KISAH PEMBUNUHAN KEJAM KELUARGA CHOHAN
Pada tahun 2003, seorang lelaki India bernama Amarjit Chohan sudah pun bergelar sebagai seorang ahli perniagaan berjaya di England dengan menjalankan syarikat perusahaan kargo yang dikenali sebagai CIBA Freight. Chohan sangat bertuah kerana memiliki seorang isteri muda cantik iaitu Nancy yang baru berusia 25 tahun ketika itu. Mereka berdua juga mempunyai dua orang anak lelaki yang comel iaitu Davinder (18 bulan) dan Ravinder (2 bulan). Sementara itu, ibu mentua Chohan iaitu Charanjit tinggal sekali bersama keluarga yang sangat bahagia tersebut.
Chohan merupakan seorang majikan yang sangat baik, mesra dan
berfikiran terbuka. Selain itu, dia sering meraikan pekerjanya dengan
membelikan mereka minuman serta makanan. Hubungan mereka sangatlah mesra bagaikan
sekeluarga yang saling sayang menyayangi.
Pada sekitar tahun 2003, seorang bekas banduan bernama Kenneth Rogan telah memohon pekerjaan di syarikat Chohan. Lima tahun sebelumnya, Kenneth bukan calang-calang orang. Dia merupakan pengedar dadah terkenal yang sering berurusan dengan kumpulan-kumpulan samseng dan penjenayah di sekitar kota London. Sepanjang hidupnya sebagai pengedar dadah, dia dijolok dengan gelaran Captain Cash kerana beg bimbit yang dibawanya sentiasa dipenuhi dengan wang tunai. Hidupnya hanyalah untuk berjoli sakan. Modus operandi Kenneth untuk melakukan kerja-kerja pengedaran dadahnya adalah dengan berselindung di sebalik syarikat pengangkutan yang ditubuhkannya.
Namun seganas-ganas Kenneth, dia telah jatuh hati dengan seorang wanita kaya bernama Belinda Bruin yang ditemuinya semasa bersantai di sebuah bar mewah di London. Sejak pertemuan itu, Kenneth sering menganggu Belinda dengan menghantar e-mel, teks mesej dan membuat panggilan telefon. Pada 17 Jun 1998, Kenneth telah ditangkap oleh pihak berkuasa kerana memiliki 25 kilogram dadah jenis heroin. Dia kemudian dijatuhkan hukuman penjara selama 20 tahun. Bagaimanapun, tempohan hukuman tersebut dipendekkan kepada 3 tahun selepas Kenneth bersetuju untuk memberikan bukti serta maklumat penting dalam usaha pihak berkuasa melumpuhkan sindiket dadah. Jadi, Kenneth pun dibebaskan pada tahun 2002. Cumanya kali ini dia sudah pun jatuh miskin. Kenneth yang tidak pernah insaf seterusnya mensasarkan Chohan sebagai mangsa untuk melakukan semula kerja-kerja pengedaran dadah.
Berbalik dengan cerita permohonan pekerjaan Kenneth,
permohonannya itu telah diterima oleh Chohan. Prinsip Chohan, semua orang
berhak diberi peluang kedua memandangkan dia sendiri pernah dipenjarakan akibat
penipuan cukai. Jadi, apa salahnya pula dia memberikan peluang kepada orang
lain untuk memulakan kehidupan.
Sejurus selepas diterima bekerja di syarikat Chohan, Kenneth
terus memulakan rancangannya untuk memerangkap Chohan. Kenneth memberitahu Chohan
kononnya terdapat seorang pelabur yang berniat untuk membeli syarikat CIBA
Freight dengan pembelian secara tunai. Chohan yang kebetulan mempunyai niat untuk
bersara demi meluangkan masa bersama keluarganya telah bersetuju dengan
pembelian tersebut. Lagipun, si Nancy sudah lama menyatakan hasratnya untuk
kembali menetap di India. Pada masa sama, Kenneth telah menawarkan Belinda
jawatan sebagai pengarah urusan CIBA Freight yang bakal diambil alih olehnya.
Tanpa sebarang keraguan, Belinda terus bersetuju dengan tawaran tersebut.
Pada 13 Februari 2003, Chohan telah keluar untuk pergi berjumpa dengan pelabur seperti yang telah dicanangkan oleh Kenneth. Pada waktu itulah kali terakhir Chohan dilihat. Beberapa hari kemudian, para pekerja syarikat CIBA Freight dikejutkan dengan pengumuman Kenneth yang memberitahu tentang pelantikan Belinda sebagai pengarah urusan syarikat yang baru. Mereka semua berasa ragu-ragu dengan pelantikan tersebut kerana beranggapan tidak semudah itu Chohan akan meninggalkan syarikat. Namun mereka semua terpaksa akur dengan keputusan itu memandangkan Kenneth mempunyai surat hitam putih yang ditandatangi oleh Chohan sendiri.
