Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

SENARAI 10 KES ROMPAKAN TERHEBAT DI DUNIA

Nota Peringatan : Kedudukan atau turutan dalam senarai ini adalah secara rawak.


10. MEXICO CITY'S MUSEUMS OF ANTHROPOLOGY

    Pada malam Krismas tahun 1985, sebanyak 140 buah patung berharga telah dirompak di Muzium Antrorologi Kebangsaan Bandar Mexico. 

    Sewaktu kejadian rompakan itu berlaku, sistem keselamatan muzium yang rosak telah memudahkan segala pergerakan masuk dan keluar kumpulan perompak. Kumpulan perompak tersebut memanjat pagar muzium setinggi tujuh kaki, kemudian merangkak melalui ruang saluran pengudaraan sebelum membawa keluar  barangan berharga dengan cara yang sama. Antara barangan yang berjaya dicuri termasuklah Mayan, Aztec dan beberapa lagi artifak lain.

    Kumpulan perompak itu bagaimanapun tidak pernah berjaya ditangkap.


9. JAPANESE BANK ROBBERY OF 300 MILLION YEN

    Pada tahun 1968, sebuah bank kecil di Jepun telah menerima ancaman letupan bom daripada seorang individu yang tidak dikenali. Pihak bank itu kemudian melaporkan perkara tersebut kepada pihak polis. Sebagai persediaan awal, sistem pengawasan dan keselamatan bank itu telah diperketatkan. Namun pada kemudiannya tiada sebarang ancaman susulan yang dilaporkan.

    Satu hari, sebuah kereta milik bank tersebut yang membawa wang kira kira 300 juta yen ($800 000) untuk kerja-kerja penghantaran telah ditahan oleh pihak polis. Anggota polis yang menahan kereta itu memberitahu kepada pemandu bahawa rumah pengurus bank telah dibom dan berkemungkinan besar kereta yang sedang dipandu mereka adalah sasaran pengebom seterusnya. Mendengar perkara tersebut, mereka yang berada di dalam kereta itu terus keluar dan terkejut apabila mendapati terdapat asap di bawah kereta. Mereka semua kemudian lari bertempiaran untuk menyelamatkan diri. Tanpa diduga, polis yang menahan kereta bank itu kemudian membawa lari  kereta bank tersebut dengan meninggalkan suar dan bom asap di jalan raya. Cerita sebetulnya, rumah pengurus bank yang dibom itu adalah rekaan semata-mata. Sementara itu, perompak wang tersebut tidak pernah berjaya ditemui.


8. CATCH ME OF YOU CAN

    Pernah menonton filem popular lakonan aktor kacak Leonardo DiCaprio yang berjudul Catch Me If You Can? Filem itu merupakan adaptasi daripada kisah sebenar seorang lelaki yang bernama Frank Abagnale. 

    Sebelum usianya mencecah 21 tahun, Frank telah berjaya melakukan bermacam-macam penipuan dan jenis penyamaran. Malah, dia pernah berjaya meloloskan diri dari tahanan pihak polis sebanyak dua kali. 

    Frank terkenal dengan kerja-kerja  pemalsuan cek serta penyamarannya sebagai juruterbang, cikgu, peguam, dan doktor. Selepas selesai menjalani hukuman penjara yang tidak kurang dari 5 tahun, Frank terus dilantik untuk bekerja dengan pihak kerajaan persekutuan. Kini, dia merupakan penasihat dan pensyarah akademi FBI serta telah menubuhkan syarikat perunding penipuan kewangan sendiri iaitu Abagnale & Associates. '


7. CENTRAL BANK OF IRAQ ROBBERY

    Sebaik saja tercetusnya peperangan antara Iraq dan Amerika Syarikat, Saddam Hussein telah mengarahkan anak dan penasihat sulitnya untuk mengeluarkan wang berjumlah $1 billion dari Pusat Bank Iraq.

    Mengambil kira pihak Amerika yang bersiap-siaga untuk mengebom Iraq, Saddam Hussein memerlukan bekalan wang demi menjamin kelangsungan hidupnya. Disebabkan itu, beliau telah menyerahkan nota bertulis yang bertandatangan kepada anak dan penasihat sulitnya sebagai surat kuasa pergerakan tiga traktor treler. Kerja-kerja pengeluaran wang dari bank itu melibatkan sekumpulan pekerja dan hanya mengambil masa sekitar dua jam untuk memuatkan wang berjumlah $1 billion ke dalam treler sebelum mereka berlepas pergi.


6. ANTWERP DIAMOND HEIST

    Satu lagi rompakan terhebat pada abad ini adalah rompakan berlian Antwerp. Kejadian rompakan ini berlaku pada waktu hujung minggu iaitu bertarikh 15 hingga 16 Februari 2003 di pusat Antwerp World Diamond Centre(AWDC) yang terletak di Antwerp, Belgium.

    Peti besi di AWDC ini sebenarnya mempunyai beberapa ciri keselamatan tahap maksimum seperti kunci dengan kemungkinan 100 juta kombinasi, pengesan haba inframerah, sensor seismik, radar Doppler dan medan magnet. Selain itu, AWDC turut mempunyai pasukan keselamatannya yang tersendiri.

