Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH THE CENTRAL PARK FIVE : Lima Remaja Lelaki Berkulit Hitam yang Teraniaya


Netflix

    Apa yang korang akan rasa apabila korang, adik beradik korang, saudara mara korang atau kawan baik korang sendiri dipenjarakan atas sebab kesalahan yang memang tidak pernah dibuat. 

    Ini adalah kisah lima orang remaja lelaki berkulit hitam yang teraniaya di mana mereka telah dituduh merogol lalu dipenjarakan tanpa sebarang bukti. Satu kes yang memang sangat menggemparkan di Amerika Syarikat ketika itu. 

    Pada malam 19 April 1989, lebih kurang 30 orang remaja berkulit hitam pergi melepak di Central Park, New York. Sebahagian daripada mereka dilaporkan mencetus kekacauan dengan melakukan aktiviti jenayah seperti merompak, menggangu ketenteraman awam dan lain-lain lagi jenayah di kawasan tersebut. 


    Beberapa jam kemudian di tempat yang sama, seorang wanita bernama Trisha Meili telah ditemui dalam keadaan bertelanjang bulat dengan tangan serta kakinya diikat. Menurut laporan, Trisha dilaporkan sedang berjoging sebelum diserang secara mengejut oleh suspek. Dia juga yang dipercayai dibelasah dan dirogol telah terlantar di hospital dalam keadaan koma selama 12 hari. Selepas sedarkan diri, Trisha tidak dapat untuk mengingati sebarang butir kejadian. 

    Berdasarkan siasatan awal yang dijalankan oleh pihak polis, mereka bertindak pantas dengan menahan Kevin Richardson (14 tahun), Raymond Santana (14 tahun), Antron McCray (15 tahun), Yusef Salaam (15 tahun) dan Korey Wise (16 tahun). Pada asalnya, Korey bukanlah salah seorang suspek. Dia  turun ke balai hanya semata-mata untuk memberi sokongan moral sepenuhnya kepada Yusef. Walau bagaimanapun, nasib tidak menyebelahi Korey apabila dia telah disyaki oleh pihak polis sebagai salah seorang suspek.


    Sepanjang sesi soal siasat berjalan, mereka semua telah didera secara emosi dan fizikal. Dalam tempoh lebih 24 jam, tiada sebarang air minuman dan makanan yang diberikan kepada mereka. Selain itu, mereka juga tidak dibenarkan untuk tidur sama sekali. 

    Kevin, Raymond, Antron, Yusef dan Korey mengaku atas dakwaan jenayah yang dilakukan di Central Park namun menafikan sebarang penglibatan mereka dalam insiden merogol Trisha Meili. Lagipun, memang tiada sebarang bukti kukuh untuk mengaitkan kejadian rogol tersebut dengan mereka semua. Bagaimanapun, mereka telah dipaksa oleh pasukan penyiasat untuk mengaku bersalah dengan memberikan keterangan palsu. 

    Selepas melalui dua perbicaraan berasingan, mereka semua akhirnya didapati bersalah atas tuduhan merompak, melakukan serangan, merogol dan percubaan membunuh. Masing-masing dikenakan hukuman penjara antara 6 hingga 13 tahun.

    Jutawan hartanah ketika itu iaitu Donald Trump telah mencetuskan api kemarahan orang ramai ekoran tindakannya yang menaja empat muka surat penuh iklan akhbar New York dengan tajuk, 

    "Bring Back The Death Penalty, Bring Back Our Police!".

    Tindakan Trump yang sememangnya terkenal dengan sikap perkauman itu dilihat cuba untuk menimbulkan ketegangan antara kaum. Beliau begitu yakin bahawa The Central Park Five sememangnya bersalah terhadap kejadian rogol tersebut.

Matias Reyes

    Hinggalah bulan Jun 2002, seorang banduan yang menjalani hukuman penjara seumur hidup bernama Matias Reyes telah tampil ke hadapan untuk membuat satu pengakuan menggemparkan. Menerusi pengakuan tersebut, Matias mengaku bahawa dirinya adalah individu sebenar yang bertanggungjawab dalam kes rogol dan membelasah Trisha Meili. Dakwanya lagi, dia melakukan perbuatan keji itu seorang diri. 

    Selepas siasatan dijalankan, ternyata DNA Matias didapati sepadan dengan DNA yang ditemui di tempat kejadian. Maka benarlah, The Central Park Five tidak bersalah atas dakwaan merogol Trisha. Biarpun pengakuan telah dibuat, Matias tidak lagi boleh didakwa kerana status pendakwaan kes rogol tersebut telah tamat tempohnya.

    Berikutan pengakuan Marias itu, maka Kevin, Raymond, Antron, Yusef dan Khorey akhirnya dibebaskan dengan pertuduhan ke atas mereka sebelum ini turut digugurkan. Kebenaran berpihak kepada mereka berlima hanya selepas 12 tahun. Mereka semua telah memperolehi wang pampasan bernilai $41 juta hasil daripada saman sivil yang difailkan ke atas Bandar Raya New York. Memandangkan Khorey adalah satu-satunya mangsa yang dibicarakan sebagai orang dewasa serta menjalani hukuman penjara yang paling lama, maka dia menerima bahagian wang pampasan paling banyak iaitu dengan jumlah $12 juta. 

    Bak kata pepatah, masa itu emas. Masa akan berlalu pergi dan takkan pernah kembali. Bangun berdiri selepas lama sekian lama terduduk bukannya sesuatu perkara yang mudah. Mangsa The Central Park Five sudah semestinya gembira dibebaskan, namun emosi serta kesan trauma yang dialami akan kekal menghantui mereka seumur hidup. 

    "Awak boleh memaafkan, tapi awak takkan boleh melupakan. Awak takkan lupakan apa yang awak telah hilang. Tiada wang yang boleh kembalikan masa silam. Tiada wang yang boleh kembalikan kehidupan yang telah hilang mahupun masa yang telah diragut." - Korey Wise

Catat Ulasan for "KISAH THE CENTRAL PARK FIVE : Lima Remaja Lelaki Berkulit Hitam yang Teraniaya"