Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH LACEY SPEARS : Bunuh Anak Sendiri Demi Mendapatkan Perhatian

  

    Kita semua sedia tahu bahawa binatang pun sayangkan anaknya. Artikel kali ini mengisahkan tentang seorang wanita bergelar ibu bernama Lacey Spears yang sanggup membunuh kandungnya sendiri hanya semata-mata ingin mendapatkan perhatian di media sosial. Lacey Spears dikatakan mengidap penyakit Munchausen Syndrome iaitu penyakit sama yang dihidap oleh pelaku dalam kisah benar Gypsy Rose.

    Pada tahun 2008, Lacey telah melahirkan seorang anak lelaki yang bernama Garnett Paul Thompson. Sewaktu Garnett baru berusia 9 hari, dia telah jatuh sakit hingga terpaksa ditahan di hospital. Lacey mendakwa bahawa Garnett tidak mahu menyusu. Selain itu, badan Garnett juga tidak membesar menandakan bahawa perkembangannya adalah tidak normal.


    Hari demi hari berlalu, semakin banyak jenis penyakit yang dihidapi oleh Garnett. Sampai satu tahap, doktor sendiri berasa pelik dengan situasi itu. Ini kerana berdasarkan pemeriksaan mereka ke atas kesihatan Garnett menunjukkan keputusan yang normal.  Pada masa sama, Lacey telah meminta tiub pemakanan daripada doktor memandangkan anak lelakinya itu enggan untuk makan. Permintaan Lacey tersebut dipersetujui oleh doktor. Meskipun Lacey telah membawa Garnett ke 20 buah hospital bagi mendapatkan rawatan, namun keadaan Garnett masih tetap sama.

    Lacey biasanya akan bercerita tentang perkembangan Garnett di blog dan Facebook yang kemudiannya telah mendapat simpati dan sokongan daripada ramai pihak. Bagi menikmati kehidupan yang lebih baik untuk Garnett, maka Lacey pun berpindah ke Chesnut Ridge, New York. Mereka berdua tinggal di dalam komuniti yang dinamakan sebagai The Fellowship iaitu tempat untuk warga emas dan orang kurang upaya. Di situ, Lacey kerap bercerita tentang semua penyakit yang dihidapi oleh Garnett. Jadi, semua orang beranggapan bahawa Lacey adalah seorang ibu yang sangat penyayang dan tabah.


    Lama-kelamaan tinggal di komuniti The Fellowship, Garnett semakin mendapat perhatian selepas dia kerap kali dilihat bermain dan makan seperti kanak-kanak normal lain yang sebaya dengannya. Berikutan perkara itu, jiran-jiran di sekeliling mula berasa sangsi dengan semua cerita Lacey pada sebelum ini. Rasa sangsi tersebut bagaimanapun bertukar menjadi kesedihan selepas Lacey mengemas kini cerita dalam blognya mengenai mendiang tunangnya bernama Blake yang juga merupakan bapa kandung kepada Garnett. Menurut Lacey, mendiang Blake merupakan bekas seorang anggota polis yang telah meninggal dunia akibat nahas jalan raya.

    Satu hari, Garnett yang sudah berusia 5 tahun yang diserang demam panas telah dibawa ke hospital. Lacey kemudian memberitahu doktor bahawa Garnett terkena serangan sawan. Walau bagaimanapun, doktor yang bertugas mendapati keadaan Garnett adalah normal. Bahkan Garnett siap dibenarkan untuk pulang ke rumah. Namun tidak lama selepas itu, Garnett tiba-tiba disahkan mati di bilik wad. Situasi tersebut sangat pelik kerana pada sebelumnya doktor baru sahaja mengesahkan Garnett tidak mempunyai sebarang masalah. Disebabkan berasa curiga, doktor tersebut telah menghubungi pihak polis. Pada masa sama, Lacey ada memuat turun status di Facebook untuk berkongsi tentang berita kematian Garnett yang sangat menyedihkan.

Video saat-saat akhir Garnett sebelum kematiannya

    Berdasarkan keputusan darah Garnett telah menunjukkan bahawa dia sememangnya diracun. Maka pihak polis memang mengesyaki bahawa Lacey sendiri yang bertanggungjawab atas kematian anaknya. Sewaktu Lacey disoal siasat, dia sempat bercerita tentang mendiang Blake. Kebetulan pula waktu itu ayah Lacey baru sahaja tiba di hospital sejurus selepas mendengar berita tentang kematian cucunya. Tidak lama kemudian, ada seorang anggota polis telah mengucapkan ucapan takziah kepada ayah Lacey atas kematian Blake.  Apabila mendengar nama Blake, ayah Lacey terus terpinga-pinga. Kata ayah Lacey,

    “Siapa Blake?”

    Selepas disiasat tentang perkara ini, satu lagi plot twist telah berlaku. Individu bernama Blake yang dimaksudkan oleh Lacey tidak mempunyai sebarang rekod kematian mahupun kemalangan. Dia yang sebaliknya merupakan seorang anggota Sherif di Abalama mengaku pernah keluar bersama Lacey, namun menafikan ada berlakunya sebarang hubungan seksual antara mereka berdua. Ini bermaksud Blake bukan bapa kepada Garnett.

    Berdasarkan penggeledahan yang dilakukan oleh pihak polis di apartment Lacey, mereka telah menemui barangan bukti penting seperti mesin pam makanan, ubat-ubatan Garnett dan bekas garam. Seorang jiran Lacey yang bernama Valeria juga telah tampil untuk memberikan maklumat bahawa dia ada dihubungi oleh Lacey yang memintanya untuk membuang beg makanan Garnett dengan kadar segera dalam keadaan berahsia. Beg tersebut yang kemudian dihantar ke makmal didapati mengandungi sodium. Dalam kes ini, Lacey sebenarnya disyaki mengidap Muncahusen Syndrome by proxy iaitu satu keadaan di mana seseorang itu memanipulasikan keadaan untuk menampakkan anak-anak jagaan mereka sakit bagi mendapatkan perhatian daripada orang ramai.

    Menerusi penelitian rakaman kamera pengawasan di bilik wad Garnett, Lacey didapati membawa Garnett ke dalam bilik mandi untuk seketika dan kemudian kembali ke katil. Beberapa minit selepas itu, Garnett dilihat mula mengerang menahan kesakitan. Dia cuba untuk bangun, namun gagal untuk melakukannya. Garnett seterusnya menghembuskan nafas terakhir dengan perlahan-lahan. Pada sebelum itu, Garnett ada membuat carian internet berhubung dengan kata carian “salt poison”.


    Pengakhirannya, Lacey yang didapati bersalah pada perbicaraannya telah diperintahkan untuk menjalani hukuman penjara selama 20 tahun.

1 ulasan for "KISAH LACEY SPEARS : Bunuh Anak Sendiri Demi Mendapatkan Perhatian"