Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

THE SPRINGFIELD THREE : Misteri Kehilangan Tiga Orang Wanita



    Sherrill Elizabeth Levitt yang  dilahirkan pada 1 November 1944 merupakan seorang ibu tunggal yang bekerja di kedai salon. Kalau dilihat daripada segi penampilannya, Sherrill mempunyai ketinggian setinggi 1.52 meter dan  berat badan sebanyak 50 kilogram. Rambut dan matanya berwarna perang. Sementara itu, anak Sherrill iaitu Suzanne Elizabeth Streeter telah dilahirkan pada 9 Mac 1973. Dia berketinggian 1.65 meter manakala berat badannya pula 46 kilogram. Kepanjangan rambut Suzanne mencecah paras bahu dengan warna mata sama seperti ibunya. Suzie juga mempunyai kesan parut pada bahagian atas lengan kanan dan mempunyai tahi lalat pada bahagian kiri bibir.

    Stacy Kathlin McCall dilahirkan pada 23 April 1974. Dia yang berambut hitam panjang berketinggian 1.60 meter berat mencecah 54 kilogram. Warna matanya pula berwarna perang.

    Pada 6 Jun 1992, Suzanne dan Stacy secara rasminya telah menamatkan pengajian mereka di sekolah mereka. Selesai saja majlis graduasi hari tersebut, Suzanne Stacy dan seorang lagi rakan mereka yang bernama Janelle Kirby menuju ke Branson, Missouri untuk pergi berhibur. Pada asalnya, rancangan mereka adalah untuk menginap di hotel sambil bermain taman tema air White Water dan taman Silver Dollar City.

    Walau bagaimanapun, rancangan mereka untuk bermalam di hotel tersebut terpaksa dibatalkan atas sebab-sebab tertentu. Disebabkan itu, mereka bertiga kemudian menukar merancang untuk pergi bermalam di rumah Janelle. Namun, rancangan tiga sekawan itu terbantut selepas mendapati rumah Janelle telah dikunjungi oleh sanak-saudara serta kenalan keluarganya. Jadi Suzanne dan Stacy yang mengambil keputusan untuk pulang ke rumah Sherrill berjanji akan menghubungi Janelle pada keesokan paginya bagi menyambung semula semua aktiviti yang telah dirancang. Kali terakhir Stacy dan Suzanne dilihat adalah di jalan Battlefield dalam jam lingkungan 2.30 pagi.

    Pada pagi 7 Jun 1992, Janelle telah cuba untuk menghubungi telefon rumah Sherrill. Dek kerana panggilan tersebut langsung tidak dijawab, jadi Janelle pun meninggalkan pesanan mesin telefon kerana beranggapan bahawa rakan-rakannya ketika itu masih lagi sedang tidur. 

    Janelle seterusnya bertindak menghubungi teman lelakinya yang bernama Mike. Tepat jam 9.00 pagi, mereka berdua pun menuju ke rumah Sherrill. Sebaik saja sampai di lokasi, Janelle dan Mike mendapati kereta milik Suzanne, Stacy dan Sherrill masih berada di dalam garaj. Mereka berdua kemudian menjejakkan kaki ke anjung rumah. Di situ, Mike sempat menyapu serpihan kaca lampu anjung rumah yang bertaburan pecah. 


    Mike dan Janelle yang mendapati pintu rumah tidak berkunci itu pun mula mengorak langkah masuk ke dalam dengan langkah perlahan. Di ruang tamu, televisyen tidak dimatikan. Nama Suzanne dan Stacy dipanggil berkali-kali, namun tiada sebarang respon. Mike dan Janelle kemudian telah menemui barangan peribadi penting rakan mereka itu seperti barang kemas, rokok, beg dompet dan ubat migrain. Cadar katil yang berselerak pula memberi tanggapan awal bahawa katil memang ada digunakan pada sebelumnya. 

    Kelihatan juga Cinnamon iaitu anjing belaan Sherrill dalam kegelisahan. Ia seolah-olah memberi gambaran kepada Mike dan Janelle bahawa ada malapetaka yang buruk telah berlaku di rumah Sherrill itu. Janelle cuba bersangka baik dengan beranggapan bahawa Suzanne dan Stacy berkemungkinan besar sedang dalam perjalanan menuju ke taman tema air. 

    Sewaktu Mike dan Janelle ingin keluar dari rumah tersebut, tiba-tiba telefon di ruang tamu berdering. Janelle memberanikan diri untuk menjawab telefon tersebut dengan harapan si pemanggil mengetahui tentang lokasi Suzanne dan Stacy. Selepas mengangkat panggilan telefon itu, Janelle mendengari suara seorang lelaki menyebut perkataan yang sangat menjijikkan. Pada penghujung perbualan, lelaki itu sempat melontarkan kata-kata sindiran berbaur seksual. Janelle yang berasa sakit hati terus meletakkan gagang telefon. Dia cuba berfikiran positif bahawa si pemanggil itu sekadar untuk bergurau. Bagaimanapun, telefon tersebut telah berdering sekali lagi. Apabila diangkat Janelle, ternyata pemanggil itu adalah orang yang sama. Kali ini, Janelle tidak teragak-agak untuk mematikan terus panggilan tersebut. Akhirnya, Mike dan Janelle terus berlalu pergi meninggalkan rumah Sherrill.

