Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH JENNIFER PAN : Bunuh Ibu Bapa Sendiri Akibat Tak Tahan Dikongkong

  

  Ceritanya bermula pada malam 8 November 2010 apabila pihak talian kecemasan di Kanada menerima satu panggilan daripada seorang wanita bernama Jennifer Pan yang menjadi mangsa rompakan. Menerusi perbualan tersebut, Jennifer memberitahu bahawa rumahnya telah dicerobohi masuk oleh tiga orang lelaki berkulit hitam. Menurut Jennifer pada waktu itu, dia menelefon dalam keadaan tangannya diikat.

    Setibanya polis di lokasi kejadian, ibu Jennifer iaitu Bich Ha telah disahkan mati. Bapa Jennifer bernama Huei Han pula yang mengalami kecederaan parah terus dibawa ke hospital lalu disahkan koma. Ibu bapa Jennifer itu diyakini telah ditembak pada bahagian kepala dengan jarak yang sangat dekat.

    Berdasarkan sesi soal siasat yang dijalankan terhadap Jennifer, dia mendakwa sedang bergayut di telefon sewaktu kejadian rompakan tersebut mula-mula berlaku. Jennifer juga memberitahu bahawa pada mulanya dia terdengar bunyi derapan kaki yang bukan kaki daripada ibu bapanya. Sebaik saja Jennifer membuka pintu bilik tidurnya itu, kepalanya terus diacu dengan pistol oleh si perompak. Selepas kumpulan perompak tersebut berjaya mendapatkan sejumlah wang, mereka pun mengikat Jennifer pada pagar tangga di tingkat atas rumah. Pada kemudiannya, ibu bapa Jennifer pun ditembak.

    Pihak polis sebenarnya begitu meragui dengan keterangan yang diberikan oleh Jennifer. Ini berikutan dengan dakwaan Jennifer pada sebelumnya yang memberitahu bahawa dia menelefon talian kecemasan dalam keadaan tangannya diikat. Persoalan pertama, bagaimana Jennifer boleh menelefon dalam situasi sedemikian? Persoalan kedua, mengapa hanya Jennifer yang terselamat sedangkan ibu bapanya ditembak dengan kejam? Paling tak masuk akal, kereta mewah Mercedes milik keluarga Jennifer tidak dilarikan langsung oleh kumpulan perompak itu? Begitu juga dengan televisyen, telefon bimbit dan sejumlah wang yang ditemui tidak terusik di rumah Jennifer. Kecurigaan pihak polis terhadap Jennifer semakin menebal apabila mereka melihat reaksi Jennifer yang langsung tidak menangis sewaktu pengkebumian ibunya. Situasi tersebut dilihat agak pelik memandangkan Jennifer baru sahaja ditimpa satu kejadian ngeri.

    Bagi memahami motif sebenar dalam kes ini, maka sejarah keluarga Pan harus diselidiki. Huei Han dan Bich Ha adalah berasal daripada Vietnam. Mereka berdua yang berhijrah ke Kanada pada tahun 1979 mempunyai dua orang anak iaitu Felix dan Jennifer. Diringkaskan cerita, hasil kerja keras Huei Han dan Bich Ha telah berjaya membina kehidupan yang stabil untuk keluarga mereka. Ada rumah besar, kereta mewah dan sumber perbelanjaan wang yang kukuh.

    Walau bagaimanapun, Huei Han dan Bich Ha mengamalkan “Tiger Parenting” yang membawa maksud tegas dan harus memenuhi kehendak ibu bapa. Disebabkan itu, kehidupan Jennifer memang di   kawal  sepenuhnya oleh ibu bapanya. Sejak dari kecil lagi, Jennifer dipaksa untuk pergi ke kelas piano, meluncur ais dan harus fokus dalam akademik. Menjejaki usia remaja, Jennifer tidak dibenarkan sama sekali untuk menghadiri mana-mana aktiviti di sekolahnya yang berbentuk hiburan. Dia juga dilarang untuk pergi berparti atau bercuti bersama rakan-rakannya.

