Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

SUMPAHAN LA LLORONA


    Sebuah filem seram yang berjudul “The Curse of La Llorona” telah pun ditayangkan pada bulan April tahun 2019. Filem ini diarahkan oleh Michael Caves dengan James Wan merangkap sebagai seorang penerbit bersama. James Wan merupakan antara nama yang tidak asing lagi dalam dunia perfileman seram. 

    Baiklah, siapa La Llorona? La Llorona atau sebutannya “la jo ro na” adalah hantu versi cerita rakyat yang begitu popular di Mexico. La Llorona membawa maksud “The Weeping Woman” ataupun dalam bahasa melayunya iaitu “Wanita Menangis.” Kebanyakan ibu bapa di Mexico gemar bercerita tentang kisah La Llorona bagi menakutkan anak-anak mereka yang suka bermain di luar rumah hingga lewat senja. Kalau diikutkan memang terdapat banyak versi asal usul sebenar kisah La Llorona ini. Versi yang paling popular dalam kalangan rakyat Mexico adalah kisah tentang seorang wanita yang bernama Maria. 

    Meskipun dilahirkan dalam keadaan keluarga miskin, Maria memiiliki paras rupa yang cantik lagi menawan. Dia sering menjadi tumpuan penduduk lelaki setempat. Satu hari, ada seorang pengembara dari golongan bangsawan melalui kawasan perkampungan Maria. Sebaik saja lelaki si pengembara dan Maria saling bertentang mata, masing-masing sudah tahu bahawa mereka telah jatuh hati. Maria pun dilamar oleh lelaki itu. Lamaran tersebut bagaimanapun tidak begitu disenangi oleh bapa si lelaki disebabkan perbezaan darjat yang begitu ketara. Namun demi cinta mereka yang utuh, Maria dan lelaki itu akhirnya membuat keputusan untuk tinggal bersama di kampung Maria. Pada mulanya, Maria dilayan bagaikan seorang bidadari. Semuanya indah-indah belaka. Saat yang lagi membahagiakan apabila Maria melahirkan sepasang anak kembar yang comel iaitu seorang lelaki dan seorang perempuan. Hari demi hari berlalu, anak-anak Maria kian membesar. Apa yang menyedihkan Maria, suaminya jarang berada di rumah atas urusan perniagaan. Bila pulang ke rumah, hanya anak-anaknya yang sering diberi perhatian. Maria sendiri pula terabai. 

Satu hari, suami Maria telah keluar dari rumah dan tidak pernah lagi kembali selepas itu. Hidup Maria jadi gantung tidak bertali. Bertahan demi anak-anaknya, Maria meneruskan liku-liku kehidupan dengan cekal. Sampailah satu masa, dia terserempak dengan seorang lelaki yang sangat dikenalinya bersama dengan seorang wanita yang sangat cantik. Siapa lelaki itu? Suaminya sendiri! Hati Maria yang serta-merta menjadi remuk telah menyebabkannya hilang pertimbangan. Dia yang berada berdekatan dengan sungai ketika itu terus membuang kedua-dua anaknya ke dalam air sungai. Hanya selepas melihat mayat anak-anaknya terapung, barulah Maria sedar akan perbuatannya. Dia kemudian terus terjun ke sungai untuk menyelamatkan anaknya kembali. Bagaimanapun, jasad Maria sendiri juga lemas. Satu-satunya benda yang terus hidup adalah sumpahannya, La Llorona. 

    Selepas kejadian itu, hampir setiap malam penduduk kampung terdengar suara tangisan Maria. yang mencari anak-anaknya. 

    “Anakku…mana anakku?” 

    Hantu La Llorona yang dikatakan memakai gaun berwarna putih meminta maaf kepada mangsa yang diculiknya sebelum melemaskan mereka ke dalam sungai. Berlainan pula dengan versi Guatemala, iaitu jika seseorang itu terdengar bunyi tangisan La Llorona secara berdekatan, maka dia sebenarnya jauh. Jika kedengaran bunyi tangisannya dari jarak jauh, ini bermakna La Llorona berada berdekatan dengan orang yang mendengar tangisan tersebut. 

    Itu sahajalah ringkasan kisah asal usul La Llorona. Samada benar atau tidak, apa yang pasti ia adalah sebuah kisah yang menyeramkan. Saksikan sendiri sedutan trailer filem The Curse of La Llorona (2019) di bawah.

Catat Ulasan for "SUMPAHAN LA LLORONA"