KISAH YOO YOUNG CHUL : Pembunuh Bersiri Korea Selatan
Yoo Young Chul yang digelar sebagai Raincoat
Killer merupakan seorang pembunuh bersiri kejam yang cukup ditakuti di Korea
Selatan pada sekitar tahun 2000. Sepanjang siri pembunuhannya dari tahun 2003
hingga 2004, dia telah membunuh seramai 21 orang di mana kebanyakan mangsa
adalah pelacur wanita dan warga emas yang kaya raya. Motif sebenar setiap
pembunuhan pernah disebutkan oleh Yoo sendiri betul-betul di depan kamera
televisyen. Katanya,
"Kaum wanita tidak sepatutnya menjadi pelacur dan orang kaya pula patut
tahu apa yang mereka telah buat."
Biodatanya secara ringkas, Yoo Young Chul
dilahirkan pada 18 April 1970 di Seoul, Korea Selatan. Hidup dalam kemiskinan
serta dibesarkan dengan keadaan keluarga berantakan telah mempengaruhi Yoo
Young Chul untuk melakukan pelbagai aktiviti jenayah termasuk mencuri dan
merompak bagi menampung kehidupan. Jadi, rutin keluar masuk penjara itu adalah
satu perkara biasa baginya.
Yoo pernah melayari bahtera perkahwinan, namun
tidak berkekalan lama. Semuanya gara-gara Yoo sendiri yang telah ditangkap
atas kesalahan merogol seorang gadis remaja berusia 15 tahun. Selepas
dibebaskan dari penjara pada tahun 2002, Yoo bertindak semakin agresif dengan
mula mensasarkan warga emas dan pelacur sebagai mangsanya.
Dari bulan September hingga November 2003, Yoo
telah membunuh beberapa orang pasangan warga emas yang berharta. Menggunakan
modus operandi yang sama, Yoo memasuki rumah sasarannya dan kemudian menetak
mangsa sampai mati dengan tukul. Dalam setiap kes, siasatan awal yang
dijalankan oleh pihak polis di tempat kejadian mendapati kes pembunuhan Yoo
dilihat bermotifkan rompakan. Walau bagaimanapun, tiada sebarang wang atau
barang berharga milik mangsa dilarikan. Perkara ini sedikit sebanyak telah
mengelirukan pihak polis. Pada hakikatnya, ia memang sengaja dirancang oleh
Yoo.
Bermula Mac 2004, Yoo mula menjadikan pelacur
wanita pula sebagai mangsanya. Mangsa akan diumpan untuk datang ke apartment
sebelum kepala mereka akhirnya dihentak dengan tukul. Tak cukup dengan itu,
hati serta jantung mangsa turut dimakan oleh Yoo. Mayat mangsa yang
kemudiannya dikerat serta dilupus akan ditanam di sekitar kawasan pergunungan
Seoul.
Yoo akhirnya berjaya ditangkap pada tahun 2004
oleh pihak polis hasil maklumat dan kerjasama daripada beberapa orang individu yang menjalankan sindiket pelacuran. Semua itu bermula selepas golongan muncikari tersebut
menyedari kewujudan satu nombor telefon yang mempunyai hubung kait dengan
kematian pelacur-pelacur pada sebelumnya.
Selepas melalui perbicaraan, Yoo telah
didapati bersalah atas 21 pertuduhan membunuh dan dijatuhkan hukuman mati
iaitu satu hukuman yang tidak dilaksanakan di Korea Selatan sejak dari tahun
1997. Jadi, status Yoo kini yang meringkuk di Seoul Detention Center masih
menantikan pelaksaan hukuman.
Nota : Kisah di bawah dikatakan sebagai
sebuah kisah benar dari laman Reddit, namun sejauh mana kebenarannya tidak
dapat dipastikan.
Ini adalah kisah benar yang berlaku terhadap
kawan kepada ibu saya pada lebih kurang 10 tahun yang lepas. Setiap kali saya
mendengar cerita ini, saya mesti berasa seram sejuk.
Kawan ibu saya itu menginap di sebuah kompleks
apartment yang terletak di Seoul. Dia adalah seorang suri rumah yang mempunyai
seorang anak perempuan serta bersuamikan seorang lelaki yang keluar mencari
rezeki pada waktu siang hari. Satu hari, si ibu bersama anaknya itu sedang
dalam perjalanan pulang ke apartment. Semasa memasuki lif apartment, si ibu
tadi mendapati dalam lif tersebut ada seorang lelaki bertopi yang berpakaian
baju hujan berwarna kuning dengan kepala tunduk seolah-olah enggan mukanya
dilihat. Si ibu yang berasa tidak sedap hati dengan situasi itu terus menarik
badan anaknya untuk berdiri jauh daripada lelaki aneh tersebut. Apa yang
betul-betul menakutkan si ibu adalah ketiadaan butang nombor lif lain menyala
selain butang nombor yang ditekannya sendiri. Seperkara lagi, si ibu juga
menyedari lelaki itu sedang membawa sesuatu benda yang dibalut dengan surat
khabar.
Disebabkan rasa panik, si ibu bertindak
mengeluarkan telefon bimbit lalu berpura-pura menelefon suaminya yang
kebetulan pada masa itu tiada di rumah. Kata si ibu dengan suara yang
lantang,
"Abang, saya sekarang berada dekat dalam lif. Dah nak sampai dah ni haa...
Boleh tolong bukakan pintu rumah kejap?"
Sebaik saja lif berhenti, si ibu terus
menggenggam erat tangan anaknya untuk keluar dari lif dan berjalan menuju ke
apartment mereka dalam keadaan yang tergesa-gesa. Si ibu kemudiannya menyedari
lelaki aneh tadi sedang mengekori mereka. Lantas dia menjerit,
"Abang! Saya dah sampai rumah ni. Tolong
bukakan pintu kejap!".
Mendengar jeritan tersebut, lelaki aneh itu
terus berpatah balik ke arah lif.
Si ibu pula menekan butang kod pintu apartment
dalam keadaan yang kelam kabut. Mendengar bunyi butang kod ditekan, barulah
lelaki aneh itu menyedari bahawa dia telah tertipu dengan helah panggilan
telefon si ibu tadi. Jadi, dia pun memusingkan badan lalu berlari pantas
menuju ke arah apartment. Mujurlah si ibu bersama anaknya sempat masuk ke
dalam apartment dan bertindak cepat untuk mengunci pintu. Dari lubang kunci
pintu, si ibu mengintai jelas lelaki aneh itu berjalan semula ke arah
lif.
Beberapa bulan kemudian, kawan ibu saya itu
telah menonton berita penangkapan Yoo Young Chul. Dia menceritakan kepada ibu
saya tentang rasa ketakutannya sebaik saja mendapati topi serta baju
hujan yang dipakai oleh Yoo Young Chul adalah sama dengan lelaki dalam lif
tersebut!
Catat Ulasan for "KISAH YOO YOUNG CHUL : Pembunuh Bersiri Korea Selatan"