KISAH THE FROG BOYS : Misteri kehilangan 5 Orang Budak Lelaki di Korea Selatan.
Pada tahun 2019, pihak media di Korea Selatan telah
melaporkan berita secara rasmi tentang pembongkaran identiti sebenar pembunuh
bersiri Hwaseong yang telah menjadi rahsia selama 33 tahun. Berbeza pula dengan
kes The Frog Boys yang masih kekal misteri. Mungkinkah akan adanya sinar untuk
kes ini atau ia akan kekal sebagai kisah misteri yang bakal tidak berpenghujung.
Kisahnya bermula pada 26 Mac 1991 apabila lima orang budak
lelaki iaitu Cheol Won (13 tahun), Jo Ho-Yeon (12 tahun), Kim Yeong Gyu (11
tahun) , Park Chan-in (10 tahun) dan Kim Jong-Sik (10 tahun) telah keluar dari
rumah mereka untuk pergi menangkap katak di sekitar Mount Waryong yang jaraknya
hanya lima batu dari kawasan perkampungan mereka. Tatkala mereka keluar itu
tiada apa yang perlu dirisaukan oleh orang tua mereka kerana masing-masing
sudah mahir dengan selok belok kawasan tersebut.
Namun pada kemudiannya lima sekawan itu gagal untuk pulang
kembali ke rumah mereka. Jadi, ibu bapa mereka semua yang berasa bimbang pun
keluar untuk melakukan pencarian. Disebabkan tiada petunjuk langsung yang
berjaya ditemui, maka ibu-bapa budak-budak tersebut bertindak untuk membuat
laporan polis.
Bertindak atas laporan itu, pihak berkuasa terus melancarkan
operasi mencari dan menyelamat secara besar-besaran. Berita kehilangan mangsa
yang telah mendapat liputan meluas daripada pihak media itu juga turut mendapat
perhatian Presiden Korea Selatn iaitu Roh Tae. Beliau telah mengeluarkan arahan
kepada 300 000 orang anggota polis untuk turut serta dalam operasi pencarian.
Walaupun pelbagai usaha dibuat, namun operasi pencarian
tersebut tetap menemui jalan buntu. Apa yang lagi merumitkan keadaan adala
pihak polis menjadi tertekan akibat sering menerima maklumat dan bukti palsu. Bahkan
ada individu yang sanggup mengambil kesempatan melalui panggilan palsu -dengan
memberitahu budak-budak yang telah menjadi mangsa penculikan itu sudah pun mati
ekoran kekurangan zat makanan.
Hinggalah pada 26 September 2002, pihak polis ada dihubungi
oleh seorang lelaki yang mndakwa telah menemui beberapa pasang kasut dan
helaian pakaian yang dipercayai sebagai milik mangsa. Bertindak atas maklumat
tersebut, pihak polis segera melakukan pencarian di lokasi seperti yang telah
diberitahu. Pencarian itu ternyata tidak sia-sia apabila mereka berjaya menemui
sebuah kubur cetek. Selepas proses penggalian dibuat, tulang rangka semua
mangsa dilihat saling berhimpit antara satu sama lain. Jadi, kesimpulan awal
yang boleh dibuat oleh pihak polis berhubung dengan punca kematian mangsa
adalah disebabkan hiportemia. Teori ini bagaimanapun ditentang oleh ibu bapa
mangsa memandangkan mangsa yang telah menanggalkan pakaian mereka. Seperkara
lagi yang agak membingungan adalah dengan kenyataan lokasi penemuan mayat yang
hanyalah kira-kira dua kilometer dari rumah. Bagaimana perkara sedemikian boleh
berlaku sedangkan kerja-kerja pencarian telah dilakukan sebanyak beratus-ratus
kali.
Berdasarkan laporan bedah siasat mendapati tiga daripada tengkorak mangsa mempunyai kesan keretakan akibat dihentak dengan objek tumpul. Terdapat juga kesan darah serta lubang pada tengkorak menandakan berkemungkinan ada berlakunya tembakan. Konkluksi mangsa The Frog Boys sah mati dibunuh.
Mayat semua mangsa akhirnya dikebumikan pada tarikh 25 Mac
2004. Tengkorak semua mangsa juga telah didermakan oleh keluarga mereka kepada
Universiti Gyeongbuk untuk dijadikan sebagai kajian forensik.
Pada perkembangan lain, pihak polis telah menjalankan
siasatan berasingan untuk mengenal pasti identiti seorang lelaki yang sempat
membuat panggilan misteri kepada sebuah akhbar tempatan bertarikh 25 September
2002 iaitu pada sehari sebelum penemuan tulang rangka mangsa. Menerusi
panggilan tersebut, lelaki yang suaranya digambarkan seperti berusia 40an itu memberitahu,
“Kamu akan menemui mayat semua mangsa di Mount Waryong”.
Meskipun pihak polis mempergiatkan untuk menjejaki ID
panggilan itu, identiti lelaki tersebut masih lagi gagal untuk dikenal pasti.
Pada tahun 2006, had statut untuk kes ini telah tamat. Ini
bermaksud jika pelaku berjaya ditangkap sekalipun, dia tidak akan lagi boleh
didakwa. Bagaimanapun, undang-undang statut itu dipinda semula oleh kerajaan
Korea Selatan pada tahun 2015. Jadi, masih ada harapan untuk keluarga mangsa
mencari kebenaran serta menegakkan keadilan.
Catat Ulasan for "KISAH THE FROG BOYS : Misteri kehilangan 5 Orang Budak Lelaki di Korea Selatan."