Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH FRANK ABAGNALE JR : Inspirasi Catch Me if You Can

Youtube

    Tidak dapat dinafikan lagi bahawa filem Catch Me if You Can merupakan salah sebuah filem yang tidak jemu untuk ditonton berkali-kali. Biarpun sudah hampir dua dekad berlalu, filem ini masih lagi kekal menjadi fenomena. Jalan ceritanya adalah inspirasi dari kisah sebenar seorang lelaki yang berjaya menjadi seorang penipu dan penyamar paling licik sepanjang zaman. Ini adalah kisah Frank Abagnale Jr.


    Frank Abagnale Jr. atau nama sebenarnya Frank William Abagnale Jr. dilahirkan pada 27 April, 1948 di Bronxville, New York, Amerika Syarikat. Dia merupakan anak ketiga daripada empat orang adik beradik. Bapa Frank Jr. iaitu Frank Sr. bukanlah calang-calang orang di mana dia adalah seorang yang giat berpolitik dan berpengaruh. 

    Akibat terlampau sibuk dengan kerja, hubungan Frank Sr dengan isterinya akhirnya menjadi dingin sekaligus menyebabkan berlakunya penceraian antara mereka. Meskipun Frank Jr. yang baru berusia 14 tahun ketika itu begitu sedih dan kecewa dengan penceraian tersebut, dia telah memutuskan untuk tinggal bersama dengan bapanya memandangkan hubungan mereka berdua yang sangat rapat. 

    Frank Jr mula menipu pada usia 15 tahun dengan melakukan penipuan kad kredit yang diberikan oleh bapanya khas untuk pembelian minyak kereta. Dia dengan selamba telah menggunakan kad kredit tersebut untuk membeli peralatan kereta. Baki daripada pembelian itu dikembalikan kepada Frank Jr. dalam bentuk wang. Wang tersebut kemudian digunakan untuk membiayai perbelanjaan teman wanitanya. Bagaimanapun, lama-kelamaan penipuan Frank Jr. itu terbongkar jua selepas bapanya menerima bil sejumlah tunggakan wang kad kredit.

    Pada bulan April 1964, Frank Jr. tekad untuk melarikan diri dari rumah bagi mengenal erti kebebasan sebenar. Pada saat itu, maka bermulalah perjalanan hidup Frank Jr. sebagai seorang penipu. Dua bulan kemudian Frank Jr. membuat persediaan awal untuk menjadi penipu licik menerusi pemalsuan lesen memandu dengan menampal gambar wajahnya yang nampak matang. Lagi hebat, latar belakang pendidikannya juga dipalsukan. Semua itu dilakukan bertujuan bagi memudahkan permohonan pekerjaannya.


    Bulan September 1964, Frank Jr. mula melakukan aktiviti pemalsuan kertas cek. Malah dia berjaya mengeluarkan wang dari beberapa akaun simpanan milik orang lain dengan menggunakan identiti yang berbeza-beza. Selain itu, Frank Jr. juga pernah menyamar sebagai seorang pengawal keselamatan untuk mengutip wang kutipan harian dari syarikat penerbangan dan syarikat sewaan kereta di sekitar lapangan terbang. Idea penyamaran itu dibuat selepas dia melihat sendiri bagaimana wang kutipan tersebut dimasukkan ke dalam sebuah beg, kemudian didepositkan ke dalam sebuah kotak. Si Frank Jr. yang bijak telah menampal kertas yang bertulis

     "Perkhidmatan tergendala. Sila letakkan depositkan wang kepada pegawai yang bertulis."

    Hingga satu masa, Frank Jr. terdetik untuk menjelajah dunia dengan percuma. Jadi, dia pun merencanakan ideanya itu dengan menghubungi syarikat penerbangan  Pan American World Airways. Frank Jr. kemudian memberitahu bahawa pakaian seragam juruterbangnya telah hilang di hotel. Berkenaan dengan lesen juruterbang, perkara itu adalah perkara kecil untuk Frank Jr. kerana dia berjaya mempelajari segala tugas juruterbang dan selok belok penerbangan pada masa yang singkat dengan mengorek maklumat daripada pramugari serta juruterbang yang dikenalinya. Nilaikan sendiri statistik ini di mana  Frank Jr telah mengembara lebih dari 250 kali ke 26 buah negara dengan purata jarak perjalanan sejauh 1500000 kilometer iaitu dari usianya 16 hingga 18 tahun. Pernah sekali, Frank Jr. diarahkan untuk menerbangkan pesawat mencecah ketinggian setinggi 30 000 kaki. Dia yang enggan mengambil risiko membahayakan nyawa penumpang telah bertindak menerbangkan pesawat tersebut secara auto. 

    Frank Jr. juga ada membuat pengakuan bahawa dia pernah menjadi tenaga pengajar di Universiti Brigham Young untuk satu semester. Bagaimanapun, dakwaan ini tak dapat disahihkan.


