Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH MISTERI NOTA YOGTZE


    Pada 26 Oktober 1984, dua orang lelaki pemandu lori telah menemui sebuah kereta jenis Volkswagen Golf yang remuk di dalam parit. Berdasarkan pemeriksaan mereka, kereta itu dikhuatiri baru sahaja selepas mengalami kemalangan.

    Dua orang lelaki tersebut kemudian bertindak untuk menghubungi pihak polis. Selepas membuat panggilan, mereka berdua pun mendekati kereta Volkswagen itu. Dalam kereta tersebut, didapati ada seorang lelaki bertelanjang bulat yang badannya penuh dengan lumuran darah tetapi masih dalam keadaan sedar. Mangsa sempat memberitahu bahawa terdapat empat orang lelaki bersamanya, namun mereka semua sudah melarikan diri. Katanya lagi, empat orang lelaki itu bukan kawannya. Tidak lama kemudian, ambulan pun tiba. Walau bagaimanapun, lelaki itu telah meninggal dunia sewaktu dalam perjalanannya ke hospital.


    Lelaki dalam kereta Volkswagen tersebut dikenal pasti sebagai Gunther Stoll. Ada perkara pelik berkenaan dengan kesnya ini. Hasil siasatan pihak polis mendapati punca sebenar kematian Gunther adalah terjadinya langgar lari yang mungkin disengajakan. Maksudnya, dia dilanggar oleh sebuah kereta lain di lokasi yang berbeza. Jadi, keadaan Gunther yang bertelanjang serta kereta di dalam parit itu sengaja dibuat untuk menampakkan ia berlaku disebabkan kemalangan. 

    Seperkara lagi, kedua-dua pemandu lori sebelumnya mendakwa ada melihat seorang lelaki yang memakai jaket putih berjalan mengelilingi kereta Volkswagen pada waktu kejadian. Namun, lelaki misteri itu hilang dari pandangan dengan jarak sebelum atau selepas pemandu lori membuat panggilan kecemasan.

Gambar sekadar hiasan.

    Gunther Stoll iaitu seorang penganggur yang berasal dari Anzhausen, Jerman dikatakan mula mengalami penyakit paranoia pada tahun 1984. Gunther seringkali memberitahu isterinya bahawa dia sentiasa diintip oleh sekumpulan lelaki yang digelar "Mereka". Secara hakikatnya, tiada sesiapapun yang mengetahui "Mereka" yang dimaksudkan oleh Gunther.

    Malam 25 Oktober 1984, Gunther yang sedang duduk di atas kerusi tiba-tiba saja bangun berdiri dan menyebut "Saya sudah dapat." Dia kemudian mengambil sehelai kertas, lalu menulis huruf "YOGTZE"

.
    Belum sempat isterinya mengajukan persoalan, Gunther terus meninggalkan rumah untuk pergi ke pub kegemarannya yang terletak di Wilnsdorf. Di situ, dia duduk bersantai serta membuat pesanan air bir. Tak lama kemudian, dia terjatuh ke atas lantai. Gunther yang mengalami kecederaan pada bahagian muka pengsan untuk seketika. Selepas sedar semula, dia keluar dari pub dan menuju ke rumah seorang wanita tua yang memang dikenalinya sejak dari zaman kanak-kanak lagi. Wanita itu yang enggan membuka pintu telah menasihati Gunther untuk pulang semula ke rumahnya. Gunther yang akur dengan nasihat tersebut sempat memberitahu, 

    "Ada peristiwa buruk yang bakal berlaku pada malam ini". 

    Ternyata, apa yang diperkatakan Gunther betul-betul berlaku ke atas dirinya pada malam itu. Jadi, apa yang berlaku terhadap Gunther sebenarnya? Begitu banyak penjelasan yang menimbulkan tanda tanya. Pertama, identiti empat orang lelaki yang didakwa ada bersama Gunther pada waktu kejadian tidak pernah berjaya dikenal pasti. Kedua, lokasi sebenar Gunther dilanggar tidak dapat dikesan. Tak kurang juga ada sesetengah pihak yang mendakwa bahawa Gunther mengalami masalah penyakit mental.

    Satu-satunya kunci utama kes Gunther ini adalah maksud dan kisah di sebalik tabir nota YOGTZE yang ditinggalkannya. Mengikut laporan tertentu, YOGTZE mungkin adalah nombor plat kenderaan yang melanggarnya. Berkemungkinan abjad O disalah tafsir sebagai angka 0 (kosong), abjad Z adalah angka 2 dan angka 6 adalah abjad G. Bagi pihak yang menolak teori tafsiran ini, hujah utama mereka adalah nota ditulis oleh Gunther semasa dia dalam keadaan sihat dan sedar. 

    Teori lain, YOGTZE datangnya dari isyarat stesen radio Romania. Masalahnya adalah sukar sama sekali dari mana-mana sudut pandangan untuk menjelaskan hubungkait Gunther dengan teori ini. 

    Boleh jadi juga YOGTZE merupakan anagram dari Zygote. Memandangkan Gunther adalah seorang lulusan jurutera makanan, tidak mustahil dia terlibat dengan satu organisasi rahsia yang mengubahsuai organisma secara genetik. Harus diingatkan, semua ini hanyalah teori sahaja. 

    Hingga ke hari ini, nota YOGTZE kekal menjadi misteri. Tiada sesiapa pun yang pernah berjaya yang merungkaikannya. Jika benar Gunther mempunyai masalah gangguan jiwa, maka tiada kepentingan secara berterusan untuk mendalami maksud YOGTZE. Cumanya, ada tiga persoalan. Pertama, mengapa Gunther bertelanjang? Kedua, siapa yang langgar Gunther? Ketiga, motif pelanggaran?

1 ulasan for "KISAH MISTERI NOTA YOGTZE"

  1. Persoalan pertama pun dah pelik. Kalau dia kena langgar lari kenapa perlu buka semua pakaian unless ada bukti DNA suspek dekat pakaian dia. Mungkin jugak paranoia dia berasas.

    BalasPadam