Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH STEVEN PLADL DAN KATIE FUSCO : Nikahi Anak Kandung, Bunuh Isteri

 

    Pada tahun 1995, seorang lelaki bernama Steven Pladl (20 tahun) mula berkenalan dengan seorang gadis remaja iaitu Alyssa Garcia (15 tahun) menerusi laman internet. Tiga tahun kemudian, Alyssa yang mengandungkan anak Steven telah selamat melahirkan seorang bayi perempuan yang dinamakan sebagai Denise. 

    Sewaktu Denise berusia lapan bulan, dia telah diserahkan kepada pasangan suami isteri iaitu Anthony dan Kelly Fusco untuk djadikan sebagai anak angkat mereka. Susulan itu, nama Denise pun ditukar menjadi kepada Katie Fusco. Sebenarnya, Steven dan Alyssa terpaksa menyerahkan Denise adalah disebabkan masalah kewangan yang mereka alami. Seperkara lagi, Steven juga dikatakan pernah melakukan penderaan terhadap Denise. Seterusnya Alyssa mempunyai dua orang lagi anak yang dilahirkan pada tahun 2007 dan 2012.

Steven dan Katie

    Menjelang tahun 2016, Katie yang sudah pun berusia 18 tahun akhir telah diberitahu oleh Anthony dan Kelly bahawa dia sebenarnya merupakan anak angkat. Katie yang kemudian berusaha untuk mencari maklumat berjaya jua menjejaki Steven dan Alyssa. Selepas berfikir masak-masak, Katie telah membuat keputusan untuk tinggal semula bersama ibu bapa kandungnya itu. Pada waktu ini, hubungan antara Steven dan Alyssa sudah pun dingin dengan mereka berdua tidur di bilik berasingan. Emosi Alyssa sebelum itu dikatakan tidak stabil kerana didera oleh Steven secara mental dan fizikal selama bertahun-tahun.

    Semenjak bertemu semula dengan Katie, Steven kembali berjiwa muda dengan sentiasa berpenampilan kemas. Malah Steven juga tidur sebilik bersama anak sulungnya itu dengan dia tidur di atas lantai. Keadaan rumah tangganya yang semakin keruh telah menyebabkan Alyssa kemudian tekad untuk keluar dari rumah. Steven dan Alyssa berkongsi hak penjagaan dua orang lagi anak mereka itu. Alyssa sememangnya sudah lama mengesyaki ada sesuatu yang terjalin antara Steven dan Katie, namun tidak dapat untuk memastikan sejauh mana kesahihannya. 

    Pada pertengahan tahun 2017, Alyssa ada terbaca isi kandungan diari milik anak keduanya yang memberitahu mengenai hubungan sumbang mahram Steven dan Katie. Lagi mengejutkan, Katie telah pun mengandung. Selain itu, diari tersebut juga ada mengandungi tulisan yang menyebut Steven menyuruh dua orang anaknya itu untuk menganggap Katie adalah "ibu tiri" dan bukannya sebagai kakak. Menyedari tentang hubungan terlarang tersebut, Alyssa terus bertindak untuk melaporkan perkara berkenaan kepada pihak polis. Bagaimanapun, tiada sebarang penangkapan yang dibuat. 

    Selepas sah bercerai dengan Alyssa, Steven telah berkahwin dengan Katie pada bulan Julai 2017. Perkahwinan itu adalah sah memandangkan Steven dan Katie licik menyembunyikan status sebenar mereka berdua. Majlis perkahwinan tersebut turut dihadiri oleh ibu bapa Steven dan ibu bapa angkat Katie. Dua bulan kemudian, Katie selamat melahirkan anak mereka yang diberikan nama sebagai Bennet. 

    Kebahagiaan Steven dan Katie tidak berkekalan apabila polis berjaya mendapatkan waran penangkapan. Jadi, mereka berdua akhirnya ditahan atas tuduhan berkelakuan sumbang mahram. Walaupun dibebaskan selepas itu, Steven dan Katie berdua mendapat perintah larangan mahkamah agar mereka tidak lagi berhubung antara satu sama lain. 

    Sementara itu, hak penjagaan Bennet diberikan kepada ibu Steven. Manakala Katie yang kembali tinggal bersama keluarga angkatnya telah membuat keputusan untuk memutuskan hubungan dengan Steven. 

Katie bersama anaknya

    Satu hari pada tahun 2018, Steven mengambil Bennet dari rumah ibunya. Malang untuk Bennet apabila dia dilemaskan oleh Steven di rumahnya. Mayat Bennet kemudian disembunyikan dalam almari. Selepas kematian Bennet, Steven pergi memandu pula ke New York untuk menembak mati Katie dan Anthony. Sesudah itu,  Steven pun melepaskan tembakan pada bahagian kepala sendiri tanpa diketahui sebarang motifnya.

Catat Ulasan for "KISAH STEVEN PLADL DAN KATIE FUSCO : Nikahi Anak Kandung, Bunuh Isteri"