Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH CHRISTINE COLLINS : Perjuangan Seorang Ibu Mencari Anaknya.

Christine Collins

    Pada 10 Mac 1928, seorang wanita bernama Christine Collins (48 tahun) telah memberikan sejumlah wang saku kepada anak lelakinya iaitu Walter (9 tahun) yang ingin pergi menonton wayang. Namun apa yang berlaku pada kemudiannya adalah Walter langsung tidak pulang ke rumah. 

    Christine yang berasa bimbang dengan keadaan itu telah membuat laporan polis. Pada mulanya pihak polis Los Angeles beranggapan bahawa berkemungkinan Walter sengaja melarikan diri namun perkara tersebut diragui oleh Christine sendiri. 

    Tatkala jam terus berdetik, Walter tetap tidak munculkan diri. Christine mula berasa yakin bahawa anak lelaki kesayangannya itu menjadi mangsa penculikan. Disebabkan itu, pihak berkuasa Los Angeles mula melancarkan operasi pencarian dan menyelamat. 

    Walaupun terdapat banyak keterangan saksi yang telah direkodkan, namun tiada satu pun daripadanya yang dapat memberi petunjuk. Perkara tersebut sekaligus menyebabkan pihak berkuasa mengalami kebuntuan secara berterusan untuk mengesan Walter.

    Meskipun demi bulan berlalu, Walter yang masih lagi gagal untuk ditemui tidak sesekali memutuskan semangat Christine untuk melakukan pencarian. Selagi Walter tidak ditemui, selagi itu dia akan berusaha untuk mencari anaknya. 

    Pada bulan Ogos iaitu bulan kelima tahun kehilangan Walter, satu keajaiban telah berlaku. Christine menerima satu perkhabaran yang sangat menggembirakan. Penantian penuh penderitaan yang ditanggungnya telah berakhir. Berita itu adalah Walter yang berjaya ditemui di Dekalb, Illionis.

    Selepas saling berutus surat serta bertukar foto, Christine akhirnya bersetuju untuk membiayai tiket perjalanan kereta api Walter menuju ke Los Angeles. Dalam pertemuan yang sepatutnya menggembirakan itu, raut wajah Christine terus berubah sebaik saja dia melihat wajah Walter. Pandangan pertama dengan naluri seorang ibu, Christine tahu bahawa budak lelaki yang berdiri di depannya itu bukanlah Walter. 

    Christine kemudian memaklumkan perkara tersebut kepada pegawai polis yang mengaturkan pertemuan tersebut iaitu Kapten J. J. Jones. Menurut Jones, perubahan wajah serta penampilan pada Walter adalah disebabkan trauma yang dialaminya semasa penculikan. Alasan itu telak ditentang keras oleh Christine. Jones telah bertindak untuk menenangkan Christine dengan menyuruhnya membawa "Walter" pulang ke rumah seketika dengan harapan lambat laun Christine akan menerima kenyataan.

Walter Collins (kiri), Arthur Hutchins (kanan)

    Selepas tiga minggu tinggal serumah, Christine begitu yakin "Walter" itu bukanlah anak lelaki yang pernah dikandungnya selama sembilan bulan. Bezanya bagai langit dengan bumi. Christine kemudian bertekad untuk melaporkan perkara tersebut kepada pihak polis dengan membawa rekod pergigian Walter sebagai bukti. 

    Perkara itu jelas menimbulkan rasa ketidakpuasan hati terhadap Jones. Dia melihat Christine cuba untuk mencalar reputasi dan memalukan Jabatan Polis Los Angeles. Lantaran itu, Jones bertindak menghantar Christine ke wad hospital sakit jiwa untuk pemeriksaan selanjutnya. Bagi menyedarkan Christine, dia telah dirawat dengan pelbagai kaedah rawatan dan diberikan ubat-ubatan yang tidak sepatutnya. 

    Selepas sepuluh hari berada di wad, Christine sekali lagi menerima berita yang begitu meninggalkan kesan di hatinya. "Walter" akhirnya membuat satu pengakuan bahawa dia bukanlah Walter anak Christine. Namanya yang sebenar adalah Arthur Hutchins Jr. Kata Arthur, dia berniat untuk melakukan penyamaran selepas mendapati diia dengan Walter mempunyai persamaan yang sangat ketara. Penyamaran itu sekaligus membolehkan Arthur untuk mendapatkan tiket kereta api secara percuma ke Los Angeles deni mencapai impiannya untuk ke Hollywood serta bertemu dengan bintang-bintang filem terkenal. 

    Kebenaran telah terbukti. Jadi Christine pun dilepaskan keluar wad sakit jiwa. Demi maruah diri dan menegakkan keadilan, Christine telah memfailkan saman ke atas Jones serta Jabatan Polis Los Angeles. Kes tersebut dimenangi oleh Christine dengan pihak Jones diperintahkan untuk membayar sejumlah wang kepadanya. Pihak  bagaimanapun langsung tidak pernah membayar denda wang tersebut kepada Christine.

    Hidup mesti diteruskan. Doa dengan seribu satu harapan, Christine sentiasa berharap agar Walter akan kembali ke sisinya satu hari nanti.

Gordon Stewart Northcott 

    Kes Walter tidak pernah selesai. Selepas siasatan demi siasatan yang dijalankan oleh pihak berkuasa, Walter akhirnya disahkan telah menjadi salah seorang mangsa bunuh kepada Gordon Stewart Northcott iaitu pelaku utama dalam siri pembunuhan The Wineville Chicken Coop Murders. Ini berikutan penemuan serpihan pakaian milik Walter yang ditemui dalam reban ayam Gordon. Walau bagaimanapun, mayat Walter bagaimanapun gagal untuk dijumpai. Gordon yang melakukan penafian terhadap perkara itu telah disabitkan kesalahan atas membunuh tiga orang kanak-kanak. Dia kemudian dijatuhkan hukuman mati. 

    Christine ternyata begitu sukar untuk menerima kenyataan. Sisa-sisa hidupnya dihabiskan untuk mencari Walter kerana dia mempercayai bahawa anaknya itu masih lagi hidup. Pada 8 Disember 1964, Christine telah meninggal dunia pada usia 75 tahun dengan meninggalkan segala memori pahit dan mengabadikan segala memori indahnya bersama Walter. 

    R.I.P. Christine.


    Video trailer di atas yang berjudul Changeling (2008) merupakan filem kisah benar yang diadaptasi daripada kisah Christine Collins ini.

1 ulasan for "KISAH CHRISTINE COLLINS : Perjuangan Seorang Ibu Mencari Anaknya."

  1. Dah tengok citer changeling ni semalam. Tak dapat nak imagine macam mana christine Collins ni hadap semua tu dlm real life dia

    BalasPadam