    Sementara itu, ibu Stacy iaitu Janis mula berasa risau selepas mendapat tahu bahawa Stacy dan Suzanne tidak jadi bermalam di rumah Janelle. Sepanjang hari, Janis berada dalam kebingungan. Mengikut nalurinya sebagai seorang ibu, hati Janis terdetik untuk mencari Stacy. Pada mulanya, dia tidak mengetahui alamat rumah Sherrill. Namun selepas melakukan beberapa pencarian maklumat, Janis yang berjaya menemui alamat rumah Sherrill telah membuat keputusan untuk berkunjung ke alamat tersebut. 

    Dipendekkan cerita, Janis pun berjaya tiba di rumah Sherill. Dia juga telah menemui barangan sama seperti yang ditemui oleh Mike dan Janelle. Ekoran berasa tidak sedap hati, Janis kemudian bertindak menghubungi pihak polis tempatan dengan menggunakan telefon rumah Sherrill. Bagaimanapun, apa yangnya apabila Janis dengan tidak sengaja telah terpadamkan rekod perbualan antara pemanggil misteri dengan Janelle. Perkara ini sekaligus menghapuskan satu-satunya bukti penting dalam kes ini.

Gambar sekadar hiasan

    Hati ibu mana yang tidak luluh apabila anak perempuan kesayangannya hilang dengan mengejut. Janis berusaha sedaya upaya yang mungkin untuk mencari Stacy. Malah, gambar graduasi Stacy yang siap dicuci telah dicetak pada poster kehilangan mangsa. Pada masa sama, penduduk setempat memberikan kerjasama dengan baik sebagai tanda sokongan terhadap gerakan usaha mencari Suzanne, Stacy dan Sherrill.

    Saksi pertama dalam kes ini adalah seorang pelayan muda di yang bekerja di restoran kegemaran Suzanne dan Stacy iaitu George's Breakfast. Dia mendakwa bahawa semua mangsa berada di restoran itu pada sekitar jam 1 hingga 3.00 pagi. Pihak polis yang mengambil serius dakwaan ini kemudian bertindak melakukan soal siasat terhadap pelanggan lain yang turut berada di restoran pada waktu kejadiaan. Hasil sesi soal siasat itu, kenyataan pelayan restoran tersebut tidak dapat disahihkan. 

    Lebih kurang pada jam 6.30 pagi hari kejadian, saksi kedua yang sedang duduk di anjung rumahnya telah melihat sebuah van model 1960-70an berwarna perak kehijauan sedang dipandu keluar dari kawasan rumah Sherrill. Van tersebut telah dipandu oleh seorang wanita. Malah, saksi itu juga ada mendengar suara seorang lelaki yang menyebut, 

    "Undur dengan perlahan. Jangan buat sesuatu yang bodoh."

    Sewaktu kejadian itu berlaku, saksi kedua masih lagi tidak tahu menahu tentang kehilangan mangsa. Hinggalah berita kehilangan mangsa disiarkan, saksi itu menelefon semula pihak berkuasa untuk memberitahu bahawa pemandu van yang dilihatnya sebelum ini adalah Suzanne Streeter! Lantaran itu, pihak polis telah membuat keputusan untuk membeli sebuah van iaitu menyamai model van seperti yang diceritakan saksi. Van itu kemudian diparkir di luar balai polis dengan disertakan nombor telefon sekali. Ini bertujuan untuk menyeru mana-mana individu yang pernah melihat van itu tampil ke hadapan bagi menyalurkan maklumat. Bagaimanapun, petunjuk tentang van ini semakin pudar selepas pihak polis menerima begitu banyak maklumat yang berbeza terutamanya daripada segi warna sekaligus bercanggah dengan kenyataan asal saksi.

    Pada 31 Disember 1992, seorang lelaki telah menghubungi talian American's Most Wanted untuk memberitahu maklumat tentang kehilangan mangsa. Sewaktu pihak operator cuba untuk menyambungkan panggilan itu kepada pihak penyiasat Springfield, talian telefon tersebut terus terputus. Pemanggil itu diminta tampil semua bagi membantu siasatan, namun dia tidak pernah muncul.

