PAPILLON
IMDb
Filem Papillon (2017) merupakan versi pembikinan semula daripada filem Papillon tahun 1973 yang juga merupakan adaptasi daripada novel autobiografi hasil karya Henri Charriere. Novel ini mengisahkan tentang pengalaman Henri sendiri yang tidak pernah mengenal erti putus asa untuk melarikan diri dari penjara selama 14 tahun hidupnya menjadi tahanan di koloni tahanan Perancis. Selain itu, novel yang mula diterbitkan pada tahun 1969 ini juga telah mendapat pengiktirafan sebagai cerita pengembaraan terhebat sepanjang zaman. Namun terdapat sesetengah pihak mendakwa bahawa hampir keseluruhan cerita Papillon ini sebenarnya adalah daripada mulut rakan-rakan tahanan Henri. Penjelasan mudahnya bukan pengalaman yang dialami oleh Henri sendiri. Dakwaan ini bagaimanapun telah dinafikan sekeras-kerasnya oleh Henri.
Dalam konteks novel dan filem ini, Papillon merujuk kepada nama gelaran Henri sendiri yang bermaksud rama-rama. Henri menjadi anak yatim piatu seawal usianya sepuluh tahun. Menginjak usia remaja, dia kemudian menyertai tentera laut Perancis dan berkhidmat selama dua tahun. Sekembalinya ke Paris, Henri memilih jalan gelap iaitu dengan menjadi seorang pencuri dan muncikari sebagai jalan singkat untuk menikmati kehidupan mewah. Diringkaskan cerita, Henri meninggal dunia tahun 1973 pada usia 67 tahun akibat kanser tekak.
Menerusi filem Papillon (2017), kisahnya bermula selepas Henri (Charlie Hunnam) ditahan atas tuduhan membunuh seorang muncikari yang bernama Roland Legrand. Henri yang langsung tidak diberi peluang untuk mempertahankan dirinya kemudian dibawa menuju ke koloni tahanan Perancis. Pada waktu ini Henri memang sudah pun berhasrat untuk melarikan diri dari penjara. Tindakannya itu bukan bermaksud dia tidak mampu untuk bertahan dengan kehidupan di penjara, tetapi sebaliknya Henri betul-betul rasa teraniaya dengan tuduhan membunuh yang telah dilemparkan terhadap dirinya ini. Sewaktu dalam perjalanan menuju ke lokasi tahanan, Henri mula berkenalan dengan lelaki yang bernama Julot. Demi kepentingan rancangannya untuk melarikan diri kelak, Henri telah menawarkan diri untuk menjadi pelindung kepada seorang tahanan kaya yang bernama Louis Dega (Ramy Malek). Persahabatan yang terjalin Henri dan Louis akhirnya menjadikan mereka berdua sebagai sahabat karib.
Setibanya di lokasi tahanan, para tahanan diberikan amaran keras oleh ketua warden penjara tersebut iaitu jangan sesekali untuk mencuba melarikan diri. Jika dikesan melakukan tindakan sedemikian, mereka akan ditembak serta-merta. Kalau berjaya terlepas sekalipun, mereka tidak akan dapat bertahan di pulau itu memandangkan kawasan di sekelilingnya dipenuhi dengan semak belukar. Berenang di kawasan perairan lautan pula sudah pasti menjadi mangsa ikan jerung. Mana-mana tahanan yang berjaya ditangkap semula akan menjalani proses isolasi selama dua tahun. Ditangkap kali kedua diisolasi lima tahun. Penangkapan kali ketiga, mereka akan menghabiskan sisa-sisa hidup di Pulau Iblis. Lagi dahsyat, jika ada pengawal penjara yang terkorban semasa memburu tahanan melarikan diri, maka tahanan tersebut akan terus dihukum pancung.
Jadi, boleh bayangkan sendiri bagaimana Henri terpaksa berhati-hati dalam setiap pergerakannya bagi memastikan usahanya untuk meloloskan diri dari pulau itu tidak menemui jalan yang sia-siq. Semua itu bukan mudah kerana setiap rancangan yang dilakukan perlu dilakukan dengan persediaan rapi. Tersilap langkah, selamat jalan dunia. Begitu juga dengan Louis Dega yang sentiasa berharap rancangan lolos tersebut akan berjaya. Disebabkan itu, dia tidak kisah untuk menghabiskan wang. Penjara itu bagai neraka dunia untuk dirinya. Dari kehidupan mewah bertukar menjadi sengsara. Menjadi buruh paksa yang dikelilingi dengan manusia ganas yang ingin mendapatkan wangnya menyebabkan Louis hidup dalam ketakutan. Mujurlah ada Henri ada untuk melindunginya.
Sudut positif daripada keseluruhan filem ini banyak mengajar kita tentang erti nilai sebenar sebuah persahabatan, kepercayaan, kesetiaan, kecekalan dan keberanian. Seperkara lagi, erti kegagalan sebenar adalah apabila kita berhenti mencuba.
Akhir sekali, ramai pengkritik filem mengatakan filem Papillon 2017 ini adalah sebuah filem pembikinan semula yang teruk. Jack enggan memberikan sebarang komen tentang hal ini kerana Jack sendiri tidak pernah menonton filem yang asal. Namun ikhlas dari sudut hati Jack, Papillon 2017 adalah sebuah filem pengembaraan hebat yang berbaloi untuk ditonton.
Catat Ulasan for "PAPILLON"