Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH NATASCHA KAMPUSCH : Kanak-Kanak Perempuan yang Diculik Selama 3096 Hari.



    Pada 2 Mac 1998, seorang kanak-kanak perempuan Natascha Kampusch yang berusia 10 tahun sedang dalam perjalanannya ke sekolah. Namun, malang tidak berbau apabila dia tiba-tiba telah diheret masuk oleh seorang lelaki ke dalam sebuah van mini yang diparkir di tepi jalan.

    Berita penculikan mengejutkan Natascha itu ternyata mengundang simpati daripada ramai pihak. Manakan tidak, Natascha baru saja berusia 10 tahun. Memang tidak wajar sekali kehidupannya sebagai kanak-kanak dirampas tanpa sebarang rasa keperimanusiaan.

Wolfgang Priklopil

    Bertindak atas maklumat yang diberikan oleh saksi, pihak polis telah menjalankan pemeriksaan terhadap 776 buah van. Ini termasuklah pemeriksaan van milik penculik Natascha iaitu Wolfgang Priklopil. Walau bagaimanapun, Priklopil yang tidak mempunyai sebarang rekod buruk jenayah bijak memanipulasi keadaan hingga dapat memperdayakan pihak polis.  

    Operasi pencarian besar-besaran yang dijalankan oleh pihak berkuasa juga menemui jalan buntu berikutan tiada sebarang petunjuk mahupun bukti yang berjaya diperolehi. Satu situasi yang sudah pasti menyebabkan sebak keluarga Natascha dilanda kekecewaan secara berterusan.

Rumah Wolfgang Priklopil

    Natascha telah dikurung di dalam bilik bawah tanah yang hanya mempunyai keluasan seluas 5 meter persegi. Bilik kalis bunyi yang tidak mempunyai sebarang tingkap itu terletak di bawah garaj rumah Priklopil. Di situlah Natascha dibiarkan kelaparan, dipukul, didera dan diperkosa berkali-kali oleh Priklopil. 

    Pada awalnya Natascha cuma duduk terperap sahaja dalam bilik kurungan tersebut. Namun, lama-kelamaan dia telah diberikan kelonggaran untuk keluar tetapi tetap tidak dibenarkan berhubungan dengan sesiapa sekalipun. Selain itu, Natascha juga dibolehkan untuk membaca buku, mendengar radio dan menonton video.  Biarpun telah diberikan begitu banyak kebebasan, Natascha sebenarnya takut untuk melarikan diri kerana dia sentiasa diugut bunuh oleh Priklopil yang turut dipanggilnya sebagai Gebieter (Tuan).

    Tanggal 23 Ogos 2006, Natascha yang berusia 18 tahun akhirnya memanfaatkan peluang yang sedia ada untuk melarikan diri. Peluang tersebut diambil ketika dia sedang membersihkan kereta Priklopil dengan vakum di mana Priklopil sedang sibuk menjawab panggilan telefon. Selepas berlari dengan jarak kira-kira 200 meter, Natascha telah berjaya mendapatkan bantuan daripada salah seorang jiran terdekat untuk menghubungi pihak polis. Seterusnya, pihak polis tiba di lokasi panggilan lalu Natascha Kampusch pun diselamatkan dengan jayanya. 

    Sementara itu, Priklopil yang menyedari dirinya menjadi buruan pihak polis telah membuat keputusan untuk membunuh diri dengan cara dilanggar kereta api.


    Sejurus menerima berita kematian Priklopil, Natascha dikhabarkan menangis teresak-esak. Jadi, dalam kes sebegini dia sebenarnya dikhuatiri mengidap penyakit Stockholm Syndrome. Walaupun ramai pihak agak sangsi dengan cerita pendedahan Natascha, cukuplah untuk mengatakan bahawa hanya dia yang tahu perkara sebenar. Bergelut dengan penderitaan sejak dari usia 10 tahun, semua itu tidak menjadi alasan Nastacha Kampusch untuk menjadi seorang wanita yang cekal dan tabah.

Trailer filem berjudul 3096 Days yang berdasarkan kisah penculikan Natascha Kampusch.

Catat Ulasan for "KISAH NATASCHA KAMPUSCH : Kanak-Kanak Perempuan yang Diculik Selama 3096 Hari."