Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH KEHILANGAN SUSAN COX POWELL


Oxygen

    Susan Cox Powell merupakan seorang ibu muda kepada dua orang anak kecil. Kisahnya mula menjadi tumpuan orang ramai apabila dia tiba-tiba menghilang dengan misteri pada tahun 2009. Satu-satunya suspek utama dalam kes kehilangan Susan ini adalah suaminya sendiri iaitu Josh Powell. Jika benar sekalipun dakwaan tersebut, maka persoalannya apakah motif sebenar Josh? 

Oxygen

    Susan Marie Cox yang dilahirkan pada tahun 1981 dikatakan seorang yang berperwatakan baik, ceria, berfikiran terbuka, penyabar dan mempunyai naluri seorang ibu iaitu sangat sukakan kanak-kanak. Dia juga bukanlah sejenis wanita yang nakal dan liar dalam hidupnya. Apabila disebut tentang cita-cita, Susan sebolehnya ingin menjadi seorang pakar kecantikan.

Oxygen
    Susan mula memasuki alam rumah tangga pada tahun 2001 seawal usianya 20 tahun dengan mengahwini teman lelakinya yang bernama Josh Powell. Menurut keterangan daripada keluarga Susan sendiri, Josh merupakan seorang yang sangat obsesif, dahagakan perhatian dan sentiasa berasa dirinya betul. Jadi, kiranya memang ada sesuatu yang mencurigakan tentang Josh. Disebabkan itulah pada awalnya keluarga Susan langsung tidak bersetuju dengan perkahwinan Susan tersebut. Bagi mereka, cukuplah untuk Susan dan Josh hidup sebagai pasangan kekasih sahaja terlebih dulu. Walau bagaimanapun, Susan tetap berdegil untuk meneruskan jua perkahwinan. 

    Bermula tahun 2004, kehidupan Josh dan Susan mula bergelut dengan masalah kewangan. Josh yang gagal untuk menjadi ejen hartanah seperti yang diimpikan telah membuat keputusan untuk berpindah ke Utah bagi mendapatkan kehidupan yang lebih baik. Pada waktu tersebut, Susan telah mengandungkan anak pertama mereka. Dipendekkan cerita di sini, anak Susan iaitu Charlie dilahirkan pada tahun 2005, manakala Braden pula menyusul dua tahun kemudiannya.

Charlie dan Braden

    Sekian lama berumah tangga, makin jelas situasi sebenar yang telah dialami oleh Susan. Dia pernah meluahkan perasaan dengan rakannya tentang penderaan emosi yang dilakukan oleh Josh. Cerita  Susan, Josh bukanlah seorang suami yang baik. Susan siap ada membuat pertanyaan lagi tentang bagaimana untuk mempertahankan haknya sebagai isteri dengan cara yang sah daripada segi undang-undang.  Bayangkan, Susan pernah ditampar oleh Josh di depan mata kawannya sendiri hanya disebabkan mereka berdua dalam keadaan tergesa-gesa untuk keluar pergi menonton wayang. 

    Seperkara lagi perlu diketahui, Josh yang pernah diisytiharkan bangkrap telah mengawal semua perbelanjaan isi rumah sambil mengongkong Susan. Pernah sekali memarahi Susan gara-gara isterinya itu memberikan sosej kepada anak mereka dengan seketul seorang. Sebolehnya, Josh inginkan seketul sosej itu dipotong dua untuk diberikan kepada anak mereka. Selain itu, Susan disuruh untuk turun ke tempat kerjanya dengan menaiki motosikal bagi mengelakkan pembaziran minyak kereta. Namun, berbeza pula dengan Josh sendiri yang menggunakan kereta sebagai pengangkutannya ke tempat kerja.


     Menjelang tahun 2009 yang memasuki tahun kelapan perkahwinan, Josh nampak semakin agresif dengan setiap kata-kata dan tindakannya. Bahkan dia ada mengugut Susan untuk melangkah mayatnya dulu sekiranya Susan mempunyai niat untuk bercerai dan membawa pergi anak-anak mereka. 

     Pada 7 Disember 2009, ibu Josh membuat panggilan kecemasan untuk melaporkan tentang kehilangan Josh, Susan, Charlie dan Braden yang pada sebelumnya telah gagal untuk dihubungi. Tidak lama selepas panggilan itu dibuat, keluarga Josh dihubungi pula oleh Pusat Penjagaan Kanak-kanak yang memaklumkan bahawa Charlie dan Braden tidak dihantar ke pusat jagaan pada hari tersebut. Kakak Josh kemudian mula berasa bimbang kerana dia tahu Susan adalah seorang yang sangat melindungi anak-anaknya. 

