Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH PEMBUNUHAN KEJAM KELLY ANNE BATES - Teman Lelaki Jelmaan Syaitan

Daily Mail

    Satu hari, Margaret Bates dikejutkan dengan kehadiran seorang lelaki dalam lingkungan 40an di rumahnya. Lelaki bernama James Patterson Smith itu merupakan teman lelaki anak Margaret sendiri iaitu Kelly Anne yang baru berusia 16 tahun. Satu pertemuan yang benar-benar mengejutkan Margaret kerana tidak menyangka bahawa teman lelaki anaknya itu adalah seorang yang sangat berusia. Lagipun pada sebelumnya Kelly begitu berahsia tentang hubungan tersebut. 


    Kelly mula bertemu dengan James pada usia 14 tahun ketika menjadi pengasuh di rumah kawannya. Semenjak itu, James melakonkan wataknya sebagai lelaki sejati yang bermulut manis untuk memikat Kelly. Sebelum pertemuannya dengan James, Kelly merupakan seorang gadis remaja yang suka bermain bola sepak. Malah dia juga seorang yang baik, rajin dan sangat disenangi orang di sekelilingnya. Namun, semua itu berubah selepas kehadiran James. 

    Menurut cerita Margaret, Kelly pernah bermalam di luar ketika dia berusia 15 tahun. Apabila pulang keesokan paginya, Kelly cuma memberitahu bahawa dia bermalam di rumah kawannya. Pernah juga sekali Kelly pulang ke rumah dengan kesan lebam pada matanya. Kata Kelly, dia diserang oleh sekumpulan budak-budak perempuan di jalanan. Naluri seorang ibu, Margaret dapat menghidu Kelly sebenarnya berbohong. 

    Waktu pertama kali berjumpa dengan James, Margaret tahu teman lelaki anaknya itu bukan seorang yang baik. Ada sesuatu yang menyeramkan sampaikan Margaret pernah terbayang-bayang untuk menikam James dari belakang. Margaret siap berpesan kepada Kelly bahawa dia berhak untuk mendapatkan lelaki yang lebih baik daripada James. Kelly cuma membalas, 

    "Saya sukakan dia. Dia seorang yang sangat baik." 


    Walaupun tidak merestui dengan hubungan itu, Margaret tidak boleh berbuat apa kerana Kelly seorang yang sangat keras kepala. 

    Pada bulan November 1995, Kelly yang ketika itu sudah berusia 17 tahun telah membuat keputusan untuk tinggal bersama James di Gorton, Manchester. Biarpun agak skeptikal dengan keputusan Kelly tersebut, keluarga Margaret terpaksa rela jua untuk melepaskan Kelly. Jika dilarang, mereka takut Kelly akan terus memberontak. Satu keputusan yang pasti dikesali Margaret untuk seumur hidup kerana dia tidak pernah dapat lagi bersua dengan anaknya selepas itu walaupun ada berhubung melalui telefon. 


    Hinggalah 16 April 1996, James telah pergi ke balai polis tempatan untuk memberitahu bahawa Kelly sudah pun mati di rumahnya. Setibanya di tempat kejadian, pihak polis menemui mayat Kelly di dalam bilik mandi dalam keadannya bertelanjang. Menurut James, Kelly lemas dalam tab dengan cara tidak sengaja. Namun selepas siasatan dijalankan, cerita sebenar adalah lebih gelap daripada itu. 

    Laporan bedah siasat mendapati Kelly telah mengalami 150 kecederaan akibat diseksa dengan kejam oleh James. Badannya dipenuhi luka melecur akibat dicucuh dengan rokok dan seterika panas. Begitu juga bahagian kaki serta punggungnya yang telah dicurah dengan air panas. Kelly yang turut dibiarkan kelaparan telah diikat rambutnya pada radiator. Badannya ditikam berkali-kali dengan pisau, garpu dan gunting. Telinga, hidung, bibir, mulut dan kemaluan dikerat. Lagi kejam, kedua-dua matanya dicungkil keluar. Jadi, Kelly telah buta pada saat-saat akhir hidupnya. 

    Selepas dibongkar sejarah hidupnya, James mempunyai begitu banyak rekod buruk berhubung kait dengan kes penderaan wanita. Rumah tangga perkahwinan pertamanya berakhir ekoran penderaan secara berterusan yang dilakukan terhadap isteirnya. Malah setiap wanita yang pernah mempunyai hubungan dengannya selepas itu menerima nasib yang sama. Ini termasuklah cubaan untuk melemaskan teman wanitanya yang berusia 15 tahun. Hasil keputusan perbicaraan kes Kelly, James akhirnya diperintahkan pihak mahkamah untuk menjalani hukuman penjara seumur hidup. 

    "Orang kata dia (James) bagaikan binatang, tapi binatang pun tidak akan melakukan perkara itu kepada binatang lain. Dia seorang lelaki yang sangat jahat. Saya berfikir betapa sakitnya penderitaan yang dia(Kelly) alami, bagaimana dia berfikir kami tidak menyayanginya kerana kami tidak dapat untuk menyelamatkannya." - Margaret.

Catat Ulasan for "KISAH PEMBUNUHAN KEJAM KELLY ANNE BATES - Teman Lelaki Jelmaan Syaitan"