Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

CHRIS BENOIT: Legenda WWE yang Terpaksa Dilupakan


Flickr

    Nama Chris Benoit sudah pastinya akan sentiasa diingati oleh peminat tegar WWE. Dia merupakan salah seorang penggusti hebat yang sebaris dengan generasi emas WWE lain seperti mendiang Eddie Guerrero, Chavo Guerrero, Chris Jericho dan Edge. Sepanjang 22 tahun penglibatannya dalam dunia gusti, Chris telah banyak mengecapi kejuaraan berprestij. Antaranya menjulang kejuaraan WCW World Heavyweight Championship, WWE Tag Team Championship, WWE United States Championship dan WWE Royal Rumble 2004. Bagaimanapun, pengakhiran selepas kematiannya agak menyedihkan apabila dia langsung tidak mendapat pengiktirafan yang sewajarnya. Bahkan legasi Chris dalam WWE juga telah dipadam gara-gara tindakan kejamnya yang telah membunuh isteri dan anaknya sendiri sebelum membunuh diri.

    Chris telah berkahwin sebanyak dua kali dalam hidupnya. Dia mempunyai dua orang anak menerusi perkahwinan pertamanya. Chris berkahwin buat kali kedua selepas menjalinkan hubungan sulit dengan Nancy Sullivan yang juga merupakan isteri kepada seterunya dalam gelanggang iaitu Kevin Sullivan. Hasil perkahwinan keduanya itu, Chris memperolehi seorang anak lelaki yang bernama Daniel. Pada awal perkahwinan Chris dan Nancy, mereka berdua hidup bahagia. Namun kebahagiaan itu tidak berpanjangan apabila Nancy memfailkan penceraian pada tahun 2003. Permohonan tersebut dibuat selepas kelakuan ganas Chris yang semakin tidak dapat dikawal. Walau bagaimanapun, permohonan penceraian itu pada kemudiannya telah ditarik balik oleh Nancy.  

Chris Benoit bersama Nancy dan Daniel.

    Pada waktu sebelum kematiannya, Chris ada menghantar mesej peti pesanan suara kepada Chavo Guerrero untuk memberitahu bahawa dia telah terlepas penerbangan yang sepatut dinaikinya pada hari itu. Chavo yang kemudian menelefon Chris untuk memastikan kesahihan perkara tersebut telah mendengar suara rakannya itu seperti dalam kepenatan. Pada masa sama, Chris sempat memberitahu bahawa isteri dan anak-anaknya telah mengalami keracunan makanan.

    24 Jun 2007, Chavo dan pihak pengurusan WWE mendapat perkhabaran bahawa anak Chris iaitu Daniel telah dimasukkan ke hospital akibat mengalami muntah darah. Chris bagaimanapun berjanji akan tetap berusaha untuk menaiki penerbangan ke Houston bagi menghadiri perlawanan menentang CM Punk seperti yang telah diaturkan. Keesokan harinya, Chris memungkiri janji apabila gagal untuk menghadirkan diri tanpa memaklumkan perkara berkenaan kepada pihak pengurusan WWE. Pihak polis yang kemudian diminta oleh pihak WWE untuk melakukan pemeriksaan di rumah Chris telah menemui mayat Chris, Nancy dan Daniel.

    Pada mulanya, kematian keluarga Chris ini dianggap sebagai satu kes pembunuhan. Namun selepas siasatan dijalankan, Chris sendiri telah disyaki sebagai pembunuh sebenar. Punca kematian Nancy yang ditemui dalam keadaan dibalut dengan kain tuala adalah akibat dicekik. Begitu juga dengan Daniel yang diracun terlebih dahulu sebelum dibunuh. Selepas melakukan pembunuhan tersebut, Chris bertindak untuk menggantung diri di dalam bilik gim rumahnya.

Chris Benoit dan Eddie Guerrero

    Tindakan Chris ini ternyata mengejutkan ramai pihak lebih-lebih lagi peminatnya. Lagipun dia dikenali sebagai seorang penggusti yang baik dan begitu penyayang kepada keluarganya. Sukar untuk diperjelaskan mengapa Chris sanggup untuk bertindak kejam sedemikian rupa. Menerusi dokumentari berjudul Dark Side of The Ring terbitan Vice, terdapat beberapa teori yang menyebabkan Chris melakukan pembunuhan ini. Teori ini  termasuklah kesan tabiat pengambilan alkohol dan steroid yang diamalkan oleh Chris. Selain itu, laporan bedah siasat Chris juga telah menunjukkan kesan-kesan kecederaan otak Chronic Traumatic Encephalopaty iaitu sejenis penyakit pada otak yang disebabkan kecederaan secara berulang pada bahagian kepala. Teori yang paling banyak diperkatakan ramai pihak adalah disebabkan masalah kemurungan yang dialami oleh Chris selepas kematian rakan karibnya iaitu Eddie Guerrero. Kematian Eddie dikatakan memberikan kesan emosi yang begitu mendalam kepada Chris memandangkan mereka berdua telah berkawan sejak sekian lama. Susah senang bersama dalam dunia gusti.

    Berikutan pembunuhan yang telah dilakukan oleh Chris, pihak WWE terus bertindak untuk memadamkan semua rekod Chris dari arkib mereka. Biarpun tindakan WWE ini dikecam oleh sesetengah pihak, namun ia adalah keputusan terbaik sebagai kempen kesedaran tentang bahayanya pengambilan dadah.

David Benoit - Vice

    Meskipun Chris Benoit akan terus diingati sebagai pembunuh, namun satu perkara yang memang tidak dinafikan lagi adalah kenyataan bahawa dia merupakan salah seorang penggusti terhebat sepanjang zaman. Sementara itu, David yang juga merupakan anak lelaki daripada perkahwinan pertama Chris tetap menganggap ayahnya sebagai idola. Bahkan David juga berhasrat untuk bergusti kelak dengan menggunakan nama Chris Benoit Jr. 

Catat Ulasan for "CHRIS BENOIT: Legenda WWE yang Terpaksa Dilupakan"