Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH TRAGIS PENCULIKAN AMBER HAGERMAN



    Rasanya semua orang mesti pernah  mendengar nama atau istilah Amber Alert terutama semasa tularnya berita tentang kes penculikan kanak-kanak. Amber Alert adalah satu kaedah penyebaran maklumat mangsa penculikan yang disebarkan kepada orang awam melalui sistem pesanan ringkas (SMS), televisyen, radio, Google, Facebook dan lain-lain lagi platform. Menerusi sistem Amber Alert ini akan mejadikan masyarakat untuk lebih peka dengan kes semasa penculikan kanak-kanak sekaligus dapat menyalurkan maklumat penting kepada pihak berkuasa.

    Amber Alert merupakan singkatan daripada America's Missing: Broadcast Emergency Response iaitu diambil sempena nama Amber Hagerman. 

Amber Hagerman - NBC News

    Pada 13 Januari 1996, Amber (9 tahun) bersama adiknya iaitu Ricky (5 tahun) telah menaiki basikal menuju ke Arlington, Texas untuk pergi bermain di sebuah kawasan kedai runcit yang terbengkalai. Beberapa minit selepas bermain di luar kawasan kedai tersebut, Ricky pulang semula ke rumah tanpa ditemani Amber. Amber yang bermain seorang diri kemudian telah diragut serta diheret oleh seorang individu yang tidak dikenali masuk ke dalam sebuah trak berwarna gelap. 

    Disebabkan berasa risau melihat Ricky si cucunya pulang ke rumah seorang diri,  Jimmie Whitson bergegas keluar untuk mencari Amber. Sebaik saja Jimmie sampai ke lokasi, pihak polis telah pun memulakan kerja-kerja pencarian. Satu-satunya saksi kejadian penculikan tersebut adalah lelaki warga emas berusia 78 tahun iaitu Jim Kevill. Jim kemudian bertindak pantas dengan menghubungi pihak polis. Menurut Jim lagi, penculik itu digambarkan sebagai seorang berkulit putih dan juga berkemungkinan berketurunan Sepanyol.

    Menerusi siasatan awal pihak polis, suspek diyakini seorang yang sangat arif dengan setiap selok belok kawasan penculikan. Dia juga dipercayai bertindak secara spontan untuk melakukan penculikan selepas menyedari Amber bermain seorang diri. Operasi pencarian Amber telah dijalankan secara besar-besaran. Meskipun terdapat laporan yang mendakwa trak suspek ada diparkir di luar kedai dobi berdekatan sebelum terjadinya penculikan Amber, pihak polis masih gagal untuk mengesan trak tersebut. Empat hari berikutnya, mayat Amber telah dijumpai oleh seorang lelaki bersama anjing peliharaannya di kawasan pinggir sungai yang tidak jauh dari lokasi Amber diculik.

    Berdasarkan laporan bedah siasat ke atas mayat Amber, dia dipercayai masih lagi hidup pada dua hari awal penculikannya. Lehernya juga dikelar. Lagi menyedihkan, Amber disyaki menjadi mangsa penderaan seksUAL. Pihak berkuasa kemudian menubuhkan satu pasukan petugas khas untuk mencari pembunuh Amber. Meskipun pelbagai petunjuk yang telah diperolehi, suspek tetap gagal untuk dikenal pasti. Pasukan petugas khas kes Amber ini akhirnya dibubarkan pada tahun 1999. 

    Sejurus sahaja berita penemuan mayat Amber tersebar, stesen radio Dallas telah dihubungi oleh seorang pemanggil. Menerusi panggilan tersebut, pemanggil itu memberitahu bahawa pihak berkuasa sepatutnya bekerjasama dengan pihak media untuk menyebarkan maklumat mangsa penculikan kepada orang awam. Maka dari situ, tercetuslah idea Amber Alert. Sistem Ambert Alert dilaporkan telah berjaya menyelamatkan ratusan kanak-kanak yang telah hilang dan menjadi mangsa culik.

Catat Ulasan for "KISAH TRAGIS PENCULIKAN AMBER HAGERMAN"