    Seterusnya, Frank Jr. hampir ditangkap oleh pihak berkuasa sewaktu menurunkan pesawat di New Orleans. Menyedari dirinya menjadi buruan, maka Frank Jr. bertindak untuk menyembunyikan diri di Georgia. 

    Satu hari iaitu sewaktu mengisi surat perjanjian sewa apartment, Frank Jr telah menulis pekerjaannya sebagai doktor. Dia terpaksa berbuat sedemikian ekoran berasa bimbang tuan rumah tersebut akan menyelidiki latar belakangnya. Pada masa sama, Frank Jr. telah berkenalan dengan seorang doktor sebenar di kawasan apartment tersebut. Diringkaskan cerita, Frank Jr. akhirnya bersetuju untuk memangku jawatan sebagai doktor pakar kanak-kanak di sebuah hospital tempatan. Tawaran tersebut pada mulanya diterima oleh Frank Jr. berikutan tugasannya yang agak mudah iaitu hanya perlu menyelia dan memantau pesakit. Tambahan pula, dia tidak perlu melakukan sebarang kerja pembedahan. Bagaimanapun Frank Jr. menerima satu tamparan besar dalam hidupnya apabila ada seorang bayi hampir mati akibat kekurangan oksigen hanya kerana dia tidak tahu istilah perubatan "blue baby" yang dikatakan oleh jururawat. Jadi, Frank Jr berhenti daripada menjadi doktor kerana enggan untuk dibelenggu rasa bersalah jika ada pesakit yang meninggal dunia hanya disebabkan kebodohannya itu. 

    Selepas melepaskan jawatan sebagai doktor, Frank Jr. kembali bertugas sebagai seorang juruterbang. Kali ini, Frank Jr. menipu pula seorang pramugari dengan mengatakan bahawa dia adalah lulusan jurusan undang-undang Harvard.  Pramugari tersebut kemudian memperkenalkan Frank Jr. kepada rakannya yang juga merupakan seorang peguam. Nasib menyebelahi Frank Jr. sekali lagi apabila dia ditawarkan untuk menjadi peguam sebenar. Disebabkan itu Frank Jr. pun membuat satu transkrip palsu Harvard dan menjalani ujian undang-undang. Walaupun gagal sebanyak dua kali, Frank Jr. tidak sesekali berputus asa. Dia telah menelaah buku tentang undang-undang selama lapan minggu. Usahanya itu membuahkan hasil apabila Frank Jr. lulus pada percubaan ujian yang ketiga. Masa itu Frank Jr. baru sahaja berusia 19 tahun. Pada hakikatnya juga, kebanyakan masa Frank Jr. sebagai peguam banyak dihabiskan dengan menjadi pembancuh kopi untuk pegawai atasan. Identitinya hampir terbongkar selepas seorang peguam lulusan Harvard sebenar mula bertanyakan pengalaman Frank Jr. semasa belajar di Harvard. Risau penyamarannya terbongkar, Frank Jr. pun berhenti dari menjadi peguam serta merta.


    Bak kata pepatah, sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah jua. Frank Jr. berjaya ditangkap oleh pihak berkuasa di Montpellier, Perancis pada tahun 1969. Dia seterusnya meringkuk di penjara Perancis, Sweden dan Amerika Syarikat. Apa yang hebatnya, Frank Jr. pernah lolos dari tahanan sebanyak dua kali. Kali pertama, dia berjaya keluar dari pesawat British jenis VC-10 semasa pesawat tersebut melakukan pusingan di lapangan terbang JFK, New York. Namun, dia ditangkap semula oleh polis Kanada ketika cuba membeli tiket di kaunter lapangan terbang Dorval, Montreal. Kali kedua, Frank Jr. berjaya meloloskan diri dari tahanan persekutuan. Kali ini dia menyamar pula sebagai Inspektor penjara hasil bantuan seorang rakannya yang bernama Jean Sebring. Frank Jr. berjaya keluar dari pusat tahanan tersebut menggunakan kad kuasa palsu. Dia bagaimanapun ditangkap semula semula oleh dua orang pegawai detektif New York selepas kecuaiannya melintasi kereta detektif tersebut.


    Selepas beberapa tahun dipenjarakan, Frank Jr. akhirnya dibebaskan dari penjara Virginia dengan parol. Dia kemudian menjadi pensyarah khas dalam bidang jenayah kolar putih serta membantu bank dengan menyediakan maklumat bagaimana bagi mengelakkan sebarang penipuan. Sebagai syarat pembebasan, Frank Jr. juga menjadi konsultan merangkap tenaga pengajar akademi dan pejabat FBI dalam menangani sebarang kes penipuan. Kini, Frank Jr. telah menubuhkan  syarikatnya sendiri iaitu Abagnale & Associates yang merupakan sebuah syarikat perundingan penipuan.

Catat Ulasan for "KISAH FRANK ABAGNALE JR : Inspirasi Catch Me if You Can"