Pada hari kedua selepas pengambilalihan syarikat, Belinda
telah jatuh sakit. Sewaktu dalam perjalanan pulang ke rumahnya, Belinda
ternampak dua orang lelaki bernama William Horncy dan Peter Rees yang juga
merupakan kawan kepada Kenneth sedang melakukan kerja-kerja saliran parit di
kawasan tanahnya tanpa sebarang kebenaran. Belinda yang ternyata tidak berpuas
hati dengan keadaan itu telah ditenangkan oleh Kenneth yang muncul pada waktu kemudiannya.
Kenneth memberitahu bahawa saliran parit tersebut memang perlu dibuat
penambahanbaikan untuk keselamatan.
Di New Zealand, abang Nancy iaitu Onkar Verma yang bekerja sebagai wartawan mula berasa bimbang selepas gagal untuk menghubungi Nancy bermula dari tarikh 15 Februari 2003. Pada sebelumnya, Onkar sudah pun mempunyai rancangan untuk melakukan pertemuan dengan Nancy serta ibunya kerana mereka sudah tidak berjumpa selama 9 tahun. Ekoran berasa bimbang terhadap keselamatan Nancy, Onkar telah bertindak untuk menghubungi pihak polis Metropolitan. Berdasarkan pemeriksaan dan siasatan yang dijalankan oleh pihak polis, mereka membuat kesimpulan awal bahawa keluarga Chohan sudah pulang ke India. Onkar yang tidak berpuas dengan hasil siasatan itu telah membuat keputusan untuk terbang sendiri ke England. Dia yang kemudian dikejutkan dengan keadaan rumah Chohan yang sangat bersepah mengesyaki ada perkara buruk yang telah berlaku. Jadi, Onkar terus menggesa pihak polis untuk melakukan siasatan yang menyeluruh.
Langkah siasatan pihak polis adalah dimulakan dengan menyoal
siasat individu terakhir yang dilihat bersama Chohan tidak lain tidak bukan Kenneth.
Menerusi keterangannya, Kenneth cuba untuk berdolak dalih. Polis sebenarnya
telah berjaya mengesan data telefon Kenneth dan Chohan yang berada di satu
titik lokasi sama pada hari kejadian. Sesudah sampai di kawasan tersebut,
Kenneth dikesan ada menghubungi dua lagi individu.
Menyedari Kenneth melakukan penafian secara berterusan, maka pihak polis menumpukan pula perhatian mereka kepada Belinda yang berkemungkinan besar boleh membantu siasatan. Kenneth yang terlebih dahulu dapat menghidu perkara itu mengambil satu langkah ke hadapan dengan menghubungi Belinda. Belinda yang tidak tahu mengenai apa- apa telah diberikan amaran oleh Kenneth untuk berhati-hati semasa memberikan keterangan. Bagaimanapun, siasatan tersebut tertangguh seketika selepas pihak polis mendapat satu maklumat baru bahawa Chohan sedang berada di negara Wales. Pada masa inilah Kennet, William dan Peter telah pergi ke rumah Belinda dengan membawa sekop dan jengkaut. Belinda diberitahu oleh Kenneth bahawa mereka terpaksa mengstruktur semula saliran parit yang telah diubahsuai sebelum ini. Sekali lagi, perkara ini telah dipersetujui Belinda sendiri.
Pihak polis yang
berada di Wales pula menyedari bahawa mereka telah tertipu selepas mendapati
Chohan tidak munculkan diri di sana. Jadi, mereka terpaksa berpatah balik ke
rancangan asal iaitu menyoal siasat Belinda. Belinda memberikan kerjasama yang
sepenuhnya terhadap pihak polis dengan memberitahu tentang projek saliran parit
yang telah dilakukan oleh Kenneth dan rakan-rakannya. Mendengar perkara
tersebut, pihak polis bergegas melakukan proses penggalian di kawasan saliran
parit itu kerana mereka mengesyaki berkemungkinan di situlah jasad keluarga
Chohan ditanam. Pasukan pencarian pihak polis itu bukan calang-calang pasukan.
Ada antara mereka yang merupakan pakar arkeologi dan patologi. Malangnya selepas
lima hari proses pencarian itu dibuat, tiada sebarang mayat yang berjaya
ditemui. Bagaimanapun, operasi penggalian tetap diteruskan.
