Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH PEMBUNUHAN ANITA COBBY : Jururawat yang Dibunuh Kejam Lima Jahanam.

 

    Anita Lorraine Cobby dilahirkan pada tarikh 2 November 1959 di Sydney, Australia. Sewaktu berusia 20 tahun, Anita pernah dinobatkan sebagai ratu cantik dalam pertandingan Miss Western Suburbs Pegeant 1979. Dia yang dikatakan bakal menyinar sebagai seorang model bagaimanapun telah membuat keputusan bagi mengikut jejak langkah ibunya untuk menjadi seorang jururawat. Selain itu, Anita juga dikatakan sebagai seorang yang baik, berfikiran terbuka, ceria dan begitu disenangi oleh orang-orang di sekelilingnya. 

John Cobby dan Anita

    Anita memulakan kerjayanya sebagai jururawat di hospital Sydney. Di situ, dia telah berkenalan dengan seorang lelaki bernama John Cobby yang juga merupakan seorang jururawat. Mereka berdua  kemudian bertunang dan seterusnya mendirikan rumah tangga pada tahun 1982. Anita pernah sekali mengalami keguguran selepas pertunangannya. Namun sejak kejadian tersebut, tiada rezeki untuknya mendapatkan zuriat. Menjelang tahun 1986, rumah tangga pasangan itu yang mula bergolak telah memaksa mereka berdua untuk tinggal berasingan dengan Anita kembali menginap bersama ibu bapanya. 

    2 Februari 1986, Anita menamatkan syifnya hari itu pada jam 3 petang. Dia kemudian keluar untuk pergi berjumpa serta makan malam bersama dua orang rakannya. Selesai sesi makan malam tersebut, Anita dihantar oleh rakan-rakannya ke sebuah stesen untuk menaiki kereta api bagi pulang rumahnya yang terletak di pekan Blacktown. Sesudah sampai di stesen Blacktown sekitar jam 10 malam, Anita mendapati telefon awam di kawasan situ gagal berfungsi. Kebiasaannya, Anita akan menelefon bapanya untuk datang menjemputnya di stesen tersebut. Secara kebetulan pula tiada sebarang teksi yang menunggu penumpang pada malam itu. Mengambil kira faktor lokasi rumahnya yang agak dekat, Anita kemudian tekad untuk pulang ke rumah dengan berjalan kaki. Nasib malang menimpa Anita apabila dia tiba-tiba telah diculik sekumpulan lelaki sewaktu dalam perjalanan. 

    Kejadian penculikan tersebut bagaimanapun telah disedari oleh seorang budak lelaki berusia 13 tahun dan anggota keluarganya yang tinggal di rumah berdekatan. Mendengar bunyi jeritan itu, budak lelaki berkenaan yang terus keluar dari rumah telah melihat Anita sedang diheret masuk ke dalam sebuah kereta oleh dua orang lelaki. Budak lelaki itu cuba untuk mengejar kereta penculik tersebut, namun gagal berbuat sedemikian. Dia yang kemudian kembali pulang ke rumahnya bertindak melaporkan kejadian tersebut kepada pihak polis. Pada malam itu juga, budak lelaki yang masih tidak berpuas hati tersebut tekad untuk melakukan operasi pencarian tersendiri bersama seorang jiran lelaki dan teman wanitanya. 

    Sementara itu, Anita yang berada di dalam kereta telah ditelanjangkan oleh kumpulan penculik tersebut. Anita meronta-ronta meminta untuk dilepaskan dengan memberitahu bahawa dia sudah pun berkahwin dan masih dalam keadaan haid. Bagaimanapun, kumpulan penculik yang terdiri daripada lima orang lelaki itu tidak mempedulikan hal berkenaan. Mereka merogol Anita berulang-ulang kali tanpa sebarang rasa belas kasihan. Lagi kejam, Anita dibelasah hingga patah tulang hidung dan pipi. Malah Anita juga dipaksa untuk meng***p kema**n mereka semua. Satu ketika, mereka berhenti di sebuah stesen minyak untuk melakukan pembelian minyak menggunakan wang yang dicuri daripada Anita. Selepas sampai di sebuah lapangan kuda yang agak terpencil, Anita diheret keluar dari kereta lalu diseret hingga melepasi pagar berduri. Di situ, Anita dibelasah dan dirogol secara berterusan. Sebenarnya ada harapan untuk Anita diselamatkan apabila budak lelaki 13 tahun yang melakukan pencarian bersama jirannya itu telah menemui kereta model HT Holden Kingswood milik kumpulan penculik yang diparkir di kawasan berkenaan. Namun selepas puas mencari dan mendapati tiada sesiapa dalam kereta itu, mereka pun berlalu pergi. Tanpa disedari, kumpulan penculik tersebut bersama Anita telah bersembunyi di sebalik semak samun. Pada kemudiannya, Anita dikelar pada bahagian leher oleh salah seorang penculik hingga hampir menyebabkan kepalanya terputus. Anita dibunuh berikutan dia telah melihat wajah dan mengetahui nama setiap individu kumpulan penculik itu. Pakaian Anita seterusnya dibakar bagi memusnahkan segala bukti. 

