KISAH FREDERIC BOURDIN : Lelaki Dewasa yang Menyamar Sebagai Kanak-kanak
Nicholas Barclay
Pada 13 Jun 1994, seorang remaja lelaki bernama Nicholas Barclay yang berusia 13 tahun telah keluar dari rumah untuk bermain bola keranjang bersama rakan-rakannya. Nicholas juga ada diberikan wang saku sebanyak $5 daripada ibunya. Selepas selesai bermain, Nicholas menelefon ke rumah untuk meminta ibunya mengambil dia pulang ke rumah. Walau bagaimanapun, panggilan Nicholas itu telah dijawab oleh abangnya iaitu Jason. Memandangkan ibu mereka sedang tidur ketika itu, Jason menyuruh Nicholas untuk pulang ke rumah dengan berjalan kaki. Namun tiada siapa sangka dalam panggilan telefon itulah kali terakhir suara Nicholas didengari. Dia tidak lagi pernah kembali ke rumah selepas itu.
Pada bulan Oktober 1997, pihak polis San Antonio telah menerima panggilan seorang penghuni lelaki dari rumah perlindungan Linares, Sepanyol. Lelaki itu memberitahu bahawa terdapat seorang remaja lelaki di bawah jagaan mereka telah membuat pengakuan bahawa dia adalah Nicholas Barclay.
Lelaki yang mengaku sebagai Nicholas Barclay di Sepanyol.
Menurut penjelasan Nicholas, dia telah berjaya melarikan diri daripada tahanan sindiket pelacuran kanak-kanak yang didalangi oleh ahli politik Eropah berpengaruh dan pegawai tentera berpangkat tinggi. Pada masa sama, Nicholas juga mendakwa bahawa dia telah mempelajari bahasa Perancis. Keluarga Nicholas yang dimaklumkan tentang berita tersebut ternyata berasa sangat gembira. Jadi, Carew iaitu kakak Nicholas telah pergi ke Sepanyol untuk menjemput sendiri adiknya untuk kembali ke pangkuan keluarganya.
Pada mulanya, Nicholas berasa begitu takut kerana berasa bimbang Carew tidak akan dapat untuk mengecamnya. Walau bagaimanapun, Carew kemudian mengesahkan Nicholas yang baru ditemui itu merupakan adik lelakinya. Sebelum Nicholas dibenarkan pulang, dia telah diminta untuk mengecam ahli keluarganya melalui sesi pengecaman foto. Pada sesi tersebut, tekaan Nicholas hanya tersilap sekali saja. Maka Nicholas pun diserahkan kembali kepada keluarganya.
Frederic Bourdin
Namun, tunggu sekejap! Nicholas itu bukanlah Nicholas Barclay yang sebenarnya. Dia sebaliknya adalah seorang lekaki bernama Frederic Bourdin yang menyamar sebagai Nicholas Barclay. Frederic telah berjaya dengan penyamarannya sebagai Nicholas untuk tempoh seketika. Dia dapat meyakinkan keluarga Nicholas bahawa dirinya sering didera semasa penculikan sekaligus telah menyebabkan warna matanya bertukar. Frederic tinggal bersama keluarga Nicholas selama lima bulan.
Selain itu, terdapat juga ura-ura mengatakan bahawa keluarga Nicholas sebenarnya sudah lama dapat menghidu tentang penyamaran Frederic. Perkara ini disebabkan keadaan fizikal dan perwatakan Frederic adalah jauh berbeza sekali dengan Nicholas yang sebenar. Namun, keluarga Nicholas dikatakan sengaja mendiamkan diri atas sebab-sebab tertentu. Hinggalah lewat tahun 1997, seorang penyiasat persendirian yang terlibat dalam sesi penggambaran bersama keluarga Nicholas mula berasa curiga dengan Frederic. Dia kemudian membuat perbandingan antara telinga Frederic dan Nicholas menerusi foto. Penyiasat itu mendapati bahawa perbezaan yang begitu ketara antara telinga Bourdin dan Nicholas.
Pada Februari 1998, pihak FBI berjaya mendapatkan perintah mahkamah untuk mendapatkan cap jari dan DNA Frederic. Hasil analisa tersebut kemudian telah membawa kepada pembongkaran penyamaran Frederic. Frederic yang seterusnya didakwa telah dipenjarakan selama enam tahun. "The Chameleon" merupakan gelaran yang diberikan oleh pihak media kepada Frederic atas siri penyamarannya. Selepas dibebaskan dari Perancis, Frederic kembali ke Perancis pada tahun 2003 dan menetap di Grenoble. Dia yang tidak pernah serik menyamar pula sebagai Leo Balley iaitu seorang kanak-kanak lelaki yang hilang di Perancis pada tahun 1996. Penyamarannya itu bagaimanapun terbongkar selepas ujian DNA yang dilakukan oleh pihak berkuasa mengesahkan bahawa Frederic bukan Leo Balley.
Bulan Ogos 2004, Frederic yang telah pun menetap di Sepanyol sekali lagi melakukan penyamaran dengan menggunakan identiti sebagai Ruben Sanchez Espinoza. Menurut Frederic, ibunya telah terkorban dalam peristiwa pengeboman kereta api Madrid. Sebaik saja pihak polis mengetahui tentang pemyamarannya, Frederic telah dihantar semula ke Perancis dengan serta merta. Pada bulan Jun 2005, Frederic menyamar pula sebagai Francisco Hernandes-Fernandez iaitu remaja yatim piatu yang berusia 15 tahun. Meskipun dia berpakaian serta bergaya ala-ala seorang remaja, penyamaran Frederic telah dibongkar oleh salah seorang cikgu sekolahnya. Dia kemudian meringkuk di penjara selama 4 bulan.
Sedikit tentang latar belakangnya, Frederic Bourdin dilahirkan pada 13 Jun 1974 di Nanterre, Perancis. Sewaktu kecil dia tinggal bersama-sama datuk serta neneknya di Nantes, Perancis. Seperkara yang agak menyedihkan, Frederic tidak pernah mengenali ayah kandungnya sendiri. Hingga satu masa, Frederic telah melarikan diri dari rumahnya untuk menetap di Paris. Frederic menamatkan zaman bujang pada 8 Ogos 2007 dengan mengahwini wanita pilihannya yang bernama Isabelle. Hasil perkahwinan tersebut, mereka berdua telah dikurniakan empat orang cahaya mata. Menurut laporan tertentu, Frederic dikatakan gemar untuk melakukan penyamaran sebagai kanak-kanak kerana ingin diberi perhatian dan merasai kasih sayang yang tidak pernah dia rasai semasa zaman kanak-kanaknya.
Trailer video di atas yang berjudul The Imposter (2012) merupakan filem dokumentari tentang kisah hidup Frederic Bourdin.
Done read # neo
BalasPadam