Hanya dua bulan selepas kejadian, barulah kes ini mula menampakkan lubang dengan mayat Chohan akhirnya berjaya ditemui. Mayat Chohan itu bukan ditemui di dalam saliran parit, sebaliknya terapung di sekitar lautan Bournemouth. Berdasarkan laporan bedah siasat mayatnya, Chohan dipercayai telah dibelasah, didera dan diseksa oleh Kenneth yang ingin mendapatkan tandatangannya. Chohan yang juga menyedari bahawa dia bakal dibunuh telah sempat menulis alamat Kenneth pada kertas sebelum dimasukkan ke dalam stokingnya. Ia adalah sebagai petunjuk Chohan kepada pihak polis tentang dalang sebenar kes jika mayatnya berjaya ditemui. Pada masa sama, pasukan pencarian berjaya menemui helaian rambut di dalam kawasan saliran parit yang dikenal pasti sebagai milik Chohan. Jadi, teori awalnya Chohan yang dibunuh telah ditanam di dalam saliran parit tersebut. Mayatnya kemudian digali semula, lalu dibuang ke lautan. Pengakhiran hidup yang menyedihkan untuk Chohan. Menerusi penemuan mayat Chohan, masa usaha pencarian Nancy, Charanjit, Davinder dan Ravinder telah dipertingkatkan.
Selepas penemuan mayat Chohan, suspek utama iaitu Kenneth
dan William telah melarikan diri ke negara Eropah yang lain. Maka tinggallah
Peter yang terkapai-kapai seorang diri. Disebabkan begitu tertekan akibat ditinggalkan
Kenneth, Peter bertindak membuat
pengakuan dengan tuan rumah sewanya tentang penglibatannya dalam kes keluarga
Chohan. Menerusi pengakuannya itu, Peter memberitahu bahawa semua mangsa telah
ditembak oleh Kenneth. Tuan rumah sewa kemudian menyalurkan maklumat pengakuan
tersebut kepada pihak berkuasa. Hasil risikan pihak polis, Peter akhirnya
berjaya ditangkap. Namun sepanjang penahanannya, Peter enggan untuk membuka
mulut bagi menceritakan perkara yang sebenar.
Kira-kira tiga minggu selepas penahanan Peter, mayat Nancy yang sudah pun mereput telah ditemui nelayan dalam keadaan terapung. Empat bulan berikutnya, mayat Charanjit pula ditemui terdampar di kawasan persisir pantai Pulau Wight.
Selepas dua bulan diburu oleh pihak berkuasa, Kenneth berjaya jua ditangkap di Belgium diikuti dengan tindakan William yang menyerahkan diri. Walaupun Kenneth, William dan Peter ttelah ditangkap, mereka bertiga tetap membuat penafian tentang penglibatan mereka dalam kes keluarga Chohan ini. Siasatan sebenarnya agak rumit memandangkan tiada sebarang saksi dan bukti kukuh. Satu-satunya bukti yang sedia ada adalah data lokasi telefon Kenneth yang memastikan dia adalah individu terakhir dilihat bersama Chohan.
Ini adalah kronologi ringkas dalam kes ini.
- Chohan keluar dari pejabat untuk pergi berjumpa dengan Kenneth . Chohan kemudiannya gagal dikesan.
- Nancy,Charanjit, Davinder dan Ravinder juga dilaporkan hilang.
- Belinda ternampak William dan Peter sedang sibuk melakukan projek saliran parit di kawasan tanahnya. Berkemungkinan besar pada waktu ini, William dan Peter dalam proses melakukan kerja-kerja penanaman mayat keluarga Chohan.
- Onkar Varma membuat laporan polis tentang kehilangan anggota keluarganya.
- Pihak polis melakukan siasatan secara menyeluruh.
- Kenneth, William dan Peter melakukan projek saliran parit buat kali kedua. Mereka bertiga disyaki menggali semula kubur mangsa dan kemudian membuang mayat semua mangsa di tempat lain.
Berikutan kekurangan bukti, pihak polis tidak dapat untuk memberikan anggaran waktu yang tepat dan lokasi sebenar pembunuhan keluarga Chohan. Apa yang dapat dipastikan adalah Chohan dibunuh semasa dalam penculikan. Nasib bagaimanapun tiba-tiba menyebelahi pihak polis apabila anak kepada salah seorang suspek telah tampil untuk menyerahkan barangan bukti iaitu mesin pencetak dan juga beg bimbit mengandungi beberapa helaian kertas A4 putih yang mengandungi tandatangan Chohan. Pada akhirnya, pihak juri perbicaraan telah memutuskan bahawa Kenneth, William dan Peter didapati bersalah atas pertuduhan membunuh keluarga Chohan. Kenneth dan William diperintahkan untuk menjalani hukuman penjara seumur hidup manakala Peter pula dipenjarakan selama 23 tahun.
Berkenaan dengan nasib bayi Davinder dan Ravinder, mayat mereka berdua tidak pernah berjaya ditemui. Sementara itu, Onkar Verma ternyata begitu bersedih atas kejadian yang menimpa keluarganya itu. Hingga pada hari ini, dia masih memikirkan bagaimana mereka semua dibunuh. Adakah Nancy dibunuh di depan ibunya atau ibunya dibunuh di depan Nancy atau Davinder dan Ravinder dibunuh di depan Nancy dan ibunya?
cerita nie paling sedih saya baca wak... thumbs up jack! awak dah kawin belum?
BalasPadam