Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH KALINKA BAMBERSKI : 30 Tahun Mencari Keadilan untuk Anak


    Andre Bamberski merupakan seorang akauntan yang telah berkahwin dengan gadis pilihannya bernama Daniele Gonnin. Menerusi perkahwinan tersebut, pasangan itu telah dikurniakan dua orang anak iaitu Kalinka dan Nicolas. 

    Keluarga bahagia itu menetap di Cassablanca, Maghribi pada sekitar tahun 1970an. Pada waktu itulah bermulanya satu detik hitam untuk Andre apabila Daniele telah menjalinkan hubungan sulit dengan Dieter Kombrach yang juga merupakan seorang doktor yang bertugas di Konsulat Jerman. Malah, Daniele akhirnya lebih rela memilih untuk bercerai demi mengahwini Kombrach. Selepas penceraian tersebut, Kalinka dan Nicolas menetap bersama Daniele dan bapa tiri mereka di Jerman.

Kalinka (Youtube)

    Pada bulan Julai 1982, Kalinka yang berusia 14 tahun telah ditemui mati di atas katil bilik tidurnya. Sebaik saja Andre yang berada di Perancis mendengar berita kematian anak perempuan kesayangannya itu, dia begitu sukar untuk menerima kenyataan. Malah Andre juga mempersoalkan punca kematian Kalinka yang dianggapnya sebagai langsung tidak munasabah. 

    Hati siapa tidak luluh apabila melihat sendiri jasad anak kandung sendiri yang sudah tidak lagi bernyawa. Anak yang dulu dibelai-belai pergi buat selama-lamanya. Tiada lagi senyuman dan ketawa riang antara bapa dan anak. Semuanya tinggal kenangan. Mengikut kata nalurinya sebagai seorang bapa, Andre mula mengesyaki bahawa Kombrach adalah satu-satunya individu yang bertanggungjawab terhadap kematian Kalinka. 

Dieter Kombrach

    Menerusi keterangan yang diberikan oleh Kombrach, dia telah memberikan suntikan zat besi terhadap Kalinka pada malam kejadian untuk rawatan anemia. Selain itu, ubat tidur juga ada diberikan. Berdasarkan laporan bedah siasat, Kalinka didapati telah tersedak muntah semasa tidur. Bahagian kemaluannya yang juga koyak ada mengalami pendarahan. Terdapat juga kesan suntikan pada kaki dan tangan Kalinka. Makanan pula belum dicerna sepenuhnya dalam perut. Walau bagaimanapun, punca sebenar kematian Kalinka diklasifikasikan sebagai "kurang jelas". Setelah membaca sendiri salinan laporan bedah siasat tersebut, Andre yakin bahawa Kalinka sebenarnya telah dicabul oleh Kombrach. Menguatkan lagi dakwaannya itu, prosedur bedah siasat didapati melanggar protokol kerana disaksikan oleh pegawai polis, pihak pendakwa raya dan juga Kombrach sendiri.

    Apa yang lagi menyakitkan hati Andre, Kombrach langsung tidak pernah dipanggil untuk memberi keterangan ataupun disoal siasat oleh mana-mana pihak berkuasa Jerman. Disebabkan rasa tidak berpuas hati, Andre telah bertindak untuk menyebarkan risalah terhadap orang awam tentang perbuatan sebenar Kombrach. Kombrach yang tidak mendiamkan diri bertindak balas dengan memfailkan saman fitnah terhadap Andre. Mahkamah yang pada kemudiannya memihak kepada Kombrach telah memerintahkan Andre untuk membayar sejumlah wang. Namun, semangat Andre yang ingin menegakkan kebenaran tidak pernah luntur. Wang denda tersebut tidak pernah pun dibayarnya walaupun satu sen. 

    Hari demi hari, tahun demi tahun kian berlalu. Andre rela berkorban dengan sanggup menghabiskan wang untuk mengupah peguam terkenal Jerman ketika itu iaitu Rolf Bossi bagi mengendalikan kes Kalinka. Pad tahun 1987, nasib sekali lagi tidak menyebelahi Andre. Kes kematian Kalinka dianggap selesai oleh pihak Mahkamah Tertinggi Munich selepas mendapati tiada sebarang bukti kukuh yang diperolehi untuk menyabitkan kesalahan Kombrach. 

    Pengurusan kes Kalinka ini sebenarnya telah membabitkan campur tangan pihak kerajaan antara dua buah negara. Pihak Perancis pernah memohon Kombrach dibicarakan melalui undang-undang ekstradisi. Bagaimanapun permohonan ini telah ditolak mentah-mentah oleh pihak Jerman. 

