KISAH ANDREA YATES : Bunuh Lima Anak Akibat Meroyan
Andrea Yates atau nama sebenarnya Andrea Pia Kennedy dilahirkan pada 2 Julai 1964 di Houston, Texas. Pada usia remajanya, Andrea telah mengidap penyakit Bulimia serta mengalami kemurungan. Disebabkan kemurungan itu, Andrea pernah membuat pengakuan kepada rakannya tentang niatnya untuk membunuh diri.
Seterusnya, Andrea mengahwini seorang lelaki bernama Russel Yates pada tahun 1993. Russel merupakan anak murid kepada seorang pendeta iaitu Michael Peter Woroniecki. Russel juga berpegang teguh kepada ajaran gurunya itu untuk mempunyai ramai anak. Susulan perkahwinannya, Andrea telah berhenti kerja bagi menumpukan perhatian kepada keluarga. Sepanjang tempoh perkahwinan mereka, Andrea dan Russel mempunyai lima orang anak yang diberi nama sebagai Noah Jacob (26 Februari 1994), John Samuel (15 Disember 1995), Paul Abraham (13 September 1996), Luke David (15 Februari 1999) dan Mary Deborah (30 November 2000). Andrea dikatakan kembali mengalami penyakit kemurungan selepas Luke dilahirkan. Pada awal kehidupan Andrea dan Yates, mereka anak-beranak tinggal di dalam sebuah bas yang telah diubah suai menjadi rumah. Namun selepas menerima desakan daripada keluarga mentuanya, Russel terpaksa akur untuk membeli sebuah rumah.
Satu hari iaitu pada tarikh 16 Jun 1999, Russel mendapati Andrea yang sedang berada dalam keadaan menggigil telah menggigit jari-jemarinya. Keesokan harinya pula, Andrea dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan selepas cuba untuk membunuh diri dengan menelan pil ubat-ubatan secara berlebihan. Dia yang kemudian disahkan mengidap penyakit Postpartum Depression telah diberikan ubat anti kemurungan. Dalam istilah masyarakat melayu kita, Postpartum Depression ini biasanya disebut sebagai meroyan. Tidak lama selepas keluar dari hospital, Andrea sekali lagi cuba membunuh diri dengan mengacu pisau pada leher sendiri serta pada masa yang sama meminta Russel untuk membiarkannya mati. Berikutan perkara tersebut, Andrea pun dihantar semula ke hospital bagi rawatan susulan. Dia kemudian diberikan Haldol iaitu sejenis ubat antipsikotik. Lama-kelamaan, Andrea kembali beransur pulih.
Menjelang bulan Julai 1999, Andrea yang tiba-tiba mengalami gangguan mental telah melakukan percubaan untuk membunuh diri sebanyak dua kali. Maka dia dihantar ke hospital untuk rawatan selanjutnya. Kali ini, Andrea disahkan menderita Postpartum Psychosis iaitu tahap kemurungan yang paling berbahaya di mana akan berlakunya halusinasi samada daripada segi pendengaran mahupun visual. Doktor pakar psikiatri yang merawat Andrea ketika itu telah menyarankan Russel untuk berhenti mendapatkan anak bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku kelak.
Saranan doktor itu bagaimanapun berkemungkinan telah dipandang remeh oleh Russel. Dia tetap memaksa Andrea untuk melahirkan anak mereka yang kelima. Pada mulanya, Andrea enggan meneruskan perkara tersebut kerana dia begitu menyedari risiko yang bakal berlaku. Ekoran didesak berkali-kali oleh Russel, Andrea pasrah jua akhirnya. Maka anak mereka yang kelima iaitu Mary Deborah pun dilahirkan pada bulan November 2000.
Selepas kelahiran Mary, doktor pakar psikiatri telah berpesan kepada Russel agar tidak sesekali untuk meninggalkan Andrea tinggal berseorangan bersama anak-anaknya. Pesanan tersebut dibuat susulan kematian bapa Andrea pada bulan Mac 2001 yang telah menyebabkan kemurungannya semakin berada pada tahap serius. Mengikut perjanjian mulut, Russel akan membantu menjaga anak-anaknya itu sewaktu dia ada berada di rumah. Ibu Andrea pula akan mengambil alih tugasan tersebut pada waktu Russel pergi bekerja. Russel kemudian dikatakan memungkiri janji apabila ada kalanya keluar dari rumah selama sejam. Dia berbuat sedemikian adalah dengan harapan agar isterinya itu boleh berdikari.
Pada 20 Jun 2001, Russel keluar untuk pergi bekerja seperti kebiasaannya. Sebelum kedatangan ibunya, Andrea yang sudah tidak dapat lagi untuk mengawal emosi telah bertindak membunuh kelima-lima anaknya dengan melemaskan mereka semua di dalam air tab mandi. Dimulai dengan Luke, Paul, John dan kemudian si Mary yang baru saja berusia enam bulan lebih ketika itu. Mangsa terakhir yang merupakan anak sulung iaitu Noah cuba untuk melarikan diri sejurus selepas melihat mayat Mary dalam keadaan terapung. Dia yang bagaimanapun berjaya dikejar oleh Andrea telah diheret hingga masuk ke dalam tab mandi. Selesai melakukan pembunuhan, Andrea bertindak untuk menelefon pihak berkuasa bagi membuat pengakuan tentang perkara tersebut. Dia kemudian ditangkap di rumahnya tidak lama selepas itu.
Berkenaan dengan Russel, dia yang memfailkan penceraian akhirnya bercerai secara sah dengan Andrea pada tahun 2005. Setahun kemudian, Russel berkahwin pula dengan wanita pilihannya yang bernama Laura Arnold di mana mereka berdua telah dikurniakan seorang lelaki. Isteri kedua Russel itu bagaimanapun dilaporkan memfailkan penceraian pada tahun 2015. Status rumah tangga pasangan itu kini masih tidak dapat dipastikan.
Catat Ulasan for "KISAH ANDREA YATES : Bunuh Lima Anak Akibat Meroyan"