Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH PEMBUNUHAN THE GRIME SISTERS



    Pada malam 28 Disember 1956, dua pasangan adik beradik bernama Barbara Grimes (15 tahun) dan Patricia Grimes (13 tahun) telah keluar dari rumah mereka menuju ke teater Brighton, Amerika Syarikat untuk menyaksikan tayangan filem berjudul Love Me Tender lakonan bintang Hollywood terkenal iaitu Elvis Presley. Barbara dan Patricia kemudian berjaya tiba di lokasi, namun tidak dapat dipastikan samaada mereka berdua berjalan kaki atau pun menaiki bas. 

    Menjelang tengah malam, Lorretta Grimes mula berasa bimbang selepas mendapati Barbara dan Patricia langsung tidak pulang ke rumah pada waktu yang mereka telah janjikan. Lorretta kemudian menyuruh dua orang lagi anaknya iaitu Theresa (17 tahun) dan Joey (14 tahun) untuk menunggu di stesen bas yang berdekatan.

    Meskipun tiga buah bas singgah bersilih ganti di stesen bas itu, Barbara dan Patricia masih tetap tidak kelihatan. Disebabkan itu, Lorretta bertekad untuk membuat laporan polis pada jam 2.00 pagi tentang kehilangan anaknya. Pada mulanya, pihak polis agak skeptikal dengan laporan Lorretta kerana berpendapat Barbara dan Patricia berkemungkinan telah keluar bersama teman lelaki atau melarikan diri secara sukarela. Dakwaan bagaimanapun tersebut dinafikan sekeras-kerasnya oleh Lorretta sendiri. Kata Lorretta, anaknya tidak sesekali akan bertindak liar sedemikian rupa. Keesokan harinya, Barbara dan Patricia masih tidak pulang ke rumah. Maka bermulalah episod pencarian orang hilang serta siasatan terbesar yang pernah dilakukan di bandar Chicago.

    Rakan sekolah Patricia Grimes yang bernama Dorothy Weinert telah tampil untuk memberitahu pihak polis bahawa dia dan adiknya merupakan individu yang duduk di sebelah Patricia ketika berada di dalam panggung wayang. Menurut Dorothy lagi, tiada sebarang benda mencurigakan yang dilihat pada Barbara mahupun Patricia. Bahkan pasangan adik beradik tersebut siap bercadang lagi untuk menonton tayangan berganda  filem Love Me Tender. Lebih kurang jam 9.30 malam, Barbara dan Patricia dikatakan beratur untuk membeli bertih jagung.

    Terdapat juga laporan daripada beberapa orang saksi yang mendakwa mereka telah melihat Barbara dan Patricia memasuki kereta jenis Mercury yang dipandu oleh seorang lelaki berpenampilan seperti Elvis Presley. Barbara dan Patricia merupakan peminat tegar Elvis Presley. Jadi secara tidak langsung, nama Elvis turut terpalit sekali dengan kes kehilangan dua orang adik beradik ini. Lagi kontroversi, ada saksi mendakwa pernah melihat Barbara dan Patricia duduk di stesen bas untuk menunggu bas menuju ke rumah Elvis yang terletak di Nashville Tennessee. Dalam perkara ini, Elvis ternyata tidak berdiam diri. Beliau tampil membuat kenyataan merayu agar Barbara dan Patricia pulang ke rumah. Kata Elvis,

    “If you are good Presley fans, you’ll go gome anda ease your mother’s worries.” 

    Selain itu, Barbara dan Patricia dikatakan telah menaiki bas yang menuju ke Chicago. Walau bagaimanapun, asas dakwaan ini tidak kukuh kerana tiada seorang pun saksi yang pernah melihat mereka berdua turun di mana-mana perhentian atau pun stesen bas. 

    Kalau diikutkan, memang banyak lagi petunjuk yang diperolehi oleh para penyiasat ketika itu. Bayangkan, ada saksi mendakwa melihat Patricia dan Barbara berada di dalam kereta api. Ada juga yang mendakwa mereka di bawah pengaruh alkohol semasa berada di depan sebuah restoran. Bahkan mereka juga dikatakan sempat menginap di hotel. Kesemua petunjuk ini tidak begitu membantu dalam menentukan kesinambungan setiap titik siasatan.

    Pada 22 Januari 1957, seorang lelaki bernama Leonard Prescott sedang memandu kereta di jalan raya German Church Road yang terletak di Willow Spring, Illinois. Semasa memandu tersebut, Leonard terlihat seakan dua buah patung manekin berbaring di tepi besi penghadang jalan. Sampai di rumah, Leonard yang masih lagi berasa was-was dengan patung manekin itu bertindak memaklumkan perkara tersebut  kepada isterinya iaitu Marie. Mereka berdua yang membuat keputusan untuk kembali ke lokasi kejadian telah mendapati patung manekin itu rupa-rupanya adalah mayat beku dua orang perempuan yang dalam keadaan bertelanjang. 


    Setibanya pihak polis serta Joseph Grimes ke lokasi, identity dua mayat tersebut disahkan sebagai Barbara dan Patricia. Mayat Patricia terbaring di atas mayat Barbara yang dalam keadaan meniarap. Isi muka mayat dua adik beradik itu juga telah pun hancur akibat dimamah oleh binatang liar. 

    Sejurus berita penemuan mayat Patricia dan Barbara diketahui Lorretta, dia hanya mampu berkata,

    “Kenapa mereka tak mengambil aku dan membiarkan saja anak-anakku hidup? Kalaulah pihak polis mendengar segala kataku pada malam kejadian, pastinya mereka akan mengetahui cerita yang sebenar setengah jam selepas anakku hilang.”

