi seperti seorang peninju.
Antara barangan bukti penting yang ditemui di lokasi kejadian itu adalah beberapa barangan peribadi seperti barang kemas, jam tangan, payung dan beberapa buah botol plastik. Berdasarkan penelitian kedudukan objek waktu ditemui, barang-barang tersebut berkemungkinan sengaja diletakkan di sebelah mayat mangsa. Seperkara lagi, mangsa digelar sebagai Isdal Woman kerana identitinya yang telah gagal untuk dikenalpasti.
Lakaran wajah Isdal Woman
Beberapa hari selepas penemuan mayat mangsa, pihak polis telah berjaya mendapat satu lagi bukti penting iaitu dua buah beg bimbit milik mangsa yang ditemui di stesen kereta api Norwegian State Railways (NBC). Dalam beg bimbit tersebut didapati mengandungi pakaian, rambut palsu, wang kertas (mata wang Jerman dan Norway), duit syiling (Belgium, British dan Sweden), sikat, berus rambut, alat-alat kosmetik, sudu teh dan krim untuk ekzema.
Lagi menghairankan, kesemua label jenama pada pakaian mangsa telah ditanggalkan. Begitu juga dengan label kulit krim ekzema di mana nama doktor dan pesakit dipadamkan. Perkara ini menimbulkan keraguan motif sebenar mengapa si pelaku melakukan hal sedemikian rupa. Apa yang jelas, mangsa berkemungkinan bukan calang-calang individu. Dia berkemungkinan besar adalah seorang yang sangat berkepentingan.
Penemuan poskad di dalam beg mangsa telah membawa kepada penahanan seorang jurugambar warganegara Itali. Menurut keterangan jurugambar itu, dia mengakui pernah keluar makan malam bersama mangsa tetapi tidak begitu banyak maklumat latar belakang mangsa yang diketahuinya. Setakat yang dia tahu, mangsa mendakwa dirinya adalah seorang peniaga barang-barang antik dari Afrika Selatan.
Berdasarkan laporan bedah siasat, mangsa telah disahkan meninggal dunia akibat kombinasi racun karbon monoksida serta menelan pil tidur secara berlebihan. Bayangkan dalam perut mangsa mempunyai lebih kurang 50 hingga 70 biji pil tidur. Daripada segi kondisi paru-paru, mangsa dipercayai masih hidup ketika dia dibakar. Kalau mengikut teori, mangsa berkemungkinan telah didera dan diseksa terlebih dahulu sebelum dibiarkan mati begitu saja.
Mangsa juga tidak pernah hamil ataupun mempunyai sebarang anak. Ini menguatkan lagi dakwaan bahawa mangsa adalah seorang ejen pengintip. Disebabkan tiada sebarang bukti yang lebih kukuh, punca sebenar kematian Isdal Woman akhirnya diklasifikasikan sebagai kes bunuh diri. Namun, keputusan itu telah menimbulkan pertikaian dan rasa tidak puas hati oleh pelbagai pihak.
Pihak polis juga berjaya mengesan aktiviti penjelajahan mangsa ke serata Norway dan beberapa buah negara Eropah lain menggunakan 9 passport palsu dengan identiti yang berbeza-beza iaitu Jenevive Lancia, Claudia Tielt, Vera Schlosseneck, Claudia Nielsen, Alexia Zarna-Merchez, Vera Jarle, Finella Lorck dan Elizabeth Leen Hoywfer.
Ini adalah ringkasan setiap pergerakan mangsa hasil daripada
catatan pada buku notanya.
- 20 Mac, 1970 – Bergerak dari Geneva ke Oslo.
- 21-24 Mac, 1970 – Menginap di Hotel Viking di Oslo menggunakan nama “Genevieve Lancier”.
- 24 Mac – Terbang dari Oslo ke Stavanger, menaiki bot ke Bergen, bermalam di Hotel Bristol menggunakan nama “Claudia Tielt”.
