Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH AMANDA KNOX : Wanita Cantik yang Menggemparkan Itali

 

  "Some people believe I'm guilty, and some people believe I'm innocence. There is no in between" - Amanda Knox.

    Biarpun sudah lebih sedekad kes pembunuhan Meredith Kercher berlalu, nama Amanda Knox tetap masih lagi hangat diperkatakan orang ramai. Menyingkap kembali tentang kes itu, Amanda serta teman lelakinya iaitu Rafaelle Solecito telah dituduh membunuh Meredith di sebuah rumah sewa yang terletak di Perugia, Itali. Pada mulanya, mereka berdua yang didapati bersalah menerima hukuman penjara. Namun pada kemudiannya, Amanda dan Rafaelle berjaya dalam rayuan pembebasan mereka. Kes tersebut tidak selesai begitu sahaja apabila pasangan kekasih itu kembali dibicarakan sebelum sekali lagi didapati bersalah. Nasib bagaimanapun benar-benar menyebelahi Amanda dan Rafaelle susulan pada penghujungnya mereka berdua telah dibebaskan semula.

    Amanda Knox yang dilahirkan pada 9 Julai 1987 membesar di Seattle bersama tiga orang adik beradik perempuan di mana dua daripada mereka adalah adik beradik tiri. Mengenai keluarga Amanda, ibu bapanya bercerai sewaktu dia masih bayi lagi. Amanda juga yang digelar sebagai "Foxy Knoxy” merupakan seorang atlet berbakat dan pemain bola sepak di sekolahnya. Selepas menamatkan zaman sekolah menengahnya tahun 2005, dia kemudian menyambung pelajaran di Universiti Washington dengan mengambil jurusan linguistik. Bagi mencari dana untuk merealisasikan impiannya belajar di Itali, Amanda telah melakukan beberapa pekerjaan sambilan. Selain itu, Amanda juga dikatakan seorang yang gemar berparti.

Amanda dan Raefelle

    Diringkaskan cerita, Amanda telah meninggalkan Washington untuk belajar di Perugia, Itali. Di situ, dia tinggal serumah dengan Meredith Kercher yang berasal dari London. Tidak lama selepas itu, Amanda berkenalan pula dengan seorang jejaka tampan berdarah Itali iaitu Rafaelle Solecito di mana pada kemudiannya mereka berdua menjalinkan hubungan sebagai pasangan kekasih.

    Kisah sebenar bermula pada 1 November 2007 apabila Amanda yang bekerja sambilan di sebuah pub telah menerima satu teks mesej daripada majikannya yang bernama Patrick Lumbumba untuk tidak perlu datang bekerja pada malam tersebut. Jadi, Amanda membuat keputusan untuk pergi bermalam di rumah Rafaelle. Menjelang keesokan hari, Amanda kembali ke apartmentnya bersama dengan Rafaelle. Mereka berdua mendapati pintu masuk dalam keadaan terbuka manakala salah satu tingkap pula telah pecah. Pada masa sama, bilik mandi dibasahi dengan darah. Amanda dan Rafaelle semakin berasa curiga selepas menyedari pintu bilik Meredith itu berkunci. Amanda akhirnya menghubungi pihak polis selepas dinasihatkan oleh ibunya menerusi panggilan telefon untuk berbuat sedemikian.

    Pintu bilik Meredith ditendang sebaik saja ketibaan dua anggota polis. Apa yang perlu diketahui adalah polis berkenaan merupakan “postal police”. Jadi, mereka memang tidak mempunyai sebarang kepakaran untuk menyiasat kes pembunuhan. Dalam erti kata lain, lokasi kejadian tersebut telah pun terusik. Sementara itu, Meredith ditemui mati di atas katilnya dengan kesan kelaran pada bahagian leher serta tubuh badannya ditikam berkali-kali. Ekoran penemuan mayat Meredith, maka Amanda dan Rafaelle telah ditahan bagi tujuan soal siasat. Ibu Amanda yang mengetahui tentang perkara tersebut mendesak Amanda untuk segera pulang ke Amerika Syarikat. Amanda bagaimanapun berkeras untuk terus tinggal di Perugia agar dia boleh berjumpa dengan keluarga Meredith bagi menjelaskan situasi sebenar. Sepanjang lima hari tempoh penahanannya juga, Amanda mendakwa mendapat layanan buruk daripada pihak polis Itali. Dia bukan saja dibuli dan dipukul, bahkan tidak diberikan sebarang perkhidmatan penterjermah bahasa sekaligus menyukarkan lagi keadaannya.

