KISAH PENCULIKAN ARIEL CASTRO : Penculikan Tergempar di Cleveland
Pada bulan Mei 2013, seorang wanita berusia 26 tahun yang bernama Amanda Berry telah menelefon talian kecemasan 911 untuk memberitahu bahawa dia telah berjaya menyelamatkan diri selepas menjadi mangsa penculikan untuk bertahun-tahun lamanya. Dengarkan audio perbualan tersebut di bawah.
Dalam peristiwa penculikan yang menggemparkan bandar Cleveland itu, Amanda bersama dua orang lagi mangsa iaitu Gina DeJesus dan Michelle telah diculik pada tahun berbeza oleh seorang lelaki yang dikenali sebagai Ariel Castro.
Ariel Castro yang dilahirkan dilahirkan di Puerto Rico pada 10 Julai 1960 tinggal di sebuah rumah beralamat di 2207 Seymor. Di rumah tersebut, dia tinggal bersama isteri dan empat orang anaknya. Berdasarkan kewujudan rekod keganasan rumah tangganya, jelas sekali Ariel bukanlah seorang suami yang baik. Dia pernah memukul isterinya itu hingga patah tangan, hidung dan tulang rusuk. Isteri Ariel yang sudah lagi tidak dapat bertahan telah meninggalkan Ariel pada tahun 1996 dengan membawa pergi semua anak-anak mereka.
Pada tahun 2002, Michelle Knight iaitu wanita yang sudah pun bergelar sebagai ibu kepada seorang anak ini merupakan mangsa pertama yang diculik oleh Ariel di mana ketika itu dia berusia 21 tahun. Dia menerima tumpangan kereta daripada Ariel yang telah mengajaknya datang ke rumah untuk memberikannya seekor anjing. Michelle mempercayai orang tua tersebut memandangkan dia mengenali salah seorang daripada anak Ariel. Malang tidak berbau untuk Michelle apabila pada kemudiannya dia telah terperangkap di rumah Ariel.
Menjelang tahun 2003, Ariel menjadikan seorang gadis remaja berusia 16 tahun sebagai mangsa keduanya. Pada waktu kejadian, si mangsa iaitu Amanda Berry sedang dalam perjalanan pulang dari tempat kerjanya. Sama seperti Michelle, Amanda bersetuju untuk menerima tumpangan daripada Ariel kerana dia juga mengenali anak Ariel. Lagi menyedihkan, penculikan tersebut berlaku sehari sebelum ulang tahun kelahiran Amanda yang ke 17.
Tahun 2004, giliran Gina DeJesus yang berusia 14 tahun pula diperdayakan oleh Ariel. Gina merupakan rakan karib kepada anak Ariel sendiri yang bernama Arlene. Kali terakhir Gina dilihat adalah di sebuah pondok telefon sewaktu dalam perjalanan pulang dari sekolahnya.
Sepanjang tempoh penculikan tersebut, Michelle, Amanda dan Gina yang dikurung di bilik berasingan telah dibelasah, didera dan dirogol secara berterusan. Bayangkan mereka bertiga hanya mampu untuk duduk terperap di bilik dalam keadaan diikat dengan rantai besi hampir setiap hari. Ada kalanya Michele, Amanda dan Gina tidak dibenarkan untuk mandi dan dibiarkan kelaparan begitu sahaja. Selain itu, Michelle juga dilaporkan telah mengalami keguguran kandungan sebanyak lima kali akibat diseksa oleh Ariel menerusi pelbagai cara. Salah satu daripadanya adalah dipukul dengan besi dumbel. Pada tahun 2006, Amanda telah melahirkan seorang bayi dalam sebuah kolam plastik berisi air dengan bantuan Michelle. Michelle sebelumnya ada diugut bunuh oleh Ariel jika anaknya itu dilahirkan dalam keadaan tidak bernyawa. Mujur sajalah anak Amanda tersebut selamat dilahirkan.
Di sebalik sisi gelap Ariel, dia dikatakan seorang yang sangat baik dan begitu disenangi oleh jiran di sekelilingnya. Pada waktu siang, Ariel akan memandu bas manakala waktu malam pula dia bermain gitar bass untuk kelabnya. Paling tak dijangka, Ariel sangat rapat dengan keluarga Gina. Malah, dia pernah bermain muzik dalam satu upacara keagamaan bagi memperingati Gina. Tanpa siapa sedari, Ariel sebenarnya adalah syaitan bertopengkan manusia.
Satu hari pada tahun 2013, Amanda telah mendapati pintu biliknya tidak berkunci. Pada mulanya, Amanda tidak melihat peluang itu untuk melarikan diri pun kerana Ariel pernah membiarkan pintu bilik tersebut tidak berkunci untuk mengujinya. Akibat pernah termakan dengan umpan Ariel tersebut, dia dipukul dengan teruk. Namun selepas diberitahu oleh anaknya bahawa Ariel benar-benar telah keluar dari rumah waktu itu, Amanda tidak melengahkan masa. Dia terus berlari menuju ke pintu masuk utama. Di situ, Amanda menjerit meminta pertolongan sambil mengetuk pintu berulang kali hingga didengari oleh jiran berdekatan. Jiran tersebut kemudian bertindak untuk memecahkan pintu rumah Ariel. Sesudah berjaya keluar, Amanda bersama anaknya bergegas berlari ke rumah jiran yang lain untuk menghubungi talian kecemasan. Setibanya pihak polis di lokasi kejadian, Michelle dan Gina berjaya diselamatkan. Satu situasi sebak yang semestinya sukar untuk digambarkan. Semua mangsa seterusnya dihantar ke hospital bagi mendapatkan rawatan selanjutnya.
Berkenaan dengan Ariel, dia pada kemudiannya terus diberkas oleh pihak polis. Menerusi perbicaraan kes di mahkamah, Ariel akhirnya mengaku bersalah atas 937 pertuduhan yang merangkumi penculikan, rogol dan membunun. Dia diperintahkan untuk menjalani hukuman penjara seumur dengan tambahan 1000 tahun serta tanpa sebarang peluang parol. Namun selepas sebulan dipenjarakan, Ariel telah ditemui mati tergantung dengan kain selimut di dalam bilik selnya. Menerusi satu perkembangan lain sebelum itu, rumah Ariel telah dirobohkan sepenuhnya pada bulan Ogos 2013.
Selepas kejadian hitam di bandar Cleveland tersebut, orang ramai yang bersimpati dengan nasib Michelle, Amanda dan Gina itu telah menghulurkan sumbangan yang berjumlah $1 juta bagi membolehkan mereka membina sebuah kehidupan baru.
Sementara itu, Michelle yang kini telah menukar namanya sebagai Lily Rose Lee telah pun berkahwin pada tahun 2016. Namun agak menyedihkan apabila dia disahkan tidak dapat lagi untuk mengandung susulan kesan penderaan yang dialaminya sebelum ini. Dia juga berharap pada satu masa nanti akan dapat kembali bersama Amanda dan Gina yang kini mendedikasikan hidup mereka untuk membantu mangsa penculikan.
Sebuah filem berjudul Cleveland Abduction yang diadaptasi daripada kisah penculikan Ariel Castro telah ditayangkan pada tahun 2015. Disediakan sekali video trailer filem tersebut.
Catat Ulasan for "KISAH PENCULIKAN ARIEL CASTRO : Penculikan Tergempar di Cleveland "