Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH KEHILANGAN SARAH DAN JACOB : Dua Orang Anak Kecil Hilang Angkara Ibu Sendiri

Catherine bersama Sarah dan Jacob

    Pada tahun 2014, Troy Turner dan Catherine Hoggle yang merupakan pasangan kekasih telah mempunyai tiga orang anak. Anak sulung sulung mereka hanya dinamakan sebagai A memandangkan namanya memang dirahsiakan daripada pihak umum. Anak kedua iaitu Sarah berusia 3 tahun manakala si bongsu pula bernama Jacob, 2 tahun.

    Tanggal 7 September 2014, Troy telah pergi menghantar Catherine dan tiga orang anaknya itu ke rumah ibu Catherine yang bernama Lindsay. Pada waktu tersebut juga, ayah Catherine iaitu Randy turut serta berada di rumah itu. Sejurus selepas menghantar keluarganya, maka Troy pun terus pergi ke tempat kerja seperti biasa.

    Selesai waktu bekerja, Troy kembali pulang ke rumah. Belum sempat Troy berehat, Catherine telah mengajaknya untuk pergi ke kedai yang jaraknya hanya tiga minit dari rumah bagi membeli barang. Usai membeli barang, mereka berdua terus pulang ke rumah. Disebabkan berasa terlampau letih, Troy terus melelapkan mata. Dia tidur tanpa sempat untuk mencium anak-anaknya iaitu satu rutin yang memang biasa dilakukannya pada setiap malam.

    Sebaik sahaja bangun daripada tidur keesokan paginya, Troy berasa pelik kerana rumahnya itu agak sunyi. Apabila menyedari ketiadaan Catherine, Sarah dan Jacob, Troy yang berasa panik terus bertindak untuk menghubungi Randy dan Lindsay yang sudah pun keluar pergi bekerja. Masing-masing menjawab tidak tahu tentang keberadaan Catherine dan dua orang lagi cucu mereka.

    Troy seterusnya pergi menghantar si A ke stesen bas untuk pergi ke sekolah. Pada masa sama, Catherine tiba-tiba sahaja muncul. Dia memberitahu Troy bahawa Sarah dan Jacob sudah dihantarnya ke Pusat Penjagaan Kanak-kanak. Troy terasa janggal dengan situasi itu memandangkan tugas untuk menghantar anak-anak adalah memang tugasnya. Alasan Catherine ketika itu adalah kerana enggan untuk menganggu waktu tidur Troy.

    Menjelang waktu tengah hari, tibalah masanya untuk menjemput Sarah dan Jacob pulang dari tempat jagaan mereka. Entah kenapa tiba-tiba Catherine memberitahu Troy bahawa dia langsung tidak dapat untuk alamat mahupun nombor telefon tempat jagaan Sarah dan Jacob. Sekali lagi, Troy yang menjadi panik bergegas untuk menelefon Lindsay yang sedang turut mencari cucunya itu.

    Catherine sebenarnya ada sejarah bergelut dengan penyakit mental, paranoid dan skizofrenia. Troy hanya mengetahui tentang perkara ini hanya selepas si A dilahirkan. Catherine ada memberitahu bahawa konon ada seorang wanita yang selalu mengekorinya. Wanita itu dikatakan berniat untuk merampas A dan Troy. Seperkara lagi tentang Catherine, dia mempunyai satu tabiat aneh iaitu suka menutup mulutnya apabila berbual. Ekoran penyakit Catherine itu, maka sebagai langkah berjaga-jaga dia tidak boleh dibiarkan untuk memandu seorang diri dan tidak dibenarkan tinggal berseorangan dengan anak-anaknya.

    Berbalik dengan kehilangan Sarah dan Jacob, Catherine yang terus gagal untuk mengingati lokasi anak-anaknya itu telah menyebabkan Troy bertindak mengugutnya untuk pergi ke balai polis. Mendengar perkara tersebut, Catherine tiba-tiba dapat mengingati semula lokasi Sarah dan Jacob. Jadi, Troy dan Catherine pun menuju ke lokasi seperti yang dimaksudkan Catherine. Sewaktu dalam perjalanan itu, mereka berdua telah singgah ke restoran Chick-Fill-A kerana Catherine ingin membeli minuman. Catherine bukan sekadar untuk membeli minuman, bahkan cuba menelefon teksi. Jelas sekali dia cuba untuk melarikan diri namun tidak dipastikan kenapa percubaannya itu gagal.