    Cara rompakan? Berkemungkinan menyamai jalan cerita filem  rompakan terkenal Hollywood seperti Oceans Eleven ataupun The Italian Jobs. Kumpulan perompak AWDC telah berjaya mencuri berlian, emas dan barangan kemas lain dengan nilai yang dianggarkan mencecah lebih daripada $100 juta. 

    Rompakan ini dipercayai dilakukan secara berkumpulan dan diketuai oleh satu-satunya suspek utama iaitu Leonardo Notarbartolo. Notarbartolo telah dijatuhkan hukuman penjara selama 10 tahun dan kemudian dibebaskan dengan parol. Notarbartolo bagaimanapun tidak pernah mendedahkan identiti ahli kumpulannya.

Nydailynews

5. THE FRIDAY NIGHT ROBBER

    The Friday Night Robber atau nama sebenarnya Carl Cugasian bukan calang-calang individu. Dia boleh dikatakan perompak pintar yang paling produktif dalam sejarah jenayah di Amerika Syarikat kerana berjaya merompak lebih daripada 50 buah bank dalam tempoh masa 30 tahun dengan nilai hasil rompakannya berjumlah lebih daripada $2 juta. 

    Carl mempunyai Ijazah Sarjana Muda dalam bidang jurutera elektrikal, Ijazah Sarjana dalam bidang analisis sistem dan Ijazah Kedoktoran dalam bidang statistik. Sebelum merompak bank, Carl kebiasaannya akan mengkaji sistem sesebuah bank tersebut dari pelbagai sudut seperti daripada segi lokasi, peta jalan, masa, cuaca dan banyak lagi.

    Carl akhirnya ditangkap pada tahun 2002 dan diperintahkan untuk menjalani hukuman di sebuah penjara yang terletak di New Jersey. Khabarnya, Carl juga dilaporkan ada mengajar subjek kalkulus kepada banduan lain. Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak Federal Bureau of Prisons, Carl telah pun dibebaskan pada 5 Mei 2017.


4. LUFTHANSA HEIST

    “Lufthansa Heist” adalah merujuk kepada kejadian rompakan yang berlaku pada 11 Disember 1978 di Lapangan Terbang John F. Kennedy. Kumpulan perompak tersebut telah berjaya membawa lari wang tunai sebanyak $5 juta serta barang-barang kemas yang bernilai $875 000. Jika dicampur kedua-dua nilai rompakan tersebut, jumlah yang mereka berjaya perolehi adalah sebanyak $21.6 juta (nilai wang 2017).

    Rompakan itu dipercayai didalangi oleh samseng terkenal iaitu Jimmy Burke dengan bantuan beberapa orang lagi rakannya.


3. D.B. COOPER. 

    Pada 24 November 1971, sebuah pesawat jenis Boeing 727 yang sedang berada di ruang udara antara Porland, Oregon dan Seattle, Washington, Amerika Syarikat telah dirampas oleh seorang lelaki yang  digelar sebagai D.B. Cooper. 

    Selepas berjaya mendapatkan wang tebusan $200 000 dan barangan lain seperti yang dipintanya, Cooper telah bertindak terjun dari pesawat dengan menggunakan payung terjun. Dia seterusnya gagal dikesan sama sekali oleh pihak berkuasa Amerika Syarikat. Hingga ke hari ini, identiti sebenar D.B. Cooper masih lagi gagal untuk dikenal pasti.


2. ISABELLA STEWARD GARDNER MUSEUM

    Kes yang berlaku pada tahun 1990 ini dimulakan dengan watak dua orang lelaki berpakaian seragam polis Boston yang memasuki muzium Gardner. Mereka berdua kemudian bertindak menahan pengawal keselamatan di muzium tersebut. Salah seorang pengawal keselamatan yang telah ditahan itu kemudian mengajukan soalan tentang punca sebenar penahanan mereka. Polis tersebut cuma menjawab,

    “Awak bukan ditahan. Ini adalah satu rompakan.” 

    Dua orang polis itu berjaya mencuri 13 hasil karya seni yang bernilai $500 juta. Semua barangan rompakan tersebut tidak lagi pernah ditemui ataupun dikembalikan semula kepada pihak muzium Gardner. Dalang sebenar rompakan pula terus kekal menjadi misteri.


1. STEPHANE BREITWESSER

    Stephane Breitwesser merupakan bekas pekerja restoran di Perancis yang berjaya mencuri 239 hasil karya seni dengan anggaran nilai mencecah sehingga $1.4 billion. Lagi unik, dia mencuri bukan untuk mengaut keuntungan tetapi sebaliknya hanya untuk menambah koleksi demi kepuasan diri. Karya seni paling mahal pernah dicurinya adalah Sybille iaitu Princess of Cleaves yang bernilai $5 juta. 

    Stephane yang berjaya ditangkap pada tahun 2001 hanya dijatuhkan hukuman penjara selama 3 tahun!

Catat Ulasan for "SENARAI 10 KES ROMPAKAN TERHEBAT DI DUNIA"