    Keluarga Anita bertindak melaporkan kehilangan Anita pada 3 Februari selepas dia gagal untuk munculkan diri di tempat kerjanya. Sehari kemudian, mayat Anita yang dalam keadaan bertelanjang lagi menyayat hati telah ditemui oleh seorang peladang di lapangan kudanya. Identiti Anita berjaya dikenalpasti menerusi cincin perkahwinan yang dipakainya. Berdasarkan laporan bedah siasat, badan Anita penuh dengan kesan lebam, luka dan kelaran.

    Pada mulanya, John Cobby diyakini sebagai suspek memandangkan status perkahwinan mereka berdua yang dikatakan sedang menuju ke arah penceraian. Namun selepas siasatan dijalankan, John disahkan tidak terlibat dalam kes pembunuhan isterinya itu. 

    Bagi mengesan kumpulan penculik tersebut dengan kadar segera, pihak polis telah merencanakan idea untuk melakonkan semula situasi dari awal hingga akhir malam kejadian dengan menjadikan seorang konstabel bernama Debbie Wallace memegang watak sebagai Anita. Lakonan ini termasuklah dari segi pemakaian serta waktu sebelum, semasa dan selepas Anita menaiki kereta api. Cara sebegini dibuat adalah dengan harapan para saksi akan mengingati semula situasi pada malam kejadian. Usaha itu ternyata berbaloi apabila pihak polis telah menerima maklumat tentang kereta curi yang dinaiki oleh suspek.

Dari kiri : Gary Murphy, Michael Murdoch, John Travers, Michael Murphy, Leslie Murphy

    Bertindak atas maklumat tersebut , polis akhirnya berjaya mengesan dan menahan lima orang suspek itu. Mereka dikenali sebagai John Travers (20 tahun), Michael Murdoch (19 tahun) dan tiga pasangan adik beradik iaitu Michael Murphy (33 tahun), Gary Murphy (28 tahun) dan Les Murphy (22 tahun). Cumanya ada satu perkara melucukan iaitu Gary dilaporkan terkencing di dalam seluar sejurus selepas ditangkap kerana begitu ketakutan. Lihat sendiri gambar di bawah. 

    Kesemua suspek dilaporkan mempunyai rekod buruk jenayah pada masa lampau. Ada antara mereka yang merupakan penagih dadah, pencuri dan gila seks. Paling teruk adalah John yang didakwa pernah meliwat kambing. Dia jugalah individu yang telah mengelar leher Anita. 

    Pujian harus diberikan kepada ibu saudara John yang dikenali sebagai "Miss X" apabila bersetuju untuk membantu siasatan pihak polis. Dia bekerjasama sebaiknya dengan memberikan maklumat penuh tentang latar belakang John. Miss X jugalah yang berjaya mendapatkan pengakuan John menerusi alat perekod suara rahsia ketika melawat anak buahnya itu di penjara. John dilaporkan membuat pengakuan tersebut ekoran hubungannya dengan Miss X yang begitu rapat. Ada ura-ura yang mengatakan bahawa Miss X masih lagi berada di bawah Program Perlindungan Saksi hingga pada hari ini. 

    Sewaktu perbicaraan kes, suspek-suspek dikatakan sempat lagi untuk senyum sinis dan tergelak antara satu sama lain. Jelas sekali tiada sebarang tanda penjelasan terhadap diri mereka semua. Bulan Jun 1987, lima sekawan tersebut yang didapati bersalah telah menerima hukuman penjara seumur hidup tanpa sebarang parol di mana mereka semua tidak pernah akan dibebaskan. Sejak dihukum penjara, mereka semua dikhabarkan sering menjadi mangsa pukul di dalam penjara. Bayangkan Michael Murphy yang meninggal dunia pada tahun 2019 akibat kanser pernah dimasukkan wayar berduri ke dalam  kemaluannya oleh banduan yang lain. Dalam satu insiden lain tahun 2019, ramai banduan telah membelasah Gary Murphy yang sudah pun 61 tahun di dalam bilik mandi. Akibatnya, Gary mengalami kecederaan yang teruk pada bahagian kepala. 

    Tentang John Cobby, dia kekal dihantui dengan kejadian tragis yang telah menimpa isterinya itu. Biarpun sudah lebih tiga dekad berlalu, John masih tetap menyalahkan diri sendirinya kerana gagal untuk menyelamatkan Anita.

Catat Ulasan for "KISAH PEMBUNUHAN ANITA COBBY : Jururawat yang Dibunuh Kejam Lima Jahanam."