    Setibanya pihak polis di rumah Josh, mereka mula memasuki ke dalam rumah itu melalui tingkap memandangkan pintu masuk berkunci. Dari sinilah bermulanya misteri sebenar kes kehilangan Susan ini. Dalam rumah Josh tersebut, polis mendapati ada dua buah kipas yang sedang berpusing menghala ke arah sofa. Penjelasan mudah, sofa itu sepertinya ingin dikeringkan. Ada sesuatu yang ingin ditutup. Beg duit Susan pula berada di dalam bilik dalam keadaan yang tidak terusik. Jadi di mana Susan dan anak-anaknya pada waktu tersebut?

    Sehari sebelum kejadian, Susan telah keluar bersama rakannya. Menurut cerita rakan Susan itu, Susan ada memberi petunjuk seolah-olah bahawa akan berlaku sesuatu yang buruk terhadap dirinya. Bagaimanapun, rakan Susan masa tersebut tidak jelas akan situasi yang sebenar. Selepas 18 jam lamanya Josh menghilang, dia cuba untuk menghubungi Josh. Peliknya, panggilan itu tiba-tiba dijawab oleh Josh. Menerusi perbualan tersebut,  Josh cuma menjawab "okay" apabila diberitahu tentang kehilangan isterinya. Rakan Susan yang enggan untuk mendiamkan diri telah pergi mengadu akan hal tersebut kepada seorang pegawai penyiasat bernama Ellis Maxwell. Ellis kemudian bertindak untuk menghubungi semula Josh untuk menyuruhnya pulang ke rumah dengan kadar segera. 

    Sejurus selepas itu, Josh tetap tidak pulang ke rumah. Sebaliknya, dia pergi pula ke tempat kerja Susan bersama anak-anaknya. Di situ Josh duduk menunggu di tempat parkir kereta. Walaupun dia telah diberitahu oleh orang ramai tentang ketidakhadiran Susan, Josh yang tetap tenang sempat meninggalkan peti pesanan suara telefon. Selesai berbuat sedemikian, barulah dia pulang ke rumah.

     Josh seterusnya hadir ke balai polis untuk sesi siasat yang pertama. Menerusi keterangannya, Josh memberitahu bahawa malam sebelum kejadian dia telah keluar dari rumah dalam jam sekitar 12.30 hingga 1.30 pagi bersama dua orang anaknya menaiki van untuk pergi berkhemah. Fikirkan sendiri, logikkah berkhemah pada waktu tengah malam buta bersama anak yang masih kecil? Tambahan pula, cuaca pada waktu tersebut telah dilanda ribut salji. Jadi, agak mustahil untuk wanita seperti Susan melepaskan anak-anaknya keluar.  Memandangkan tiada sebarang bukti, tiada pengakuan dan tiada saksi, maka Josh pun dibebaskan dengan bersyarat. Syaratnya adalah dia harus kembali semula ke balai polis keesokan paginya untuk sesi soal siasat susulan. Pada masa sama, pihak polis masih dalam proses untuk mendapatkan waran penggeledahan rumah Josh. 

    8 Disember 2009. Keluarga Josh telah pergi ke rumah Josh untuk meninjau keadaannya. Mereka berada begitu terkejut apabila mendapati Josh sedang sibuk mengemas rumahnya. Ini termasuklah mencuci karpet dan kereta. Josh seterusnya tiba di balai polis 4 jam lewat dari seperti apa yang telah dijanjikan. Menerusi keterangannya dalam sesi soal siasat kali ini, Josh memberitahu bahawa dia ada menghubungi Susan pada malam perkhemahan tersebut untuk bertanya tentang keadaan cuaca di kawasan rumah mereka. Waktu ini, pihak polis sebenarnya sudah tahu tentang pembohongan Josh kerana mereka telah pun berjaya menemui data yang menunjukkan telefon Susan pada malam itu telah dipegang oleh Josh. Jadi, tiada sebarang sebab untuk Josh memegang telefon Susah. Sewaktu sesi soal siasat tersebut, Josh yang  kelihatan sambil lewa memberitahu penyiasat bahawa Susan berkemungkinan telah pun mati akibat membunuh diri. Pada waktu ini juga, pihak polis sudah berjaya mendapatkan surat waran penggeledahan. Jadi, mereka terus bertindak melakukan pemeriksaan pada kereta Josh. Josh sendiri pula disuruh untuk terus menunggu di balai polis hingga selesai proses pemeriksaan keretanya itu. Walau bagaimanapun, Josh yang ingkar dengan arahan tersebut telah keluar dari balai polis dan kemudian menaiki teksi menuju ke lapangan terbang Salt Lake City untuk menyewa kereta. Selepas itu, tiada siapa pun tahu ke mana Josh telah pergi. Namun, berdasarkan pemeriksaan terhadap kereta itu mendapati ia dipandu dengan jarak tempuh 800 batu iaitu bersamaan dengan sekitar 1200 kilometer. Telefon Josh juga dikesan berstatus tidak aktif. Tiada rekod aktiviti mesej mahupun panggilan yang dibuat. Benda sama berlaku pada telefon ayahnya yang bernama Steve Powell. Jadi, ada pihak yang mempercayai bahawa pada waktu ini Josh telah pergi berjumpa dengan Steve.