    Selesai membeli minuman, Troy dan Catherine pun masuk semula ke dalam kereta. Pada waktu ini, Catherine tiba-tiba memberitahu Troy bahawa dia ingin masuk semula ke dalam restoran untuk menambah air minumannya. Selepas dibenarkan Troy untuk berbuat sedemikian, Catherine kembali ke restoran dan kemudiannya terus menghilangkan diri! Troy yang menyedari perkara itu terus membuat laporan polis. Dia menceritakan kepada pihak polis dari awal sampai akhir tentang apa yang sudah berlaku. Maka operasi pencarian pun dijalankan untuk mencari Catherine, Sarah dan Jacob.

    Polis berjaya mendapatkan petunjuk awal menerusi dua rakaman kamera pengawasan terhadap Catherine. Rakaman pertama adalah semasa dia berada di restoran Chick-Fill-A. Rakaman kedua, Catherine dikesan berada di sebuah bangunan persekutuan pada jam 4.30 pagi iaitu kira-kira 13 jam selepas rakaman yang pertama. Berdasarkan rakaman kedua itu, Catherine dilihat berpakaian sama seperti dalam rakaman pertama. Apa yang membezakan adalah dia berambut pendek. Cumanya apa yang mengecewakan ramai pihak adalah ketiadaan kelibat Sarah dan Jacob.

    Imbas kembali malam kejadian, Troy pulang ke rumah dan terus tidur tanpa sempat menjenguk untuk anak-anaknya. Apabila siasatan tentang perkara ini diperhalusi, Jacob sememangnya tiada berada di rumah ketika itu. Jacob disyaki sudah pun hilang kerana pada waktu siang hari tersebut Catherine membawanya keluar untuk pergi membeli Pizza. Seperti yang telah diperjelaskan, satu pantang larang untuk Catherine memandu kereta samada secara seorang diri ataupun bersama anak-anak. Berkenaan dengan Sarah, waktu kehilangannya tidak dapat dipastikan. Samada waktu Troy tidur pada malam itu atau keesokan paginya.

    Selepas empat hari menghilangkan diri, Catherine akhirnya berjaya ditemui semula selepas dicam oleh orang awam menerusi fotonya yang sudah tersebar luas. Dia kemudian dibawa ke balai polis untuk disoal siasat. Berdasarkan sesi soal siasat yang dilakukan pihak polis, Catherine memberitahu bahawa Sarah dan Jacob dalam keadaan selamat dan sedang dijaga oleh orang lain. Kenyataan Catherine itu bagaimanapun sukar untuk dipercayai oleh pihak polis dan Troy.

   Timbul juga satu teori dalam kes ini. Anak Troy iaitu si A sebenarnya turut hampir menjadi mangsa. Bila diimbas kronologi kejadian iaitu sewaktu Troy menghantar A ke stesen bas, Catherine tiba-tiba sahaja muncul. Cuba bayangkan apa yang akan berlaku kalau Troy masih lagi tidur pada waktu tersebut?

    Selepas tahun demi tahun berlalu, masih tiada sebarang perkembangan tentang kehilangan Sarah dan Jacob. Tiada satu pun petunjuk dan bukti penting yang ditemui. Jadi, nasib Sarah dan Jacob tidak diketahui sehingga ke hari ini.

    Mengenai Catherine, dia telah diletakkan di bawah pemantauan oleh pihak hospital. Catherine harus disahkan waras atau sebaliknya terlebih dahulu sebelum layak untuk dibicarakan kes kehilangan anak-anaknya itu. Jika kewarasannya tidak dapat ditentukan dalam masa lima tahun, maka dakwaan terhadap Catherine boleh digugurkan. Sementara itu, Troy Turner kini pasrah dan reda apa yang sudah berlaku. Dia pernah mengeluarkan kenyataan rasmi mempercayai bahawa Sarah dan Jacob telah mati dengan Catherine sebagai suspek. Kenyataan tersebut dibuat selepas mengambil kira pandangan daripada pelbagai pihak. Troy juga mengesyaki bahawa Catherine hanya sekadar berpura-pura menjadi gila dalam memberikan keterangan kes kerana dia enggan untuk dihukum penjara. Pendapat itu turut dipersetujui oleh Lindsay. Walau bagaimanapun, Lindsay percaya cucunya itu masih lagi hidup dan selamat dijaga oleh "seseorang" seperti yang diberitahu oleh Catherine.

    Pada perkembangan lain kes ini, pihak mahkamah telah memerintahkan Catherine diletakkan di bawah pemantauan pakar psikiatri yang baru.

1 ulasan for "KISAH KEHILANGAN SARAH DAN JACOB : Dua Orang Anak Kecil Hilang Angkara Ibu Sendiri"

  1. Kemungkinan Catherine bunuh anak-anak dia memandangkan dia ada sejarah paranoid dan skizo tapi macam mana dia lupus mayat anak-anak dia.

    BalasPadam