Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH KEHILANGAN AMY LYNN BRADLEY : Hilang Dalam Kapal Persiaran Mewah


    Sekarang tahun 2020. Usia seorang wanita warganegara Amerika Syarikat bernama Amy Lynn Bradley yang hilang sejak dari tahun 1998 sudah mencecah 46 tahun. Itu pun jika dia masih lagi hidup. Imbas kembali kisahnya, Amy yang berusia 23 tahun pada waktu tersebut telah hilang secara misteri di dalam sebuah kapal persiaran mewah. 

    Pada 21 Mac 1998, Amy bersama keluarganya mula menaiki kapal persiaran mewah Rhapsody of the Seas untuk berlayar menuju ke Curacao, sebuah pulau yang terletaknya di Laut Carribean. Amy dikatakan begitu gembira sepanjang berada di dalam kapal persiaran itu. 

    Awal pagi 24 Mac, bapa Amy iaitu Ron terbangun dari tidurnya pada jam sekitar 5.15 hingga 5.30 pagi. Dia mendapati Amy sedang duduk di kawasan balkoni kapal luar bilik mereka. Ron kemudian melelapkan semula matanya selama 20 minit. Pukul 6.00 pagi, Ron yang kembali terjaga mula berasa cuak selepas anak perempuannya tidak lagi kelihatan di balkoni tersebut. Tanpa berlengah, Ron pun terus pergi memeriksa bilik mereka. Apa yang ditemuinya, cuma kasut Amy. Mancis dan rokok Amy pula hilang. Ron yang masih tidak berpuas hati cuba mencari di tingkat atas kapal. Selepas masih gagal untuk menemui Amy, barulah Ron memberitahu perkara berkenaan kepada keluarganya.

Keluarga Amy

    Keluarga Amy seterusnya melaporkan kehilangan Amy kepada pihak pengurusan kapal. Memandangkan wakktu itu kapal persiaran tersebut dijangka akan berlabuh di Curacao pada tempoh terdekat, maka keluarga Amy meminta agar semua penumpang diperiksa terlebih dahulu sebelum dibenarkan untuk turun dari kapal. Walau bagaimanapun, permintaan itu ditolak oleh pihak pengurusan kapal bagi menjaga hati ribuan lagi penumpang lain. 

    Hanya selepas kapal persiaran tersebut berlabuh, barulah pihak pengurusan kapal menjalankan operasi pencarian Amy. Pencarian dibuat secara menyeluruh di dalam dan luar kapal serta termasuk di kawasan perairan tertentu. Namun, semua usaha pencarian tersebut tidak mendatangkan sebarang hasil. Keluarga Amy turut meminta bantuan daripada pihak FBI untuk mengesan Amy. Sama seperti sebelumnya, Amy gagal dikesan. Cuma FBI ada mendedahkan bahawa pihak pengurusan kapal tidak melakukan pencarian di sesetengah tempat seperti yang didakwa oleh mereka. 

    Jadi, apa sebenarnya yang berlaku kepada Amy? Hilang tanpa jejak. Ada sesetengah pihak yang mendakwa bahawa Amy berkemungkinan telah membunuh diri dengan cara terjun dari atas kapal. Ditegaskan, tiada sebarang bukti kukuh untuk mendukung dakwaan berkenaan. Lagipun, Amy dilihat seorang wanita yang tidak bermasalah. Diculik atau dibunuh? Mungkin ya dan mungkin juga tidak. Tiada siapa yang tahu. 

    Pada awal siasatan kes ini, ada seorang lelaki yang menjadi tumpuan. Dia adalah Yellow atau nama sebenarnya Alistar Douglas iaitu seorang pemain gitar bass untuk kumpulan pemuzik dalam kapal persiaran itu. Yellow merupakan individu terakhir yang disyaki dilihat bersama Amy. Mereka berdua ada menari bersama sambil berpegangan tangan dalam sebuah parti yang diadakan pada malam sebelum kehilangan Amy. Apa yang mencurigakan tentang Yellow adalah berhubung pada pada pagi kejadian di mana dia telah pergi berjumpa dengan adik lelaki Amy iaitu Brad untuk menzahirkan rasa simpatinya atas kehilangan Amy. Pada waktu itu, kehilangan Amy belum didedahkan kepada umum. Jadi, persoalannya adalah bagaimana Yellow boleh tahu mengenai perkara tersebut? Selepas disiasat, Yellow pada akhirnya diyakini bukan suspek utama.

    Sebenarnya, ada beberapa lagi petunjuk penting yang dilihat sedikit sebanyak membanyak membantu perkembangan kes Amy. Pertama sekali iaitu dalam tempoh 24 jam kehilangannya, Amy didakwa ada bertanya dengan seorang pemandu teksi di Curacao tentang lokasi telefon awam sebelum melarikan diri. Kedua, seorang lelaki yang telah menonton rancangan America’s Most Wanted tentang kes Amy tampil untuk memberitahu bahawa dia telah melihat Amy berjalan di kawasan pantai Curacao sambil ditemani oleh dua orang lelaki di mana salah seorang daripadanya seakan-akan Yellow. Lelaki tersebut mengecam Amy melalui tatu di badannya. Ketiga, pengakuan seorang anggota tentera mendakwa Amy pernah cuba meminta pertolongannya semasa dia berada di sebuah rumah pelacuran Curacao. Anggota itu bagaimanapun mendiamkan diri bertahun-tahun lamanya ekoran berasa bimbang akan dikenakan tindakan disiplin ketenteraan kerana pernah melawat tempat pelacur. Keempat, terdapat laporan daripada seorang saksi yang mengatakan pernah melihat Amy berada di dalam sebuah tandas dalam keadaannya ketakutan. Pada masa sama, ada tiga orang lelaki yang mengikuti Amy. Kelima paling dahsyat, keluarga Amy ada menerima sekeping foto yang dipercayai oleh FBI sebagai Amy. Dalam foto tersebut, Amy yang berambut panjang disyaki bekerja sebagai pelacur di kawasan Carribean. Berdasarkan foto itu juga, keluarga Amy mengesyaki bahawa terdapat beberapa orang pekerja di kapal persiaran Rhapsody of the Seas adalah anggota kepada sindiket pemerdagangan manusia. Nasib malang untuk Amy apabila menjadi salah seorang mangsa daripada mereka.

Gambar yang diterima keluarga Amy

    Kini, pihak FBI dilaporkan menawarkan sejumlah wang ganjaran kepada sesiapa yang berjaya memberikan maklumat penting tentang kehilangan Amy. Bila difikirkan, agak mustahil untuk menemui Amy semula. Sementara itu, keluarga Amy masih lagi menaruh harapan untuk menemui semula Amy biarpun sudah berdekad berlalu.

Catat Ulasan for "KISAH KEHILANGAN AMY LYNN BRADLEY : Hilang Dalam Kapal Persiaran Mewah"