- 25 Mac– 1 April – Menginap di hotel Scandia di Bergen, kekal sebagai “C. Tielt”
- 1 April – Bergerak dari Bergen ke Stavanger, dan kemudian ke Kristiansand, Hirtshals, Hamburg and Basel, Jerman.
- 3 Oktober – Bergerak dari Stockholm, Sweden ke Oslo, Norway, dan kemudian ke Oppdal, Norway, sebuah resort ski popular
- 22 Oktober– Menginap di hotel Altona di Paris.
- 23 Oktober – 29 – Bermalam di Hotel de Calais di Paris, Perancis.
- 29 Oktober – 30 – Bergerak dari Paris ke Stavanger dan kemudian ke Bergen, Norway.
- 30 Oktober – 5 November – Mendaftar masuk ke hotel Neptune menggunakan nama “Alexia Zerner-Merches”. Berjumpa dengan seorang lelaki di Hotel itu.
- 6 November – 9– Bergerak ke Trondheim, Norway, dan bermalam di Hotel Bristol menggunakan nama “Vera Jarle”.
- 9 November – Bergerak ke Oslo dan kemudian ke Stavanger; bermalam di Hotel St. Svitun menggunakan nama “Fenella Lorch”.
- 18 November – Menaiki bot Vingtor jw Bergen. Bermalam di hotel Rosenkrantz menggunakan nama “Elisabeth Leenhower” dari Belgium.
- 19 November – 23 – Bermalam di hotel Hordaheimen, tunggu di dalam bilik dan kena berhati-hati.
- 23 November – Meninggalkan hotel pada awal pagi, bayaran secara tunai dan menuju ke stesen kereta api di mana dia menyimpan 2 buah bagasi di tempat simpanan
- 29 November – Ditemui di Isdalen.
Menurut keterangan beberapa orang saksi yang kebanyakannya terdiri daripada pekerja hotel, mangsa dianggarkan berusia sekitar 30 ke 40 tahun dan sangat pandai bergaya. Dia yang berketinggian 164cm juga merupakan seorang perokok.
Mangsa dilaporkan sangat fasih dalam berbahasa Jerman, Inggeris, Belanda dan Perancis. Perkara ini sekali mendukung bahawa Isdal Woman bukan wanita biasa. Mangsa berkemungkinan kerap kali menukar hotel tempat penginapannya adalah bagi mengelakkan dirinya dikesan. Pada masa sama, mangsa dikatakan gemar meminta bilik hotel yang mempunyai balkoni.
Pada tahun 2005, ada seorang saksi yang akhirnya tampil untuk memberi satu kenyataan umum selepas 32 tahun mendiamkan diri. Menurutnya, dia mengesyaki Isdal Woman adalah orang sama yang pernah dijumpainya di lereng bukit Floyen, Norway.
Sewaktu itu mangsa dilihat berjalan dengan diiringi oleh dua orang lelaki yang berpakaian kemas. Mangsa kemudian dilihat meronta-ronta seperti cuba untuk memberitahu sesuatu kepada saksi, namun dihalang dengan kekerasan oleh kedua-dua lelaki tersebut. Selepas melihat satu lakaran wajah Isdal Woman, barulah saksi itu tadi membuat laporan polis. Walau bagaimanapun, laporan itu tidak diendahkan sekaligus memaksa saksi tersebut terpaksa untuk mengunci mulut berpuluh-puluh tahun lamanya.
Kekerapan pertukaran tempat penginapan, tulisan kod pada nota dan rambut palsu sudah cukup untuk meyakinkan orang ramai bahawa Isdal Woman sememangnya adalah seorang ejen pengintip. Dalam perkembangan lain, Norsk Rikskringkasting (NRK) iaitu sebuah badan penyiaran radio dan televisyen Norway kini semakin hampir untuk merungkai identiti sebenar Isdal Woman.
Catat Ulasan for "SIAPA ISDAL WOMAN?"