Steve Powell - Oxygen

    Ini adalah pendedahan yang paling mengejutkan dalam kes Susan melalui kenyataan bahawa Steve Powell begitu obses dengan Susan iaitu menantunya sendiri sejak dari awal lagi. Josh dan Susan pernah tinggal bersama Steve pada waktu awal perkahwinan mereka. Steve adalah  seorang yang sangat narsis dan miang. Sampai satu tahap, dia menyangka Susan mempunyai perasaan yang sama terhadapnya. Setiap pergerakan Susan dirakam oleh Steve samada di dalam mahupun di luar rumah. Bahkan Steve mempunyai diari tentang Susan. Tak cukup dengan itu, Steve juga ada menyimpan ribuan keping gambar Susan. Josh yang sememangnya tahu tentang perkara ini lebih rela untuk memilih mendiamkan diri. Tidak dapat dipastikan mengapa dia bertindak sedemikian. 

Aksi Steve merakam Susan

    Berbalik dengan cerita Susan, lama-kelamaan moralnya semakin jatuh kerana masalah rumah tangga dialaminya. Dia perlu berbuat sesuatu sebelum situasi menjadi semakin buruk. Jadi atas nasihat peguam, Susan telah memasang kamera video dalam rumahnya atas faktor keselamatan. Bahkan dia ada menulis surat yang bertulis, 

    "For family, friends of Susan all except Josh Powell... i don't trust him." 

    "If I die, it may not be an accident, even if it looks like one"

    Surat dan bukti rakaman itu telah disimpannya di dalam peti keselamatan.


    Pada 10 Disember 2009, pihak polis memulakan operasi pencarian Susan di kawasan perkhemahan Josh pada malam kejadian. Waktu ini, Josh telah pun disyaki sebagai suspek utama dalam kes ini. Menurut keterangan rakan sekerja Susan, Susan ada memberitahu mereka bahawa Josh semakin gemar menonton rancangan televisyen yang berkisarkan tentang sains forensik. Ada dua benda yang telah diperkatakan oleh Josh. Pertama, apa dia akan lakukan untuk menutup pembunuhan yang dia telah buat. Kedua, kawasan yang paling sesuai untuk menanam mayat adalah di lombong. Kenyataan kedua didukung sendiri oleh pihak polis selepas mendapati sejarah carian internet pada komputer Josh telah dipenuhi dengan maklumat tentang lombong. 

    Steve pula mempunyai alibi kukuh pada hari kehilangan Susan. Dia berada di Washington State bersama tiga orang anaknya. Steve yang sudah bercerai mempunyai lima orang anak. Mereka adalah Jennifer, Josh, John, Michael dan Alina. Daripada lima orang beradik itu, John mempunyai masalah penyakit mental manakala Jennifer  pula hanya satu-satunya yang mencurigai Steve dan Josh atas kehilangan Susan. Malah Jennifer pernah bekerjasama dengan pihak polis untuk mengintip perbualan Josh. Misi itu bagaimanapun gagal selepas Josh tetap enggan mengaku mempunyai penglibatan dalam kes Susan. Alina Powell pula adalah seorang bijak dan sentiasa berhati-hati dalam apa jua keadaan. Dalam kes ini, Alina memberitahu bahawa Susan mempunyai sisi gelap yang orang ramai tidak ketahui. Katanya, Susan sentiasa untuk cuba menarik perhatian Steve. Alina kekal dengan pendiriannya untuk menyokong bahawa Josh dan Steve tidak bersalah dengan memegang prinsip innocent until proven guilty.

Oxygen

    Menurut cerita daripada pihak tertentu, keluarga Steve sememangnya agak pelik dan menakutkan. Walaupun keharmonian nampak berpecah belah, namun mereka semua sentiada mematuhi arahan Steve. Selain itu, mereka semua juga telah dibasuh oleh Steve untuk membenci ibu mereka sendiri. 

