KISAH KES ADNAN SYED : Pembunuh yang Mungkin Teraniaya
Satu siri Podcast dalam talian yang dipengacarakan oleh bekas seorang wartawan Baltimore Sun iaitu Sarah Koenig tiba-tiba menjadi tumpuan penggemar kisah benar jenayah di seluruh dunia pada lewat tahun 2014. Siri yang mencecah jutaan muat turun tersebut mengisahkan tentang seorang lelaki muslim bernama Adnan Syed yang telah dipenjarakan seumur hidup atas kesalahan membunuh bekas teman wanitanya. Hingga hari ini, Adnan masih kekal dengan pendiriannya bahawa dia bukanlah seorang pembunuh.
Adnan dan Hae
Pada tahun 1998, Adnan Syed dan Hae Min Lee merupakan pelajar sekolah menengah di Woodland High School, Baltimore, Amerika Syarikat. Mereka berdua yang juga merupakan atlet sekolah itu berasal dari keluarga imigran dengan Adnan berketurunan Pakistan manakala Hae pula Korea Selatan.
Hubungan percintaan antara Adnan dan Hae terpaksa dirahsiakan daripada keluarga masing-masing kerana perbezaan agama. Selepas mereka berdua berpisah pada penghujung tahun 1998, Hae menjalinkan hubungan dengan rakan sekerja sambilannya yang bernama Don. Meskipun sudah berpisah, Adnan dan Hae tetap berkawan seperti biasa.
Pada 13 Januari 1999, Hae dilaporkan hilang selepas gagal untuk pulang ke rumahnya. Kali terakhir dia dilihat adalah sewaktu meninggalkan kawasan sekolahnya dengan menaiki kereta Nissan Sentra warna kelabu. Berdasarkan laporan saksi, Hae dilaporkan ada berada di sekolah pada pagi hari kejadian. Mengikut keterangan Adnan, dia mendakwa bahawa Hae telah bersetuju untuk menghantarnya pulang ke rumah sejurus selepas tamat waktu persekolahan. Namun perkara itu tidak berlaku selepas Adnan terlewat dari waktu seperti yang dijanjikan. Selain itu, Hae juga tidak muncul di tempat kerjanya. Berkenaan dengan Don, dia sendiri tidak mengetahui tentang lokasi Hae pada waktu tersebut.
Hanya selepas sebulan kemudian, barulah mayat Hae ditemui oleh orang awam di sebuah tempat bernama Leakin Park. Berdasarkan laporan bedah siasat, punca sebenar kematian Hae adalah akibat dicekik. Jadi, Hae sah mati dibunuh.
Jay Wilds
Tiga hari selepas itu, pihak polis telah menerima satu maklumat daripada seorang individu tidak dikenali yang memberitahu pembabitan Adnan dalam pembunuhan Hae. Polis kemudian bertindak untuk menyoal siasat rakan Adnan iaitu Jay Wilds yang juga merupakan seorang pengedar dadah. Menerusi sesi soal siasat tersebut, Jay menjelaskan bahawa Adnan pernah memberitahunya untuk membunuh Hae kerana memutuskan hubungan mereka. Sewaktu hari kejadian, Jay yang pada sebelumnya meminjam kereta Adnan telah dihubungi oleh Adnan untuk berjumpa di sebuah kawasan lot parkir. Di situ, Adnan menunjukkan kepada Jay mayat Hae yang disimpan pada bahagian but kereta. Disebabkan Adnan ada melontarkan kata-kata berbaur ugutan tentang aktiviti pengedaran dadah yang dijalankannya, maka Jay bersetuju membantu Adnan untuk menanam mayat Hae. Pihak polis benar-benar menemui kereta Hae di lokasi parkir seperti yang diberitahu oleh Jay.
Berdasarkan keterangan Jay inilah yang menyebabkan Adnan telah ditahan oleh pihak polis kerana disyaki membunuh Hae. Perkara ini menjadi pertikaian kerana versi cerita Jay yang tidak konsisten serta tiada bukti untuk mendukung ceritanya itu. Seperkara lagi yang perlu diketahui dalam kes ini adalah tiada sebarang bukti fizikal seperti DNA atau cap jari milik Adnan yang ditemui pada mayat Hae dan lokasi kejadian.
Seterusnya, keluarga Adnan telah melantik seorang peguam berprofil tinggi yang bernama Cristina Gutierrez bagi mewakili pihak Adnan. Keputusan pihak juri mahkamah pada tahun 2000 bagaimanapun tidak menyebelahi Adnan apabila dia yang didapati bersalah telah dihukum penjara seumur hidup dengan tempoh tambahan 30 tahun. Pihak Adnan kemudian membuat rayuan kes pada tahun 2003 dan 2010. Kedua-dua rayuan itu bagaimanapun tidak diterima. Cumanya, butiran rayuan tahun 2010 menyebut tentang kegagalan Cristina untuk memanggil dan menyiasat alibi seorang saksi penting sewaktu perbicaraan terdahulu. Saksi tersebut merupakan rakan sekelas Adnan sendiri iaitu Asia McClain. Alibi penting yang dimaksudkan itu adalah kenyataan Asia yang mendakwa bahawa dia ada bersama dengan Adnan di perpustakaan sekolah mereka pada waktu pembunuhan Hae.
Pada tahun 2016, Adnan yang diwakili oleh barisan peguam baru telah berjaya dalam rayuan untuk membicarakan semula kes. Namun tiga tahun kemudian, pihak mahkamah tinggi memutuskan untuk menarik balik keputusan tersebut. Maka Adnan kekal meringkuk di penjara.
Bagi mengikuti butiran kisah Adnan Syed ini secara lebih terperinci, anda boleh menonton dokumentari HBO berjudul The Case Against Adnan Syed yang mempunyai empat episod. Saksikan sendiri trailer di bawah.
Catat Ulasan for "KISAH KES ADNAN SYED : Pembunuh yang Mungkin Teraniaya"