Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH AILEEN WUORNOS : Pelac*r Wanita yang Paling Ditakuti


    Imbas kembali tahun 2002, seorang wanita bernama Aileen Wuornos menjadi wanita yang kesepuluh dihukum mati di Amerika Syarikat sejak hukuman mati tersebut kembali dilaksanakan pada tahun 1976. Aileen merupakan bekas pelac*r jalanan yang telah melakukan pembunuhan berantai dari tahun 1989 hingga 1990 dengan menembak mati tujuh orang lelaki menerusi tembakan jarak dekat. Selain itu, kisah hidup Aileen ini pernah diadaptasi ke layar filem berjudul Monster yang diterbitkan pada tahun 2003 (Video trailer di bawah)

    Aileen Wuornos atau nama sebenarnya iaitu Aileen Carol Pittman dilahirkan pada 29 Februari 1956 di Rochester, Michigan, Amerika Syarikat. Aileen telah membesar dengan terperangkap dalam sisi gelap keluarganya. Perkara inilah yang dikatakan menjadi punca sebenar mengapa dia mengganas dengan tiada sebarang rasa keperimanusiaan. Sewaktu Aileen masih kecil, bapanya yang dipenjarakan akibat tuduhan mencabul kanak-kanak telah bertindak untuk membunuh diri di dalam bilik sel. Seterusnya, ibu Aileen bertindak meninggalkan Aileen dan abangnya untuk tinggal bersama datuk serta nenek mereka. Nasib malang Aileen berterusan apabila neneknya itu merupakan seorang pemabuk tegar manakala datuknya pula kaki mendera secara seksual. 

    Pada usianya 14 tahun, Aileen dilaporkan telah mengandung akibat dirogol oleh salah seorang kenalan datuknya. Bayi tersebut yang selamat dilahirkan pada kemudiannya diserahkan kepada keluarga angkat memandangkan Aileen enggan untuk menjaga anaknya itu. Hinggalah satu ketika, Aileen dihalau oleh datuknya untuk keluar dari rumah. Dia yang terpaksa untuk berhenti sekolah telah tinggal di dalam hutan serta pada masa sama menjadi pela*ur bagi menampung perbelanjaan hidupnya. Sepanjang tempoh Aileen bertukar menjadi seorang yang liar tersebut, dia juga pernah ditahan beberapa kali oleh pihak berkuasa atas kesalahan mencuri, merompak dan pemalsuan cek. 

    Sejahat-jahat Aileen, jodohnya tiba jua apabila dia mengahwini seorang lelaki tua kaya berusia 69 tahun iaitu Lewis Fell pada tahun 1976. Walau bagaimanapun bagaimanapun, rumah tangga mereka berdua hanya mampu untuk bertahan selama 9 minggu. Sedekad selepas penceraian tersebut, Aileen menjalinkan hubungan pula dengan seorang wanita muda bernama Tyria Moore.

    Lewat tahun 1989, karakter Aileen sebagai pembunuh mula muncul dengan menjadikan Richard Mallory sebagai mangsa pertamanya. Hingga November 1990, seramai tujuh orang telah menjadi mangsa bunuh amukan Aileen. Namun, pihak media mula menyedari siri pembunuhan berantai ini hanya selepas mayat mangsa ketujuh ditemui. Harus diingatkan, semua mangsa Aileen yang ditembak dengan jarak itu adalah mereka yang ingin melac*rnya.

Gambar mangsa

    Aileen bagaimanapun berjaya ditangkap pada tahun tahun 1991 oleh pihak polis yang mendapat maklumat daripada orang awam. Ditambah lagi dengan keterangan daripada Tyria, maka Aileen akhirnya membuat pengakuan tentang penglibatannya dalam pembunuhan berantai tersebut. Pengakuan bukan sebarang pengakuan, Aileen mendakwa semua pembunuhan yang berlaku itu adalah sebagai tindakannya untuk mempertahankan diri. Sewaktu perbicaraan, pakar psikiatri daripada pihak pembelaan ada memberi keterangan bahawa anak guam mereka ada mengalami masalah kecelaruan personaliti pinggiran. Namun, Aileen yang tetap didapati bersalah oleh pihak juri telah menerima hukuman mati menerusi suntikan maut yang dijalankan pada 9 Oktober 2002. Artikel ini diakhiri dengan video kemarahan Aileen dalam satu sesi wawancara pada waktu sebelum pelaksanaan hukuman matinya.

Catat Ulasan for "KISAH AILEEN WUORNOS : Pelac*r Wanita yang Paling Ditakuti"