    Ekoran desakan Andre, pihak mahkamah Perancis telah menjalankan perbicaraan kes Kalinka pada tahun 1995 (perbicaraan tanpa hadir ke mahkamah). Keputusan perbicaraan menyaksikan Kombrach dijatuhkan hukuman penjara 15 tahun atas kesalahan membunuh. Keputusan ini bagaimanapun telah dikecam dan dibatalkan oleh Mahkamah Hak Asasi Eropah kerana Kombrach tidak diberi peluang langsung untuk mempertahankan diri. 

    Menjelang tahun 1997 iaitu 15 tahun selepas kejadian, satu sinar baru muncul untuk Andre. Seorang pesakit yang berusia 16 tahun telah tampil ke hadapan dengan mengeluarkan kenyataan bahawa dia pernah diperkosa oleh Kombrach. Kenyataan itu sekaligus membawa kepada hukuman penggantungan penjara dua tahun ke atas Kombrach dengan lesen perubatannya digantung serta merta. Keberanian gadis muda itu ternyata memberikan semangat kepada lima orang lagi gadis yang pernah menjadi mangsa nafsu serakah Kombrach untuk membuat pengakuan. Malangnya, dakwaan kesemua lima orang mangsa itu ditolak kerana kekurangan bukti forensik.

    Pada tahun 2008, Kombrach menetap di Scheidegg, Jerman selepas menjalani hukuman penjara. Pada masa sama, waktu semakin suntuk untuk Andre. Dia menyedari had statut 30 tahun undang-undang Perancis bakal tamat pada tahun 2012. Andre juga mendapat maklumat tentang Kombrach yang masih lagi berkhidmat sebagai doktor telah menerima tawaran pekerjaan di Afrika dan akan meninggalkan Jerman pada masa terdekat.

    Hinggalah satu hari, Andre menerima satu panggilan telefon misteri. Si pemanggil telefon yang memperkenalkan diri sebagai Anton itu menawarkan khidmatnya untuk menculik serta membawa Kombrach ke Perancis. Bayaran upah yang dipinta Antom hanyalah sebanyak 20 000 Euro. Perkara itu terus dipersetujui oleh Andre. 


    Tanggal 17 Oktober 2009, Kombrach dibelasah teruk oleh tiga orang lelaki di rumahnya sendiri. Selepas dibelasah, Kombrach yang diikat telah dihumban masuk ke dalam kereta dan seterusnya dibawa masuk ke Perancis merentasi sempadan Perancis. Sampai di Perancis, Kombrach dicampak di bandar Mulhouse. Dia yang kemudiannya ditemui oleh pihak polis didapati merupakan seorang individu yang paling dikehendaki oleh pihak berkuasa Perancis. Sama seperti keadaan sebelumnya, pihak Jerman menuntut Kombrach dikembalikan ke negara mereka. Permintaan itu bagaimanapun tidak mendapat sebarang layanan oleh kerajaan Perancis.

    Malang tidak berbau apabila salah seorang penculik Kombrach telah tercicir sehelai nota di rumah Kombrach. Butiran nota itu mengandungi maklumat nama dan juga alamat tempat penginapan Andre sekaligus mendedahkannya sebagai dalang utama penculikan. Meskipun Andre telah ditangkap oleh pihak berkuasa, dia kemudian dibebaskan semula dengan jaminan atas dasar simpati. 

    Sekian lama menunggu, akhirnya kemenangan berpihak kepada Andre. Kombrach yang dibicarakan telah didapati bersalah atas kesalahan membunuh lalu dijatuhkan hukuman penjara 15 tahun. Perjuangan Andre selama 30 tahun tidak sia-sia. 

    Sejurus saja kes itu selesai, Andre berkata :

    "Saya mengakui bahawa saya adalah dalang utama penculikan Kombrach ke Perancis. Sekarang, saya berharap kehidupan seharian saya kembali normal. Saya sudah berasa tenteram. Saya tidak perlu lagi menghabiskan masa berjam-jam, semalaman dan seharian untuk meneliti fail kes anak saya. Saya sudah menunaikan janji untuk menegakkan keadilan dan mencari kebenaran. Kalinka adalah seorang gadia cantik yang tidak sepatutnya menjadi mangsa khabar angin tentang penyebab kematiannya. Kerja saya telah pun selesai."

    Kepada Andre Bamberski, awak adalah salah seorang bapa terhebat dekat muka bumi ini.

Trailer filem berdasarkan kes Kalinka yang berjudul Kalinka/Au nom de ma fille (2016)

Catat Ulasan for "KISAH KALINKA BAMBERSKI : 30 Tahun Mencari Keadilan untuk Anak"