    Ada beberapa orang suspek berkemungkinan besar yang dipercayai menjadi dalang utama terhadap kehilangan Sherrill, Suzanne dan Stacy. Antaranya adalah Bartt Streeter yang merupakan anak Sherrill dan juga abang kepada Suzanne. Hubungan antara Bartt dengan keluarganya sangat dingin kerana dia mempunyai masalah ketagihan alkohol melampau. Disebabkan tabiat buruknya itu, Bartt telah dihalau keluar dari rumah oleh Sherrill sendiri. Dia tinggal berasingan dari keluarganya selama sepuluh tahun. Pada tahun 1991, Bartt kembali ke Springfield tanpa pengetahuan Sherrill dan Suzanne selepas hubungan dengan teman wanitanya menemui kegagalan. Bagi menyambung semula hubungan kekeluargaan yang hampir putus, Bartt dan Suzanne bersetuju untuk tinggal bersama-sama di sebuah apartment. Namun, semuanya tidak semudah seperti yang disangka. Bartt gagal untuk menyesuaikan diri kehidupan barunya. Perasaan sakit hati atas perpisahan dengan teman wanitanya masih lagi belum hilang. Tabiatnya yang suka mengambil alkohol kembali berulang. Bahkan kali ini adalah lebih teruk dari sebelumnya. Suzanne yang tidak tahan dengan perangai Bartt telah pulang semula ke pangkuan Sherrill.

    Suspek kedua pula, Dustin Reckler & Martin Clay. Dustin Reckler merupakan bekas teman lelaki Suzanne, manakala Martin Clay pula adalah rakan kepada Dustin. Mereka berdua acap kali terlibat dengan kegiatan yang tidak bermoral seperti melakukan vandalisme di tanah perkuburan. Ini termasuklah mencuri gigi emas daripada mayat. Gigi emas itu kemudian dipajak di kedai emas. Sejurus selepas Suzanne mengetahui tentang perbuatan jahat teman lelakinya itu, dia bertindak untuk memutuskan hubungan. Meskipun alibi Dustin dan Michael sewaktu hari kejadian tidak dapat disahihkan, mereka berdua tidak pernah didakwa kerana ketiadaaan sebarang bukti kukuh. Hingga ke hari ini, mereka berdua masih lagi dianggap sebagai suspek.

Robert Craig Cox

    Suspek ketiga pula merupakan seorang tentera renjer terlatih iaitu Robert Craig Cox. Dia pernah ditangkap atas tuduhan membunuh wanita bernama Sharon Zellers. Walau bagaimanapun, dia dilepaskan kerana pihak berkuasa kekurangan bukti untuk menyabitkan kesalahannya. Pada tahun 1985, Robert telah diperintahkan oleh pihak mahkamah untuk menjalani hukuman penjara sembilan tahun setelah dia didapati bersalah atas pertuduhan dua percubaan penculikan. Dia akhirnya dibebaskan kerana hakim hanya menentukan bukti melalui syak wasangka, bukannya bukti kesalahan. Selepas bebas dengan parol tahun 1992, dia dihantar ke Springfield untuk tinggal bersama ibu bapanya. Perkara ini menguatkan lagi spekulasi bahawa Robert adalah dalang utama kes kehilangan Sherrill, Suzanne dan Stacy. Tambahan pula, Robert didakwa pernah bekerja dengan ayah Stacy. Tiga tahun kemudian, Robert yang sekali lagi ditangkap oleh pihak berkuasa telah dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup. Penangkapan itu dibuat selepas Robert terlibat dalam satu rompakan di mana dia telah mengajukan pistol terhadap seorang budak perempuan berusia 12 tahun. Pada waktu ini, teman wanita Robert tiba-tiba mengubah keterangannya sebelum ini tentang lokasi mereka berdua pada malam kejadian. Meskipun Robert disyaki sebagai suspek utama, namun tiada sebarang bukti kukuh untuk mengaitkannya dengan kes The Springfield.

    Pada perkembangan lain iaitu tahun 2007, seorang wartawan jenayah bernama Kathee Baird telah mengupah Rock Norland yang merupakan seorang jurutera mekanikal untuk melakukan kerja-kerja pengimbasan lot tempat parkir kereta di Hospital Cox dengan menggunakan teknologi "ground-penetrating radar (GPR)". Radar pengimbasan itu berjaya mengesan tiga keganjilan di bawah lot tersebut. Namun, laporan radar pengimbasan itu belum cukup untuk meyakinkan pihak polis Springfield melakukan kerja-kerja pencarian. Lagipun, kawasan parkir kereta itu disiapkan setahun selepas peristiwa The Springfield ini.


    Jadi, apa pendapat anda? Di manakah Sherrill, Suzanne dan Stacy sebenarnya? Adakah mereka benar-benar diculik kemudian dibunuh? Kalau benar diculik, adakah si pelaku melakukan kerja penculikan itu secara seorang diri ataupun berkumpulan? Mungkinkah juga semua mangsa bukannya hilang, tetapi meninggalkan Springfield dengan rela hati? Benarkah suspek bernama Robert adalah kata kunci kepada semua persoalan?

Catat Ulasan for "THE SPRINGFIELD THREE : Misteri Kehilangan Tiga Orang Wanita"