    Sesi bedah siasat terhadap mayat Barbara dan Patricia telah dijalankan oleh tiga orang pakar forensik yang sangat berpengalaman. Kira-kira selepas 10 jam bedah siasat itu dijalankan, ketiga-tiga pakar forensik tersebut gagal untuk mencapai kata sepakat berhubung kait dengan waktu serta punca sebenar kematian mangsa. Tiada sebarang kesan lebam akibat pukulan, tiada kesan kecederaan, tiada kesan trauma dan lain-lain tanda yang menunjukkan mangsa mati dibunuh. Bahkan juga tiada alkohol mahupun dadah dikesan yang berjaya dikesan dalam tubuh badan mangsa. Bagaimanapun, Barbara didapati ada menjalankan aktiviti seksual sebelum kematiannya, namun tidak dapat dipastikan sama ada ia adalah secara suka rela ataupun paksaan. Asbab itu, mangsa disimpulkan berkemungkinan mati mengejut  akibat terdedah dengan elemen tertentu. Bagaimanapun, perkara ini disangkal sekeras-kerasnya oleh ketua koroner bedah siasat tersebut. Katanya, tidak mustahil Barbara dan Patricia telah dipukul terlebih dahulu sebelum dibunuh oleh individu yang berkemahiran tinggi dalam menghapuskan segala sisa-sisa bukti. Sejurus pendedahannya dengan pihak media mengenai perkara ini, ketua koroner tersebut terus dipecat dengan serta merta. 


    Satu-satunya suspek utama dalam kes ini merupakan seorang lelaki muda yang berpenampilan seperti Elvis Presley iaitu Edward Lee “Bennie” Bedwell. Edward dikatakan pernah bersama mangsa di dalam bar dan juga restoran tidak lama selepas mangsa dilaporkan hilang. Sewaktu sesi soal siasat, Edward mengaku dia bersama seorang lagi rakannya telah berparti bersama Barbara dan Patricia sebelum akhirnya meninggalkan mayat mangsa yang bertelanjang di tepi jalan. Namun, keterangan Edward diragui disebabkan dia membuat tiga pengakuan cerita dengan versi yang berbeza-beza. Akhirnya, Edward mengaku jua bahawa kesemua pengakuannya adalah satu pembohongan kerana dia telah diugut serta dipukul oleh pihak polis. Bagi menghentikan kesakitan yang dialamiya ketika itu, maka dia pun dengan sengaja untuk mereka-reka cerita. Selepas siasatan dijalankan, Edward dibebaskan dan tidak pernah lagi dikaitkan dengan kes tersebut. 

    Seorang lagi suspek pula adalah lelaki veteran bernama Walter Kranz yang berusia 53 tahun. Sewaktu tempoh kehilangan mangsa, Walter telah menghubungi pihak polis dan kemudiannya memberitahu bahawa mangsa telah meninggal dunia. Panggilan tersebut yang berjaya dijejaki terus membawa kepada penangkapan Walter. Menerusi keterangan Walter, dia mendapat petunjuk tentang kematian mangsa melalui mimpinya. Walter bagaimanapun Walter dibebaskan selepas mempunyai alibi yang kukuh.

    Saat masih lagi mengharungi satu detik yang paling sukar dalam hidupnya, Lorretta telah menerima begitu banyak surat dan panggilan palsu berkenaan dengan kehilangan Barbara dan Patricia.Tidak lama selepas mayat anak-anaknya itu ditemui, Lorretta ada menerima panggilan misteri. Pemanggil tersebut mendakwa bahawa dia adalah pembunuh Barbara dan Patricia. Panggilan tersebut bagaimanapun gagal untuk dijejaki. Panggilan misteri kedua yang diterima Lorretta pula adalah sejurus selepas daerah Illinois digemparkan dengan kematian remaja perempuan yang bernama Bonnie Leigh Scott. Suara pemanggil tersebut adalah sama dengan suara pemanggil misteri pada sebelumnya. Motif si pemanggil? Masih lagi kekal sebagai misteri.

    Kasih seorang ibu tiada tolok bandingnya. Itulah ungkapan yang sesuai untuk wanita yang bergelar ibu seperti Lorretta Grimes. Sejak kematian anaknya, perwatakan Lorretta berubah secara mendadak. Dia bukan lagi Lorretta seperti sebelumnya. Seluruh hidupnya didedikasikan untuk mencari pembunuh sebenar Barbara dan Patricia. Nalurinya sebagai seorang ibu kuat mengatakan bahawa pihak polis tidak pernah menangkap serta menyoal suspek yang sebenarnya.  Hingga ke akhir hidupnya, Lorretta menggesa pihak polis tidak akan  pernah berhenti menyiasat kes menyayat hati yang menimpa anak-anaknya itu. 

    Tahun 1989, Lorretta menghembuskan nafas terakhirnya pada usia 83 tahun tanpa sempat menegakkan keadilan untuk Barbara dan Patricia.

    Kini, seorang lelaki bernama Ray Johnson berusaha sedaya upayanya untuk merungkai perkara sebenar yang telah menimpa Barbara dan Patricia. Berbekalkan bahan bukti serta maklumat yang sedia ada, Ray percaya kes tersebut pasti akan dapat diselesaikan jika ada individu tampil untuk memberikan maklumat terperinci yang belum lagi berjaya diperolehinya. Demi mencapai matlamatnya itu, Ray mencipta satu kumpulan Facebook bernama “Help Solve Chicago’s Grimes Sister’s Murder” yang kini mempunyai lebih 1500 orang ahli untuk membantu siasatan.

    Moga ada sinar untuk Barbara dan Patricia. R.I.P

Catat Ulasan for "KISAH PEMBUNUHAN THE GRIME SISTERS"