Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH KEHILANGAN MAURA MURRAY - Wanita yang Hilang Selepas Kemalangan.

     

    16 tahun lepas iaitu pada tahun 2004, seorang pelajar jururawat wanita bernama Maura Murray yang berusia 21 tahun telah hilang selepas mengalami kemalangan jalan raya di New Hampshire, Amerika Syarikat. Persoalan samada Maura sengaja menghilangkan diri atau "dilarikan" masih lagi kekal menghantui keluarganya. Mengambil kira beberapa faktor petunjuk sebelum kejadian, tiada sebarang kesimpulan boleh dibuat. Usaha untuk mencari Maura masih lagi giat diperjalankan hingga hari ini. 

    Maura Murray dilahirkan pada tahun 1982 di Hanson, Massachusetts. Selepas habis belajar di sekolah menengah, Maura telah menerima tawaran untuk memasuki sebuah akademi tentera berprestij dengan memilih jurusan kejuruteraan kimia. Sewaktu tahun kedua di akademi itu, Maura telah membuat keputusan untuk menukar bidang kepada kejururawatan. Jadi, dia pun menyambungkan pelajarannya di University of Massachusetts. Maura dikatakan bukan calang-calang orang. Dia bukan saja pintar dalam pelajaran, malah merupakan seorang atlet olahraga yang sangat berbakat.

    Pada tiga bulan waktu sebelum kehilangannya, Maura telah didakwa atas kesalahan membeli makanan di beberapa buah restoran dengan menggunakan kad kredit yang dicuri. Namun tiga bulan kemudiannya, dakwaan tersebut digugurkan selepas dia didapati berkelakuan baik. Menjelang empat hari sebelum kejadian, Maura dikatakan menangis selepas mendengar sesi luahan daripada kakaknya melalui telefon tentang suaminya yang telah menimbulkan masalah. Dua hari selepas itu, Maura telah menerima kunjungan daripada bapanya iaitu Fred yang ingin membantu Maura melakukan pembelian sebuah kereta baru. Malang tidak berbau apabila kemudiannya kereta milik Fred yang dipandu oleh Maura telah mengalami kemalangan. Seterusnya, Maura telah berjanji kepada Fred untuk mengisi borang tuntutan insurans terhadap kerosakan kereta bapanya itu yang dianggarkan bernilai $8000.

Youtube

     9 Februari 2004, Maura menggunakan komputer peribadinya untuk melakukan carian jalan melalui peta dalam talian. Dia kemudian cuba untuk menempah sewa sebuah kondominium di New Hampshire melalui panggilan telefon. Disebabkan tempahan  tersebut ditolak oleh pemilik kondominium, maka Maura kemudian cuba untuk melakukan sewaan hotel di sekitar kawasan yang sama. Bagaimanapun, tempahan sewaan hotel itu turut tidak berjaya. Pada masa sama, Maura ada menghantar satu e-mel kepada teman lelakinya yang bernama Billy. E-mel tersebut bertulis, 

    "I love you more stud. I got your messages, but honestly, i didn't feel like talking to much of anyone, i promise to call today though. love you, Maura"

    Sebelum meninggalkan kampus, Maura juga ada mengirim e-mel kepada professor dan juga majikan kerja sambilannya yang memberitahu bahawa dia terpaksa bercuti untuk beberapa hari kerana ada berlakunya kematian keluarga. Hakikatnya, tiada sesiapapun anggota keluarga Maura yang meninggal dunia. Cumanya, kemungkinan besar Maura memang ada berniat untuk keluar dari kampus selama beberapa hari memandangkan hampir kesemua barang kepunyaannya di bilik asrama telah disimpan kemas di dalam kotak. Peliknya, tiada siapa pun tahu tentang lokasi sebenar yang ingin dituju oleh Maura kerana dia tidak pernah bercakap tentang perkara berkenaan. Lagipun, Maura tidak mempunyai sebarang masalah samada dengan teman lelaki atau keluarganya. Begitu sukar untuk diperjelaskan. 

    Tepat jam 3.40 petang, Maura mula bergerak dengan keretanya. Dia ada mengeluarkan wang simpanannya yang berjumlah $280. Lebih kurang sejam kemudian, Maura singgah di sebuah kedai untuk membeli beberapa botol minuman keras.