    Jadi, persoalannya adakah Jennifer berjaya dengan kehidupan tiger parenting itu? Jawapannya adalah tidak. Dia yang berkeinginan untuk bebas seperti orang lain mula belajar untuk menjadi seorang penipu. Jennifer telah memalsukan kad laporan sekolahnya dengan menulis straight A untuk semua subjek walaupun pada hakikat dia tidaklah sebijak mana pun. Seperkara lagi, Jennifer yang tidak pernah lulus untuk majlis graduasi di sekolahnya sanggup untuk membuat surat tawaran palsu kemasukan ke universiti. Bagi mengaburi ibu bapanya tentang penipuan tersebut, maka Jennifer telah membeli buku teks, mencatat nota subjek dan sering bercerita mengenai professor di universiti itu.

    Selain itu, ada kadang kala Jennifer memberitahu ibu bapanya bahawa dia harus tinggal di luar kampus untuk beberapa hari atas tugasan tertentu.  Apa yang berlaku sebaliknya adalah Jennifer tinggal bersama dengan teman lelakinya iaitu Daniel Chi-Kwong Wong yang juga merupakan seorang pengedar dadah.

    Bak kata pepatah, sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah jua. Penipuan Jennifer terbongkar selepas Huei Han dan Bich Ha mengetahui tentang fakta anak perempuan mereka itu yang tidak bekerja pun di hospital seperti yang didakwanya. Keraguan tersebut timbul selepas mereka mendapati Jennifer tidak pernah memakai uniform dan tanda pengenalan hospital. Susulan itu, Jennifer akhirnya terpaksa membuat pengakuan tentang segala penipuan yang telah dibuatnya selama ini. Ini termasuklah hubungan percintaannya dengan Daniel. Jelas, ibu bapa Jennifer menentang keras hubungan tersebut lebih-lebih lagi apabila mereka mendapat tahu Daniel bukanlah seorang lelaki yang baik.

    Berbalik dengan siasatan kes, berlakunya satu keajaibanya dalam kes ini. Huei Han berjaya sedar semula selepas tiga hari koma. Bermula dari sini, dia telah menceritakan segala-galanya kepada pihak polis tentang apa yang telah berlaku pada malam kejadian rompakan itu. Ternyata Jennifer bukanlah mangsa tetapi sebaliknya merupakan dalang kejadian. Jennifer pada mulanya membuat penafian tentang perkara tersebut. Namun selepas ditekan oleh pihak polis, barulah Jennifer mengaku menjadi pencipta plot pembunuhan. Cuma Jennifer memberitahu bahawa dia yang sepatutnya menjadi mangsa pada malam itu, bukan ibu bapanya. Penjelasan Jennifer itu bagaimanapun enggan untuk dipercayai oleh pihak polis. Beralih dengan Daniel, kenyataannya adalah sangat berbeza berbanding Jennifer. Hasil pemeriksaan terhadap telefon bimbit Jennifer, ternyata memang ada rangkaian mesej antara Jennifer dengan kumpulan pembunuh upahan itu untuk membunuh ibu bapanya sendiri.

     Keputusan perbicaraan mahkamah pada akhirnya menyaksikan Jennifer, Daniel dan dua daripada pembunuh upahan tersebut yang didapati bersalah atas kesalahan membunuh telah menerima hukuman penjara seumur hidup. Seorang lagi pembunuh upahan pula dipenjarakan selama 18 tahun susulan pengakuan awal penglibatannya dalam kes tersebut. Pada masa sama, Jennifer juga dilarang untuk berhubungan lagi dengan mana-mana anggota keluarganya.

    Sebelum Jennifer dihumban ke dalam penjara, Huei Han memberitahu :

    "I hope my daughter Jennifer thinks about what happened to her family and can become a good honest person."

1 ulasan for "KISAH JENNIFER PAN : Bunuh Ibu Bapa Sendiri Akibat Tak Tahan Dikongkong"

  1. To his father i hopr he also learnt that she is the person they raised.

    BalasPadam