Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH BENAR DI SEBALIK FILEM SPECIAL 26


IMDb

    Bila disebut tentang filem rompakan, filem manakah yang pertama sekali yang akan terlintas dalam fikiran anda? Adakah filem Ocean 11 atau The Italian Job?

    Mungkin satu kerugian juga untuk sesiapa yang belum menonton filem Special 26 (2013). Dibintangi aktor kacak dan tinggi lampai Bollywood iaitu Akshay Kumar di mana dia bergandingan dengan Anupam Kher yakni aktor yang memegang watak sebagai Principal Malholtra menerusi filem Kuch-Kuch Hota Hai.  Apa yang pasti, lakonan Akshay dan Anupam dalam filem Special 26 ini sememangnya berada dalam kelas yang tersendiri. 

    Tunggu sekejap! Tahukah anda filem Special 26 ini juga sebenarnya adalah berdasarkan kisah sebenar tentang kes rompakan "Opera Heist 1987" yang berlaku di Opera House, Mumbai tahun 1987. Seperkara penting yang perlu diketahui, dalang utama rompakan tersebut tidak pernah berjaya ditangkap hingga pada hari ini. Jadi, bagaimana rompakan itu boleh berlaku? 

    Pada 19 Mac 1987, sebuah kedai barangan kemas yang terletak di Opera House telah diserbu oleh pasukan CBI (Central Bureau of Investigation) yang diketuai oleh seorang individu lelaki bernama Mohan Singh. Setelah Mohan menunjukkan surat waran, kumpulan CBI tersebut pun terus mula melakukan operasi penggeledahan. Sepanjang tempoh pengeledahan itu, rakaman kamera pengawasan bukan saja ditutup malah sebarang urusan panggilan keluar masuk telefon adalah tidak dibenarkan sama sekali.

    Pasukan CBI tersebut kemudian merampas sejumlah wang dan barangan kemas yang diragui ketulenannya. Selepas lebih kurang 45 minit operasi penggeledahan itu dibuat, Mohan Singh telah mengarahkan dua orang pegawainya untuk menyimpan barangan rampasan ke dalam bas yang dinaiki oleh mereka. Anggota CBI tersebut seterusnya diarahkan oleh Mohan Singh untuk kekal berada di kedai emas itu bagi mengawal keadaan sebelum dia sendiri beredar pergi dengan menaiki bas berkenaan. 

    Sejam berikutnya, pemilik kedai emas telah bertindak untuk menghubungi pihak polis. Pada masa sama, anggota pasukan CBI yang masih berada di tempat kejadian mula mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena. Hingga akhirnya, barulah  mereka semua menyedari bahawa operasi penggeledahan tersebut sebenarnya adalah satu kejadian rompakan yang terancang. Dalam erti kata lain, anggota CBI itu bukan anggota CBI sebenar, mereka semua sebaliknya adalah mangsa penipuan Mohan.

    Dua hari sebelum kejadian, Mohan Singh telah menyiarkan iklan pencarian anggota CBI bertajuk "Dynamic Graduates for Intelligence Officers Post and Security Officers Post" di surat khabar The Times of India. Iklan tersebut meminta para calon yang berminat dengan jawatan itu dikehendaki untuk hadir pada keesokan harinya di sebuah hotel tempat penginapan Mohan Singh. Selain itu, Mohan juga ada menyewa sebuah pejabat di Mittal Tower sebagai tempat untuk menemu duga calon. Menerusi proses temuduga tersebut, seramai 26 orang yang melepasi syarat tapisan terus dipilih sebagai anggota "CBI."

    Kali terakhir Mohan Singh dilihat adalah selepas waktu kejadian di mana dia turun di Vile Parle dengan menaiki teksi dan kemudiannya menaiki auto pula menuju ke satu destinasi yang tidak diketahui. Tidak dapat dipastikan sama ada nama Mohan Singh itu adalah nama sebenar ataupun nama samarannya. 

    Bagi mendapatkan gambaran sebenar bagaimana rompakan Opera Heist ini berlaku, dipersilakan untuk menonton filem Special 26 ini. Namun, harus diingatkan bahawa jalan ceritanya tidaklah tepat 100% pun. Ini adalah perkara biasa untuk memantapkan lagi penceritaan. Kisah Opera Heist juga boleh ditonton menerusi filem versi Tamil yang berjudul Thaanaa Serndha Koottam (2018). 

Catat Ulasan for "KISAH BENAR DI SEBALIK FILEM SPECIAL 26"