    Selepas kehilangan Susan, Alina dan Michael pernah pergi ke Utah bersama Josh serta anak-anaknya. Kurang jelas mengapa mereka mengikuti Josh pada hari itu. Pada 22 Disember 2009, Alina dan Michael kembali ke Utah dengan menaiki kereta Michael. Di sini, kes ini mula nampak berlubang. Sewaktu dalam perjalanan pulang itu, kereta yang dinaiki oleh mereka telah mengalami kerosakan. Situasi yang agak pelik apabila Michael tidak menghantar kereta tersebut untuk dibaiki, sebaliknya telah dihantar ke tempat pelupusan kereta bagi tujuan pelupusan. Pihak polis yang mendapat maklumat tentang kereta itu segera ke lokasi kejadian dengan membawa anjing pengesan. Diringkaskan cerita, anjing pengesan tersebut telah menghidu bau yang mencurigakan pada kereta Michael itu. Selepas sampel diambil dari kereta tersebut, keputusan DNA yang telah dihantar ke makmal didapati negatif! Jadi, masih tiada sebarang petunjuk kehilangan Susan.

    Lama kelamaan, kes telah menjadi semakin rumit. Josh dan Steve pernah membuat kenyataan umum tentang Susan yang sebenarnya mempunyai masalah penyakit mental. Kenyataan yang dibuat oleh dua beranak itu adalah berdasarkan diari Susan yang mereka telah temui. Kenyataan itu bagaimanapun memakan diri mereka sendiri apabila pihak polis yang berjaya mendapatkan waran penggeledahan telah melakukan pemeriksaan rumah Steve. Hasil penggeledahan berjaya menemui begitu banyak barangan bukti penting. Ini termasuklah pemacu keras yang mempunyai gambar lucah, kapas, alat kebersihan serta ribuan keping gambar Susan. Pita video yang ditemui juga didapati mengandungi rakaman video seorang perempuan muda yang juga merupakan jiran sebelah rumah mereka. Disebabkan itu, Steve telah ditahan atas kesalahan memiliki gambar pornografi. 

    Selepas itu, ayah Susan telah membuat tuntutan mahkamah untuk menuntut hak penjagaan cucunya. Pihak polis memberikan kerjasama yang sepenuhnya dengan memberikan bukti bahawa Josh juga ada menyimpan gambar lucah dalam komputernya. Ayah Susan bagaimanapun hanya berjaya mendapatkan hak penjagaan penjagaan sementara. Josh pula telah diarahkan untuk menjalani ujian psikologi bagi membuktikan bahawa dia boleh menjaga dan membesarkan anak-anaknya dalam persekitaran yang selamat.

Oxygen

    Pada 5 Februari 2012, seorang pekerja kebajikan menjemput Charlie dan Braden dari rumah ayah Susan untuk tujuan lawatan ke rumah Josh. Sampai di rumah Josh, Charlie dan Braden kelihatan begitu gembira untuk berjumpa dengan ayah mereka itu. Sebaik saja Charlie dan Braden dibawa masuk ke dalam rumah, Josh terus mengunci pintu. Pekerja kebajikan itu yang tidak sempat untuk berbuat apa-apa segera menelefon pihak talian kecemasan. Pada masa sama, dia telah terhidu bau gas dan mendengar jeritan daripada salah seorang anak Josh. Josh juga sempat meninggalkan pesanan peti suara telefon dengan ucapan selamat tinggal. Katanya, dia tak boleh hidup tanpa Charlie dan Braden. Sesudah itu, rumah Josh akhirnya meletup. Josh, Charlie dan Braden mati serta merta di tempat kejadian. 

KSL

    Sebulan selepas kematian Josh dan anak-anaknya itu, maka perbicaraan Steve pun bermula. Keluarga Susan masih berharap segala persoalan tentang kehilangan Susan akan terjawab. Menerusi perbicaraan tersebut, Steve langsung tidak menyebut pun tentang Susan. Dia cuma memberitahu bahawa Josh mati akibat tindakan pihak berkuasa yang tidak berhenti-henti memberikannya tekanan atas kehilangan Susan. Steve akhirnya didapati bersalah, lalu dihukum penjara atas kesalahan memiliki gambar pornografi. 

Dari kiri : Mike, Steve, Josh dan Susan - Oxygen

    Pada tahun 12 Februari 2013, Michael Powell telah membunuh diri dengan cara terjun dari bangunan. Lima tahun kemudian iaitu bersamaan dengan 11 Julai 2017, Steve Powell dibebaskan dari penjara. Dia bagaimanapun meninggal dunia pada 23 Julai 2018 akibat serangan jantung.  Jadi, dengan matinya Steve, maka kes Susan terus tergantung. Tiada siapa pun yang tahu apa yang berlaku kepada Susan. Teori yang paling kuat berlegar adalah dia dibunuh oleh Josh dengan dalang utamanya merupakan Steve sendiri.

Youtube

    R. I. P Susan, Charlie dan Braden.

Catat Ulasan for "KISAH KEHILANGAN SUSAN COX POWELL"