Youtube

    Kira-kira pukul 7.00 petang, beberapa orang penduduk yang tinggal di sekitar jalan 112 telah terdengar bunyi satu dentuman kuat di luar rumah mereka. Apabila diintai, mereka mendapati ada sebuah kereta yang mengalami kemalangan. Seorang lelaki yang juga merupakan pemandu bas cuba untuk membantu pemandu kereta itu tidak lain tidak bukan Maura Murray. Maura yang berseorangan dalam kereta itu didapati tidak mengalami sebarang kecederaan namun berada dalam keadaan menggigil. Dia yang menolak sebarang bantuan kemudian membohongi pemandu bas itu dengan mendakwa sudah menghubungi pihak berkuasa. Pemandu bas tersebut yang masih berasa curiga akhirnya membuat panggilan polis sejurus tiba di rumah. 

    Apabila pihak polis sampai di lokasi kejadian, Maura gagal dikesan. Perkara ini bermaksud, dia telah pun hilang dari kawasan berkenaan. Inilah yang menyebabkan kes Maura menjadi tumpuan ramai pihak. Bagaimana dia boleh hilang dalam sekelip mata? Adakah Maura  melarikan diri atau dilarikan oleh seseorang? Banyak desas desus mengatakan bahawa Maura telah melarikan diri di hutan berdekatan. Di hutan tersebut, dia berkemungkinan mati mengejut atau tersesat. Selain itu, kenyataan daripada saksi si pemandu bas mendakwa Maura sedang dalam keadaan waras iaitu tidak berada di bawah pengaruh alkohol. Berkenaan dengan kad debit, kad kredit dan telefon milik Maura, semuanya didapati hilang. Tiada sebarang rekod penggunaan yang dapat dijejaki selepas itu. 

    Pihak polis akhirnya melakukan siasatan serta menjalankan operasi besar-besaran. Rasanya tidak perlu dihuraikan akan perkara ini kerana terdapat beberapa laporan rasmi menyatakan bahawa pihak polis telah berusaha melakukan kerja-kerja mereka sebaik yang mungkin untuk mengesan Maura. Ganjaran sebanyak $75,000 ditawarkan kepada sesiapa yang dapat memberikan maklumat penting. 

    Pada tahun 2012 iaitu bersamaan dengan hari ulangtahun kehilangan Maura, sebuah video telah dimuat naik ke dalam Youtube menerusi satu akaun bernama 112dirtbag. "112" merujuk kepada  lokasi kejadian manakala "dirtbag" pula adalah gelaran yang Fred tujukan kepada individu yang melakukan sesuatu terhadap anaknya. Video berdurasi selama seminit lebih tersebut memaparkan seorang lelaki ketawa seorang diri, lalu terdiam dan pada akhirnya muncul tulisan "Happy Anniversary". Jadi, timbul teori di sini bahawa lelaki itu adalah penculik serta pembunuh kepada Maura. Keluarga Maura serta pakar penyiasat bagaimanapun menganggap video tersebut adalah video rekaan yang sekadar untuk meraih perhatian. Biarpun video itu dipadam semula selepas beberapa jam dimuatnaik, ianya sempat disalin oleh orang lain. Saksikan sendiri video gila tersebut di bawah. 

    Tahun 2019, Fred mengesyaki bahawa anaknya itu sudah pun mati berdasarkan reaksi anjing pengesan dan imbasan radar berteknologi tinggi di bawah lantai sebuah rumah yang berdekatan dengan lokasi kejadian. Pencarian tersebut dibuat selepas mendapat kebenaran pemilik rumah yang baru. Seperkara yang perlu diketahui, pemilik lama sebelum itu enggan memberikan kerjasama yang sepenuhnya untuk melakukan sebarang kerja-kerja pencarian. Walau bagaimanapun, pihak polis tidak melakukan pencarian selanjutnya memandangkan mereka juga pernah mencari di kawasan rumah tersebut. Tiada sebarang penemuan yang berjaya dibuat. Sememtara itu, Fred sentiasa berharap Maura akan ditemui satu hari nanti. Apa yang pasti, hanya masa dan hari akan menentukan.

Catat Ulasan for "KISAH KEHILANGAN MAURA MURRAY - Wanita yang Hilang Selepas Kemalangan. "