Rudy Guede, Meredith Kercher

    Amanda menjadi benar-benar kecewa selepas mendapat tahu Rafaelle ada menuduhnya pulang ke apartment pada malam kejadian. Disebabkan itu, Amanda terpaksa untuk menandatangani satu laporan pengakuan menyatakan bahawa dia yang pulang ke apartment pada malam kejadian telah melihat sendiri Patrick Lumbumba menikam Meredith. Memandangkan Patrick Lumbumba mempunyai alibi kukuh pada waktu kejadian, pertuduhan membunuh dikenakan terhadap Amanda dan Raefelle meskipun tiada satu pun bukti kukuh untuk mengaitkan mereka berdua. Satu-satunya DNA yang ditemui dalam bilik Meredith adalah milik seorang lelaki bernama Rudy Guede yang merupakan kawan kepada jiran apartment Amanda.

    Rudy yang berjaya ditahan di Jerman mengaku ada berada di lokasi kejadian pada malam pembunuhan. Walau bagaimanapun, dia menafikan sebarang pembabitan dirinya termasuklah Amanda dan Raefelle berhubung dengan kematian Meredith. Namun, Rudy yang tetap didapati bersalah telah dipenjarakan selama 30 tahun.

    Dalam perbicaraan kes tahun 2009, Amanda dan Raefelle yang turut didapati bersalah menerima hukuman penjara dengan Amanda dipenjara 26 tahun manakala Raefelle pula 25 tahun. Keputusan itu dibuat bukan berdasarkan bukti, namun menerusi hujah yang dikemukakan oleh pihak pendakwa  di mana menurut mereka kematian Meredith adalah akibat permainan seks anjuran Amanda. Selepas rayuan dibuat dengan bantuan dana daripada Amerika Syarikat, Amanda dan Raefelle dibebaskan semula. Kes belum selesai apabila Amanda dan Raefelle yang sekali lagi dibicarakan telah diputuskan bersalah oleh pihak mahkamah pada tahun 2014. Hinggalah tahun 2015, mahkamah tertinggi Itali akhirnya memutuskan bahawa pasangan kekasih tersebut tidak bersalah. 


    Dalam kes Amanda, segelintir orang ramai menganggap dia sebagai pembunuh sebenar hanya kerana kisah kehidupan liarnya yang telah dikorek lalu sengaja disensasikan oleh pihak media. Amanda yang dimalukan di Itali dengan pelbagai cara telah dikecam teruk hingga dilabel sebagai wanita ja**ng dan murahan. Kes ini juga dikatakan mendapatkan liputan meluas hanya kerana Amanda adalah seorang wanita cantik yang berasal dari Amerika Syarikat.    

    Amanda yang berjaya menamatkan pengajian ijazahnya di Universiti Washington telah pun berkahwin dengan seorang penulis bernama Christopher Robinson pada tahun 2018. Tahun 2019, Mahkamah Hak Asasi Manusia Eropah telah mengarahkan Itali untuk membayar $20 000 kepada Amanda susulan kegagalan mereka untuk menyelesaikan kes pembunuhan Meredith itu dengan baik. Pengalaman tentang kes Amanda ini boleh juga dibaca menerusi novel memoirnya iaitu Waiting to Be Heard : A Memoir atau menonton dokumentari Netflix tahun 2016 yang berjudul Amanda Knox.

Catat Ulasan for "KISAH AMANDA KNOX : Wanita Cantik yang Menggemparkan Itali"